Topik diikuti
Pergi ke BHkuRacic sedia galas tanggungjawab, tekad pertajam serangan Geylang
Penyerang baharu Geylang International, Dejan Racic, tidak gentar dengan bebanan harapan selepas kembali beraksi dalam Liga Perdana Singapura (SPL).
Daripada berasa terbeban dengan tekanan untuk mengulangi prestasi cemerlangnya, pemain berusia 28 tahun asal Montenegro itu menganggapnya sebagai satu keistimewaan.
“Bagi saya, tekanan adalah satu keistimewaan. Saya tahu orang yang membawa saya ke sini letakkan harapan besar di atas bahu saya,” katanya.
Racic menikmati kempen 2024/25 yang luar biasa bersama Hougang United, dengan menjaringkan 26 gol dalam 28 penampilan dalam SPL, sekali gus menempatkannya dalam kelompok penjaring terbanyak liga.
Kini kembali ke Singapura selepas tamat tempoh bersama Bhayangkara Presisi Indonesia FC dan Persita, Racic berharap dapat meneruskan sentuhan jaringannya bersama Geylang International.
Mengimbas pengalamannya, Racic berkata peluang beraksi di hadapan 20,000 hingga 30,000 penonton di Indonesia serta melalui jadual perlawanan yang padat menjadikannya pemain yang lebih matang dari segi fizikal dan mental.
“Sekarang saya jauh berbeza, terutama dari segi mentaliti. Di Indonesia saya belajar bagaimana untuk berada di bangku simpanan dan melalui saat-saat sukar, ia membakar semangat saya untuk beraksi,”
“Saya akan membawa pengalaman baharu, lebih banyak kesabaran dan mentaliti yang lebih baik,” katanya.
Gaya permainan Geylang menjadi antara faktor utama yang mendorongnya menyertai kelab itu.
Racic berkata beliau masih mengingati Geylang sebagai pasukan yang mempunyai corak serangan menarik ketika beliau beraksi dalam SPL, dengan ramai pemain melakukan gerakan pantas dan saling serang-menyerang.
“Sebagai penyerang, saya rasa saya akan menikmati idea jurulatih Noor. Saya fikir saya sesuai dengan cara mereka bermain,” katanya.
Kehadiran Racic dijangka memberi dimensi baharu kepada jentera serangan Geylang International.
Dengan kebolehan fizikal serta ketajaman menyempurnakan peluang di dalam kotak penalti, Racic merupakan profil penyerang idaman bagi jentera serangan Noor Ali.
Ini sekali gus mampu mengisi kekosongan ketajaman serangan yang ditinggalkan bekas penjaring terbanyak SPL, Tomoyuki Doi, yang berpindah ke pasukan Thailand, BG Pathum United, musim lepas.
Gabungan kepantasannya serta keupayaan mengawal bola akan memberi ruang kepada pemain sayap dan tengah untuk kerap mencipta ancaman secara sepasukan.
Menjelang musim 2026/27, Racic tidak sabar untuk menguji kemampuan pasukannya apabila berdepan kelab gergasi seperti Lion City Sailors.
Cabaran berdepan juara bertahan itu dipandangnya sebagai kayu ukur terbaik bagi menilai sejauh mana persediaan Geylang.
Beliau turut menyeru penyokong agar turun ke stadium untuk memberikan sokongan padu, sambil berjanji bahawa pasukan baharu ini bakal mempamerkan semangat berjuang di atas padang.
“Saya boleh jamin kami akan bermain dengan sepenuh hati dan penuh semangat,” katanya.
Jika prestasi 26 golnya bersama Hougang menjadi kayu ukur, Geylang mungkin mempunyai sebab untuk meletakkan harapan tinggi terhadap penyerang baharu mereka.
