Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

SAJIAN KHAS HARI INI: AZAM GEN-Z

Remaja mahu ukir nama dalam litar motosikal profesional

Anak kacukan Melayu-Italy ghairah uji bakat dalam perlumbaan OR Bric Superbike Series di Thailand; berharap dapat jalani latihan di Italy bagi pertingkat kemahiran dalam sukan perlumbaan motosikal
Sep 24, 2021 | 05:30 AM



PADA usia di mana ramai di kalangan rakan sebayanya mungkin baru sahaja berjinak-jinak menunggang basikal, Filippo Lozzi sudahpun belajar menunggang motosikal berkuasa kecil.



Sejak usia lima tahun, kedua ibu bapanya telah memperkenalkan dunia permotoran kepada beliau.



"Bapa saya memang seorang peminat motosikal. Beliau juga pernah mengambil bahagian dalam beberapa perlumbaan di peringkat antarabangsa sewaktu masa mudanya.



"Beliaulah yang mendedahkan saya kepada sukan ini dan mengajar saya menunggang motosikal Kawasaki berkuasa 50cc sewaktu saya masih kecil lagi," kata remaja kacukan Melayu dan Italy yang kini berusia 16 tahun.



Dengan pengawasan bapanya, Gianluca, Filippo, atau mesra dengan panggilan 'Pippo', akan menunggang motosikal kecilnya itu sebagai kegiatan riadah di tingkat teratas tempat letak kereta berdekatan rumah mereka.



Maka dari situ berputiklah minat dalam menceburi sukan lumba motosikal dan mengembangkan lagi bakatnya.



Bagaimanapun, terdapat beberapa rintangan yang perlu beliau hadapi. Sebagai contoh, usianya masih dianggap terlalu muda untuk menunggang motosikal di Singapura dan peluang menyertai perlumbaan di sini agak terbatas.



Keterbatasan itu sedikitpun tidak menjadi penghalang bagi dirinya untuk mengejar cita-cita menjadi seorang pelumba motosikal profesional.



Justeru, apabila beliau dihidangkan peluang berhijrah ke Bangkok, Thailand, sekitar tiga tahun lalu bersama bapanya, Filippo tidak membuang masa dalam memberi kata putusnya.



"Di Thailand, anda boleh mendapatkan lesen motosikal pada usia 15 tahun dan mereka juga menyediakan platform bagi pelumba muda seperti saya untuk menceburi sukan ini.



"Jadi ini merupakan satu kesempatan yang tidak mampu saya lepaskan," ujar anak kelahiran Singapura itu lagi.



Sejak bermastautin di Bangkok, Filippo telah mengambil bahagian dalam lima perlumbaan motosikal secara kompetitif bagi kategori 150cc dan yang terbaru, 400cc.



Bagi musim ini, beliau akan mengasah bakatnya dalam perlumbaan OR Bric Superbike Series di Litar Antarabangsa Chang yang terletak di wilayah Buri Ram.



Bagi perlumbaan itu, beliau berlumba dalam kategori junior, mewakili pasukan Pippo Racing dan jentera yang dipilih untuk menemaninya sekitar litar ialah Kawasaki Ninja 400.



Walaupun beliau tidak dapat melengkapkan perlumbaan sulungnya pada hujung minggu lalu, selepas tergelincir disebabkan masalah suspension belakang, Filippo berkata ia tidak mematahkan semangat untuk terus memberikan saingan yang lebih sengit pada perlumbaan seterusnya yang akan diadakan minggu hadapan.



"Mungkin nasib tidak menyebelahi saya dalam perlumbaan itu, dan saya juga akur bahawa saya masih belum menyesuaikan diri dengan litar tersebut.



"Di samping itu, masih banyak lagi yang perlu saya pelajari, kerana buat masa ini saya juga masih belum biasa menunggang motosikal berkuasa 400cc dan dalam keadaan litar yang basah serta licin.



"Namun saya akan memastikan persediaan rapi dibuat sebelum perlumbaan seterusnya," tambah anak kedua kepada bekas atlet triatlon, Norlinda Zainuddin.



Di tengah-tengah kesibukannya dalam membuat persediaan sebelum hari perlumbaan, Filippo tidak pernah mengabaikan pelajarannya.



Pelajar Sekolah Antarabangsa Berkeley itu akan mengimbangi masa sepanjang Isnin hingga Jumaat untuk sekolah dan mengulang kaji pelajaran.



"Pelajaran masih menjadi keutamaan saya, dan oleh itu, pada hari saya bersekolah saya cuba untuk tidak berlatih dan menumpukan perhatian terhadap kerja-kerja sekolah.



"Latihan hanya akan dilakukan sepanjang Sabtu, atau Ahad, jika saya perlukan latihan tambahan," jelasnya.



Berkongsi tentang harapan masa depannya, Filippo berkata beliau berharap dapat ke Italy untuk terus mengembangkan bakatnya.



Beliau mendapat tawaran daripada seorang rakan bapanya, yang juga merupakan bekas pelumba motosikal Grand Prix Italy, Fausto Ricci, untuk berlatih bersamanya.



Remaja yang menjadikan pelumba Moto GP pasukan Petronas Yamaha SRT, Andrea Dovizioso, sebagai inspirasinya, itu menambah:



"Jika pandemik Covid-19 ini berakhir, saya berharap dapat ke Italy dan berlatih di sana. Saya berharap dapat belajar dan berlatih dengan Fausto dan memperbaiki kekurangan saya dan menjadi lebih baik agar dapat bersaing dalam perlumbaan profesional peringkat antarabangsa suatu hari nanti."




"Bapa saya memang seorang peminat motosikal. Beliau juga pernah mengambil bahagian dalam beberapa perlumbaan di peringkat antarabangsa sewaktu masa mudanya. Beliaulah yang mendedahkan saya kepada sukan ini dan mengajar saya menunggang motosikal Kawasaki berkuasa 50cc sewaktu saya masih kecil lagi... Jika pandemik Covid-19 ini berakhir, saya berharap dapat ke Italy dan berlatih di sana. Saya berharap dapat belajar dan berlatih dengan Fausto dan memperbaiki kekurangan saya dan menjadi lebih baik agar dapat bersaing dalam perlumbaan profesional peringkat antarabangsa suatu hari nanti."
- Filippo Lozzi, 16 tahun, yang ibunya berbangsa Melayu manakala bapanya orang Italy.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >