Topik diikuti
Pergi ke BHkuRemaja China rebah, meninggal dunia semasa pertandingan badminton
Remaja China rebah, meninggal dunia semasa pertandingan badminton
Remaja China rebah, meninggal dunia semasa pertandingan badminton
YOGYAKARTA: Pemain badminton lelaki remaja China, Zhang Zhi Jie, meninggal dunia selepas rebah di gelanggang ketika bersaing dalam Kejohanan Badminton Remaja Asia yang berlangsung di Yogyakarta, Indonesia, pada 30 Jun.
Kejadian tersebut berlaku ketika perlawanan antara China dengan Jepun dalam aksi Kumpulan D di Stadium GOR Among Raga.
Zhi Jie, 17 tahun, sedang berdepan dengan Kazuma Kawano apabila beliau tiba-tiba rebah dalam perlawanan yang berlangsung lewat pada 30 Jun itu. Ketika kejadian itu, kedudukan terikat 11-11.
Pasukan perubatan kejohanan itu bergegas ke gelanggang untuk memberikan bantuan sebelum pemain remaja itu dikejarkan ke hospital.
Badminton Asia dan Persatuan Badminton Seluruh Indonesia (PBSI) dalam satu kenyataan bersama, berkata Zhi Jie disahkan meninggal dunia pada 11.20 malam waktu tempatan.
“Pemain perseorangan China, Zhang Zhi Jie, pengsan semasa dalam gelanggang ketika perlawanan petang semalam (30 Jun) sebelum dikejarkan ke hospital dan meninggal dunia pada jam 11.20 malam waktu tempatan.
“Zhi Jie sedang bertanding dalam perlawanan peringkat kumpulan menentang Jepun ketika dia pengsan.
“Beliau kemudiannya dirawat oleh doktor kejohanan dan pasukan perubatan sebelum dibawa ke hospital dalam tempoh kurang dua minit dengan ambulans yang disediakan,” kata kenyataan itu.
Dalam kenyataan bersama, Badminton Asia, PBSI dan jawatankuasa penganjur kejohanan mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang serta Persatuan Badminton China (CBA).
“Dunia badminton kehilangan seorang pemain yang berbakat,” katanya.
Kejohanan Badminton Remaja Asia berlangsung di Stadium GOR Among Raga, Yogyakarta, dari 28 Jun hingga 2 Julai bagi acara berpasukan campuran.
Kejohanan itu akan diteruskan bagi acara individu yang dijadualkan bermula dari 3 hingga 7 Julai.
