Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Renang-para bolot kededua anugerah utama SDSA

Jul 7, 2022 | 6:36 AM
CEMERLANG DI KOLAM RENANG: Yip (kiri) dinobat Atlet Wanita Terbaik di Majlis Anugerah Sukan Kurang Upaya Singapura 2022 semalam, manakala rakan perenang Toh (kanan) merangkul Atlet Lelaki Terbaik. - Foto-foto SPORT SINGAPORE, SDSC
CEMERLANG DI KOLAM RENANG: Yip (kiri) dinobat Atlet Wanita Terbaik di Majlis Anugerah Sukan Kurang Upaya Singapura 2022 semalam, manakala rakan perenang Toh (kanan) merangkul Atlet Lelaki Terbaik. - Foto-foto SPORT SINGAPORE, SDSC -

SUKAN renang-para muncul sebagai pemenang besar di Majlis Anugerah Sukan Kurang Upaya Singapura (SDSA) tahun ini, selepas membolot lima daripada 10 kategori anugerah yang dipertandingkan.

Dalam satu acara penyampaian anugerah di Hotel ParkRoyal @ Beach Road malam tadi - yang diadakan secara fizikal buat sejak Covid-19 melanda pada 2019 - perenang Yip Pin Xiu, yang merangkul dua pingat emas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 tahun lalu, dinobat Atlet Wanita Terbaik SDSA 2022.

Ini merupakan kemenangan hatrik bagi Yip, 30 tahun, dalam kategori itu sejak majlis anugerah tersebut kembali dianjurkan pada 2019.

Jurulatihnya, Mark Chay, turut diiktiraf sebagai Jurulatih Terbaik (Persembahan Tahap Tinggi) buat kali kedua - pencapaian hebat bagi presiden Persatuan Renang Singapura yang baru dilantik itu.

Chay, 40 tahun, hanya melibatkan diri dalam sukan renang-para tiga tahun lalu.

Perenang Toh Wei Soong, 23 tahun, yang mendapat tempat keempat di Sukan Paralimpik Tokyo, menggondol anugerah Atlet Lelaki Terbaik sulungnya semalam, setelah dua tahun berturut-turut dinobat Atlet Muda Lelaki Terbaik pada 2019 dan 2020.

Colin Soon, 17 tahun, yang cemerlang dalam Sukan Para Belia Asia 2021, membawa pulang anugerah pertamanya, Atlet Muda Lelaki Terbaik, manakala jurulatihnya, Roland Tan, disampaikan anugerah Jurulatih Terbaik (Pembangunan),

Anugerah Atlet Muda Wanita Terbaik pula dirangkul pelari pecut Siti Nurhayati Ali Aksar Khan, 20 tahun, yang mengatasi peristiwa duka - beliau kehilangan bapanya sebelum acara bermula - untuk meraih pingat perak di Sukan Para Belia Asia tahun lalu.

Majlis anugerah itu dianjurkan Majlis Sukan Kurang Upaya Singapura (SDSC) dan disokong Haw Par Corporation, yang untuk tahun kelapannya, memperjuangkan atlet kurang upaya di sini.

Syarikat itu turut menyampaikan cek bernilai $120,000 kepada presiden SDSC, Dr Teo-Koh Sock Miang, bagi menyokong pembangunan atlet-atlet sukan-para.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg