Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rafili bimbing generasi pesilat muda cipta sejarah; Farris mentor atlet muda luncur papan selaju

Dec 8, 2025 | 3:37 PM
Rafili Ramli, silat, Sukan SEA
Rafili Ramli meraikan kemenangannya di Sukan SEA 2007 di Thailand bersama rakan sepasukannya. - Foto fail

Rafili Ramli masih ingat zaman gemilangnya memburu pingat emas Sukan SEA pertamanya di Thailand pada 2007.

Sebagai kapten skuad silat ketika itu, beliau memikul tanggungjawab besar sebagai satu-satunya finalis Singapura, serta tekanan untuk meneruskan rentetan emas silat negara sejak temasya Sukan SEA Brunei 1999.

Selepas berusaha selama lapan tahun, Rafili akhirnya merangkul emas kelas ‘F’, dan pada hari terakhir pertandingan.

Kali ini Rafili akan kembali ke Thailand bagi Sukan SEA 2025, namun sebagai ketua jurulatih pasukan.

Beliau bertekad untuk mengongsi pengalaman dan ilmunya, dengan harapan generasi pesilat baru dapat mencipta detik gemilang mereka sendiri.

Komitmen untuk melihat kumpulan atlet pelapis berkembang maju – lahir daripada kecintaan terhadap sukan masing-masing – menjadi tema yang sering menyerlah dalam pasukan yang ditemui Berita Harian (BH) menjelang Sukan SEA 2025.

Dengan kontinjen terbesar Singapura yang terdiri daripada 930 atlet bakal beraksi di Sukan SEA 2025, 551 daripadanya akan membuat penampilan sulung.

Melalui jalinan akrab antara atlet baru dengan veteran yang dilihat, serta budaya saling membantu dalam pasukan, masa depan sukan Singapura tampak cerah dan memberangsangkan.

Rafili berkata: “Saya masih ingat saat itu dengan jelas sehingga bulu roma saya meremang ketika orang bersorak… ia merupakan detik yang sangat bermakna bagi saya.”

Beliau berharap berkongsi pengalaman seperti itu dapat menyemarakkan semangat anak didiknya.

“Saya juga mahu mereka sedar bahawa keluarga, kawan dan seluruh warga negara berada di belakang mereka,” katanya.

Bagi Rafili, paling penting ialah mendorong anak didiknya untuk beraksi di gelanggang tanpa menyesal, tidak kira apa keputusannya.

Turut membimbing kumpulan atlet pelapis ialah kapten skuad silat temasya ini, Muhammad Iqbal Abdul Rahman.

Beliau bukan sekadar mahu menggandakan deretan pingat, malah berhasrat memanfaatkan lebih 20 tahun pengalamannya demi membantu pesilat muda.

Juara dunia dan Asia bagi acara Seni Tunggal itu sering memberi nasihat kepada srikandi muda, Nurin Insyirah Mohamed Aidil, yang bakal beraksi buat julung-julung kalinya dalam acara yang sama.

Iqbal berkata: “Beliau (Nurin) mulanya rasa sedikit gementar setiap kali ke gelanggang... namun selepas untuk beraksi dengan baik. Beliau sering mendapatkan nasihat saya dan saya kongsilah rutin saya… Beliau kini menyesuaikan dirinya dengan sangat baik.”

Dalam aksi luncur papan selaju pula, atlet berpengalaman Singapura, Muhammad Farris Abdul Rahman, berusia 31 tahun, akan beraksi buat julung-julung kalinya di samping Felixe Balzer, 11 tahun, dan Tina Wan, 19 tahun.

Yang istimewa tentang trio itu adalah Felix dan Tina pernah dibimbing oleh Farris sendiri.

Walaupun Farris enggan melayakkan dirinya sebagai mentor, beliau ikhlas berbakti dengan menurunkan ilmu dan pengalamannya.

Beliau berkata: “Jika mereka perlukan rakan untuk meluncur, saya memang sedia membantu. Saya pernah mengajar mereka trick asas, sederhana dan juga yang tahap tinggi.

“Saya tak pasti kalau saya layak dipanggil mentor, tetapi saya harap saya dapat menjadi pengaruh yang terbaik.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg