Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rayuan perenang S’pura Quah Ting Wen untuk sertai Olimpik ditolak

Jul 9, 2024 | 5:20 PM
Akuatik Singapura (SAQ) mengesahkan perenang Singapura, Quah Ting Wen (gambar), akan digantikan oleh Gan Ching Hwee, dan terlepas peluang menyertai temasya Olimpik keempatnya di Paris.
Akuatik Singapura (SAQ) mengesahkan perenang Singapura, Quah Ting Wen (gambar), akan digantikan oleh Gan Ching Hwee, dan terlepas peluang menyertai temasya Olimpik keempatnya di Paris. - Foto ZAOBAO

Perenang Singapura, Quah Ting Wen, mengalami hari-hari yang amat meletihkan dari segi emosi sepanjang beberapa hari lalu.

Namun, beliau akhirnya menerima berita menyedihkan.

Quah mendapat pengesahan pada 8 Julai bahawa beliau tidak dibenarkan bertanding dalam Sukan Olimpik Paris 2024.

Rayuan kepada Akuatik Singapura (SAQ) dan Akuatik Dunia (Aqua) telah ditolak, dengan persatuan sukan nasional itu mengumumkan atlet berusia 31 tahun itu akan digantikan oleh Gan Ching Hwee, 20 tahun, dalam acara renang berganti-ganti 4x100 meter wanita, dan akan terlepas peluang menyertai temasya Olimpik keempatnya di Paris.

Nama Quah tiada dalam senarai 22 atlet di upacara penyampaian bendera Kontinjen Team Singapore pada 6 Julai, manakala nama Gan disertakan.

Badan pentadbir renang dunia, Fina, mengundang Gan untuk menyertai acara 1,500m wanita berdasarkan masa pertimbangan Sukan Olimpik, atau masa kelayakan ‘B’ Sukan Olimpik, iaitu 16:10.61 yang dicatatkannya pada awal Julai.

Menurut SAQ, selepas mempertimbang pelbagai peraturan pilih atur kelayakan Olimpik, ia memutuskan untuk menghantar Gan dan bukannya Quah.

Gan akan berenang dalam acara renang berganti-ganti 4x100m, selain acara gaya bebas perseorangan 800m dan 1,500m

Dalam satu kenyataan, SAQ menyatakan rayuan Quah didengar oleh jawatankuasa rayuannya pada 7 Julai, tetapi rayuannya tidak berjaya.

Satu rayuan berasingan oleh badan Singapura itu kepada Aqua untuk Quah menjadi perenang tambahan dalam renang berganti-ganti, yang akan membolehkan Quah dan Gan bertanding di Paris, juga ditolak.

Singapura kini akan bertanding dalam tujuh acara renang di Paris – 50m dan 100m gaya bebas lelaki (Jonathan Tan); kuak dada 100m dan 200m wanita (Letitia Sim); gaya bebas 800m dan 1,500m wanita (Gan); dan renang berganti-ganti 4x100m wanita (Levenia Sim, Letitia, Quah Jing Wen dan Gan).

Presiden SAQ, Mark Chay, berkata: “Adalah ideal jika kita boleh menghantar enam atlet ke sukan itu. Tetapi... kami perlu menghormati keputusan ini... kami menggesa semua supaya menyokong pasukan lima atlet kita, yang saya yakin akan membanggakan kita.”

Quah memberitahu The Straits Times beliau “kecewa dan letih secara emosi” dengan kejadian sejak beberapa hari lalu.

Beliau menyifatkan perjalanannya dari Februari – apabila adik perempuannya, Jing Wen, serta Letitia Sim dan adik perempuanya, Levenia Sim, berjaya mendapat tempat di Olimpik bersejarah itu selepas menduduki tempat kesembilan pada kejohanan dunia di Qatar – hingga ke berita terkini itu sebagai pengalaman yang membawa perasaan berubah-ubah.

“Selepas saya menandatangani dokumen (oleh SAQ dan Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) pada 4 Julai untuk mengesahkan penyertaan saya dalam Sukan Olimpik, saya fikir ia kini menjadi nyata. Saya menandatanganinya dan berasa cukup teruja,” ujar Quah.

Bagaimanapun, satu panggilan daripada pegawai SAQ pada malam berikutnya menyampaikan berita sedih – beliau tidak akan terbang ke Paris.

“Saya juga berasa ia tidak adil kepada tiga atlet wanita lain. Saya belum berbual panjang dengan adik saya, kerana saya mahu beliau terus fokus.

“Ia Olimpik pertamanya dan saya mahu dia melakukan yang terbaik dan tidak terganggu oleh apa yang saya alami. Tetapi ini seperti menghapuskan apa yang kami capai di Doha,” ujarnya.

Quah, yang amat kecewa dengan keputusan itu, belum memikirkan tentang langkah seterusnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg