LONDON: Lionel Messi mendapat tumpuan ketika juara Copa America, Argentina, menang 3-0 ke atas juara Eropah, Italy, dalam perlawanan 'Finalissima' di Stadium Wembley, kelmarin.
Dirangsang kehebatan Messi, Argentina mendahului dua gol pada separuh masa pertama dalam perlawanan persahabatan berprestij itu - yang menemukan juara Amerika Selatan dengan juara Eropah - menerusi jaringan Lautaro Martinez dan Angel Di Maria.
Paulo Dybala melengkapkan penguasaan Argentina tetapi selepas musim mengecewakan di Paris Saint-Germain dan tidak setanding dengan reputasinya, Messi kembali dengan prestasi terbaiknya untuk mencuri tumpuan.
Bintang berusia 34 tahun itu melakukan dua umpanan jaringan dan mempamerkan kehebatannya dalam perlawanan yang jarang diadakan itu.
Selepas dilambung ke udara oleh rakan sepasukan sebaik wisel penamat, Messi berkata:
"Hari ini adalah ujian baik kerana Italy adalah pasukan hebat. Kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang bagus untuk menjadi juara.
"Ia perlawanan akhir yang menarik, penuh dengan penyokong Argentina. Pengalaman kami di sini amat indah."
Ia merupakan satu lagi suntikan semangat bagi Argentina, yang layak ke Piala Dunia Qatar 2022 pada ketika mereka meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Brazil bagi menamatkan penantian 28 tahun untuk menjulang trofi Copa America pada 2021.
Argentina dilihat sebagai antara pasukan pilihan untuk memenangi Piala Dunia dan menewaskan Italy adalah satu lagi amaran daripada skuad digelar La Albiceleste itu yang kini tidak tewas dalam 32 perlawanan.
Jika Messi terus bermain pada prestasi seperti itu di Qatar, anak didik Lionel Scaloni pasti digeruni pada ketika mereka memburu gelaran Piala Dunia pertama sejak 1986.
"Semuanya berubah sejak Copa America. Kini kami menikmati perlawanan dan bergembira sambil semuanya berlaku dengan lebih mudah.
"Kami teruja dan tidak sabar, tetapi tetap perlu berpijak di bumi nyata," kata Di Maria.
Bagi Italy, keputusan perlawanan itu merupakan kepulangan mengecewakan ke Wembley, hanya 11 bulan selepas mereka menewaskan England menerusi penentuan penalti di final Euro 2020.
Prestasi anak buah Roberto Mancini menjunam selepas kejayaan itu termasuk gagal layak ke Piala Dunia selepas tewas di tangan pasukan kerdil, Macedonia Utara, di separuh akhir play-off.
'Finalissima' ini adalah ketiga antara juara Eropah menentang juara Amerika Selatan dan yang pertama sejak skuad Argentina diketuai Diego Maradona menewaskan Denmark pada 1993. - AFP.