DUBAI: Hakikatnya, kejayaan Alexia Putellas ditabalkan pemain wanita terbaik dunia dengan anugerah Globe Soccer pada akhir tahun lalu dan kemudian Anugerah Fifa baru-baru ini adalah pengiktirafan yang seharusnya beliau terima sejak dulu lagi.

Putellas adalah pemain bintang bagi kelab FC Barcelona Femeni, pasukan yang mendominasi bola sepak wanita di Sepanyol dan Eropah, sejak beberapa musim lalu.

Malah, persembahan pemain itu juga melihat beliau memenangi anugerah Ballon d'Or Féminin November lalu, yang mengiktiraf pemain wanita terbaik dunia setiap tahun.

Namun, pemain itu tidak terbawa-bawa oleh kejayaan dan anugerah yang diterimanya itu. Malah, pemain asal Sepanyol berusia 27 tahun itu, menjadikan kejayaan tersebut sebagai pembakar semangat untuk terus mencapai kejayaan demi kejayaan.

"Sejujurnya, saya tidak begitu terkesan secara mental dengan apa yang berlaku.

"Malah, saya tidak mahu terlalu terkesan kerana ia adalah cara saya kekal bersemangat untuk menjadi pemain yang lebih baik setiap hari. Apa yang saya capai hari ini tidak penting. Yang penting ialah, saya perlu melakukannya sekali lagi, malah mencapai sesuatu yang lebih baik lagi," ujarnya.

Hakikatnya, agak sukar untuk Putellas mencapai sesuatu yang lebih baik, mahupun mengulangi pencapainnya, terutama daripada musim lalu.

Pemain itu merupakan kapten pasukan Bercelona yang memenangi tiga kejuaraan dalam satu musim - Liga Juara-Juara Eropah Wanita, Liga Sepanyol dan Piala Sepanyol.

Malah, ia bukan hanya kejayaan Barcelona yang mengagumkan tetapi cara mereka mencapai kejayaan tersebut.

Pasukan itu menjaringkan 208 gol dalam musim 2022/21 dan hanya lolos 25 gol, dengan kemuncaknya ialah dengan membelasah Chelsea 4-0 pada Mei untuk memenangi kejuaraan Eropah buat pertama kali dalam sejarah kelab tersebut.

Keputusan beberapa perlawanan juga seakan perlawanan ragbi - 10-1 lwn Sevilla; 8-1 lwn Real Sociedad; 9-1 lwn Alavés; 8-0 lwn Villarreal; 6-0 lwn Juventus; 4-0 lwn Arsenal - dan senarai kemenangan besar Barcelona berterusan.

Menurut Putellas, 'form' sensasi pasukannya itu adalah hasil keyakinan dalam seluruh skuad mengenai corak permainan mereka selain persefahaman yang dibina setelah bermain bersama selama bertahun lamanya.

"Kami percaya 100 peratus pada diri kami dan rakan-rakan sepasukan...dan keyakinan ini membantu kami mencapai matlamat kami," kata beliau, ringkas.

Kejayaan itu telah pun membuahkan hasil.

Dengan melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah tahun ini, Barcelona menerima bayaran dijamin sekurang-sekurangnya AS$452,000 ($609,000).

Setelah memenangi kesemua enam perlawanan di peringkat kumpulan, bayaran yang diterima juga melonjak lebih seganda.

Pasukan yang memenangi kejuaraan tahun ini akan menerima hadiah wang tunai $2.13 juta manakala hadiah wang terkumpul bagi seluruh pertandingan pula ialah lebih $36 juta.

Jumlah ini mencerminkan kenaikan empat kali ganda berbanding tahun lalu, petanda bahawa bola sepak wanita di Eropah sedang berkembang pesat.

Walau akur, bola sepak wanita tidak setara dengan bola sepak lelaki, bagaimanapun Putellas bersikap optimistik.

"Kami kini dilihat sebagai 100 peratus pemain bola sepak, jantina kami bukan satu isu," kata Putellas.

"20 malah 10 tahun lalu, keadaannya jauh berbeza dan saya yakin dalam lima tahun akan datang, banyak lagi perubahan yang akan kita lihat.

"Kerjaya seorang pemain bola sepak wanita akan dihormati di seluruh dunia, tanpa mengira budaya atau agama," ujar beliau. - Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti