Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

PENGURUS EPL DALAM SOROTAN

Rangnick - Bakal arkitek kebangkitan Man U?

Rekod Rangnick bersama kelab Jerman Ulm, Hoffenheim dan RB Leipzig bayangkan masa depan United cerah semula
Jan 03, 2022 | 05:30 AM



IDEA falsafah bola sepak pegangannya tercetus hampir 40 tahun lalu, namun keinginan Ralf Rangnick terus berinovasi dan membantu setiap kelab yang disertainya menjadi lebih moden tidak pernah pudar.



Sejak beliau dilantik sebagai pengurus sementara Manchester United akhir November lalu, kisah mengenai bagaimana pandangannya mengenai bola sepak terbentuk heboh dikongsi.



Ia berlaku semasa beliau menjadi pemain midfield kelab divisyen keenam Jerman Viktoria Backnang, yang menentang Dynamo Kyiv dalam satu perlawanan persahabatan pada Februari 1983.



Beberapa minit selepas perlawanan bermula, Rangnick berhenti berlari dan mula menghitung bilangan pemain lawan yang ada - beliau yakin jurulatih Kyiv Valeriy Lobanovsky menurunkan lebih daripada 11 pemain kerana pasukannya tidak berhenti berlari tetapi pemain Kyiv bak berada di mana-mana.



"Pada hari itu, kami bertuah kerana bertemu seseorang yang bijaksana," kata Rangnick, yang dari saat itu mula memperhalusi falsafah bola sepak yang kini dikenali sebagai gegenpressing, iaitu strategi sentiasa mengenakan tekanan maksimum ke atas lawan untuk merebut bola.



Kini, sebahagian falsafah bola sepak yang dipelajari Rangnick daripada memerhati pasukan Lobanovsky itu, dan juga pasukan AC Milan yang dipimpin Arrigo Sacchi antara 1987 dengan 1991, sedang dilaksana di padang latihan United di Carrington.



Tapi kali ini, Rangnick, 63 tahun, menjadi tumpuan kerana reputasinya sebagai jurulatih bijaksana dan berfikiran amat jelas.



Mereka yang bekerjasama dengan Rangnick berkata beliau seorang yang amat berkeupayaan membangunkan kelab bola sepak kerana beliau memberi perhatian pada butiran kecil dan tidak segan memaksa pemain berlatih hingga mencapai potensi penuh mereka.



Namun, ada juga orang berkata cara Rangnick itu kadangkala membuat pemain putus asa dan terlalu penat.



Tidak hairanlah bercakap kepada wartawan awal bulan lalu, Rangnick berkata: "Pemain perlu yakin dengan cara saya dan percaya ia boleh dilaksana. Mereka harus menjiwai falsafah ini... dan mengorak langkah pertama untuk berbuat demikian."



Rangnick juga disifatkan sebagai seseorang yang tidak takut mencabar kebiasaan dan akan merebut peluang untuk melaksana cara beliau sendiri dalam sebarang tugas yang dipikulnya.



Kadangkala itu membuatnya dilihat sebagai tidak sabar dan bersikap kasar kepada sesiapa sahaja yang keciciran.



Satu sumber memberitahu BBC Rangnick tidak dijangka mengubah cara pemakanan atau gaya hidup Cristiano Ronaldo di United, tetapi beliau biasanya akan cuba menyakinkan pemain bertaraf bintang agar cepat-cepat menuruti caranya.



TIDAK BERKALUNG PINGAT



Walapun disifatkan sebagai seorang jurulatih bola sepak berkebolehan, Rangnick hanya pernah menang satu trofi penting dalam kerjayanya - Piala Jerman bersama Schalke sekitar 10 tahun lalu.



Namun, nilai beliau bagi sembarang kelab yang mendapatkan khidmatnya ialah keupayaan beliau membina falsafah dan budaya di sesebuah kelab, satu keupayaan yang hilang di United sejak Sir Alex Ferguson bersara pada 2013.



Walaupun Rangnick mungkin mendapati cabaran yang dihadapinya di United serupa di kelab-kelab lain yang pernah dipimpinnya, keadaan di sekitaran Old Trafford amat berbeza.



Cara Rangnick mengendalikan kelab telah diperhalusi menerusi kerjaya panjang sebagai jurulatih, terutama cara beliau mengubah nasib tiga kelab - Ulm, Hoffenheim dan RB Leipzig - yang dipimpinnya daripada divisyen rendah ke divisyen tertinggi Jerman, iaitu Bundesliga.



Sebagai contoh, Ulm tersadai di divisyen ketiga semasa beliau menyertai kelab itu pada 1997.



Namun, apabila beliau meninggalkan kelab itu pada 1999 untuk menyertai Stuttgart, Ulm berada di ambang melayakkan diri ke Bundesliga buat julung-julung kali dalam sejarahnya.



Di Hoffenheim, Rangnick memimpin kelab itu naik dua divisyen sejak 2006 dan membentuknya sebagai sebuah kelab Liga Juara-Juara Eropah. Hoffenheim melayakkan diri ke peringkat kumpulan kejohanan itu pada musim 2018-19.



"Ralf Rangnick adalah salah satu arkitek terpenting dalam sejarah TSG Hoffenheim, seorang pemimpin bola sepak berwawasan dan dari sudut pandang positif, begitu bermotivasi," kata pengarah bola sepak kelab itu, Alexander Rosen, kepada BBC Sports.



"Beliau bukan boleh mendatangkan kejayaan jangka pendek sahaja, malah berfikir dan merancang bagi kejayaan jangka panjang," ujarnya.



Rangnick juga menikmati kejayaan di beberapa kelab lain, seperti Stuttgart Hannover dan Schalke.



Malah, Schalke hanya dikalahkan oleh Bayern Munich dalam persaingan merebut kejuaraan liga pada musim 2004-05 dan setahun kemudian Rangnick membawa Schalke ke separuh akhir Liga Juara-Juara, apabila mereka tewas 6-1 melalui kiraan agregat kepada United.



RB LEIPZIG



Namun, kehebatan Rangnick hanya benar-benar menarik perhatian pemerhati bola sepak pada 2012, selepas beliau dilantik sebagai pengarah sukan dua pasukan Red Bull - Red Bull Salzburg dan RB Leipzig.



Di Leipzig, Rangnick melantik Alexander Zorniger sebagai jurulatih dan dalam satu wawancara bersama BBC, Zorniger berkata Rangnick ialah sesorang yang tidak suka membazir masa.



"Sebab itu di United sekarang, jika ada orang memberitahunya bahawa rancangannya bagi kelab itu akan mengambil masa tiga empat tahun untuk menjadi kenyataan, beliau akan memecat orang itu tanpa sebarang keraguan," kata Zorniger.



"Beliau paling benci jika masa dibazirkan dan beliau adalah seorang profesional bola sepak yang tidak berhenti ingin berinovasi dan memperbaiki dirinya sendiri.



"Beliau menyifatkan bola sepak sebagai permainan jigsaw dan sebagai jurulatih, beliau akan memberi semua cebisan jigsaw kepada pemain supaya mereka dapat gambaran lengkap.



"Itulah yang dilakukannya apabila memantau pemakanan, persiapan mental, keperluan jasmani, fisioterapi dan perkara lain berhubung pemain."



Pada 2012, RB Leipzig beraksi dalam divisyen keempat tetapi dalam hanya empat musim, ia telah meloncat ke Bundesliga.



Zorniger mungkin perlu diiktiraf sebagai jurulatih yang memimpin kelab itu ke divisyen kedua dalam dua musim berturut-turut, tetapi Rangnick mengambil alih kelab itu pada musim 2015-16 dan membawanya ke tangga kedua untuk layak bermain di Bundesliga.



"Rangnick adalah seorang jurulatih bola sepak berwawasan dan berkeupayaan," kata wartawan di Leipziger Volkszeitung Guido Schafer.



"Apabila beliau tiba di Leipzig, beliau mengubah segala-galanya. Beliau menjadikan kelab itu lebih muda, lebih pantas.



"Sekarang beliau tidak bersama kelab itu, tetapi warisannya tetap diiktiraf dan kelab itu tetap berpegang pada falsafah bola sepak beliau."



Peminat dan pemain United pasti berharap Rangnick akan memberi kesan serupa di Old Trafford, bermula tahun baru ini.




FALSAFAH RANGNICK



MENGENAI 'GEGENPRESSING'



Ini cara bola sepak proaktif, di mana kita memberi tekanan di bahagian padang lawan dan selepas memenangi bola, memulakan serangan balas sepantas kilat. Apabila kita mendapat bola, kita tidak berminat menghantar bola ke arah penjaga gawang sendiri atau dari kiri ke kanan padang. Sebaliknya, kita memulakan serangan balas pantas, proaktif dan mengghairahkan penonton.



MENGENAI TAKTIK



Kita perlu menentukan rentak permainan, baik semasa kita mempunyai bola mahupun tidak. Ini dilakukan bukan menerusi pemain, tetapi dengan membuat perubahan dalam permainan pantas dan mencari huraian segera. Sebaik-baiknya, kita perlu membuat percubaan gol 10 saat selepas merebut bola dari lawan.



MENGENAI PEMAIN



Minda pemain berisi potensi terbesar yang kurang digunakan. Taktik, kecergasan dan peraturan memang penting, tetapi ia semua tidak sepenting matlamat sebenar. Matlamat dan tugas saya ialah mempertingkat prestasi pemain, dan pemain akan menuruti anda sebagai pengurus jika anda menyakinkan mereka anda menjadikan mereka lebih baik. Bagi saya, ini sumber motivasi terhebat dan paling jujur."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >