Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Riyadh pelumba pertama SG naik podium Piala Dunia

Korban kerjaya pendidikan demi latih, lumba di Eropah berbaloi dengan duduki tempat kelima
Oct 5, 2021 | 5:30 AM
'BONUS' BAGI PENGORBANAN: Riyadh (paling kanan) berjaya menduduki tempat kelima secara keseluruhan, meraih keputusan podium di Piala Dunia Eliminator Mountain Bike UCI Barcelona Sabtu lalu. - Foto ihsan RIYADH HAKIM LUKMAN
'BONUS' BAGI PENGORBANAN: Riyadh (paling kanan) berjaya menduduki tempat kelima secara keseluruhan, meraih keputusan podium di Piala Dunia Eliminator Mountain Bike UCI Barcelona Sabtu lalu. - Foto ihsan RIYADH HAKIM LUKMAN -

PENGORBANAN mengetepi kerjaya demi memburu impian dalam sukan basikal bukit (mountain bike) secara profesional berbaloi buat atlet Singapura Riyadh Hakim Lukman, apabila beliau berjaya menaiki podium di Piala Dunia Eliminator Mountain Bike UCI Barcelona Sabtu lalu.

Riyadh, 22 tahun, mencatat masa 1 minit 22.82 saat dalam 'final kecil' - yang menentukan kedudukan keseluruhan - untuk mendapat tempat kelima secara keseluruhan.

Beliau pelumba basikal Singapura pertama berjaya menaiki podium dalam perlumbaan Piala Dunia UCI.

"Ya, pastinya rasa luar biasa," kata Riyadh, pemenang pingat emas pertama Singapura di Kejohanan Lumba Basikal Asia pada 2019, kepada Berita Harian.

"Kami datang ke Eropah dengan tujuan membina kemajuan persembahan. Jadi, meraih keputusan ini, adalah satu bonus bagi saya."

Perlumbaan di Barcelona, Sepanyol, menandakan minggu ke-10 beliau dan jurulatihnya Junaidi Hashim berada di Eropah.

Mereka mengelilingi Eropah - Belgium, Belanda, Andorra dan Sepanyol - sejak awal Ogos untuk Riyadh berlatih dan berlumba, sebagai persiapan Riyadh bagi Sukan SEA dan Sukan Asia tahun depan.

Pada mulanya mereka dijadual pulang hari ini, tetapi kini melanjutkan lawatan itu hingga lewat bulan ini kerana Riyadh mendapat undangan bertanding di Piala MTB Sakarya dan Siri Nasional Eliminator Turkey di Turkey.

Riyadh akan bertanding dalam tujuh perlumbaan sepanjang dua minggu. Namun, keputusan berlatih dan berlumba di Eropah bukan mudah.

Selain berjauhan lama daripada keluarga, Riyadh terpaksa menangguhkan rancangan menjadi guru latihan jasmani. Selepas Perkhidmatan Negara (NS) Ogos tahun lalu, beliau mengajar latihan jasmani di sekolah rendah selama enam bulan dan merancang mendaftar di Institusi Pendidikan Nasional (NIE) bagi memulakan kerjaya bidang pendidikan.

Riyadh harus "membuat salah satu keputusan terbesar dalam hidup saya", dan akhirnya memilih mengejar impian menjadi atlet profesional.

Pilihan itu membuahkan hasil kerana beliau menganggap pengalaman di Eropah itu "tiada bandingannya", terutama sedang pandemik Covid-19 menyekat banyak peluang perlumbaan di rantau Asia.

"Eropah adalah pilihan terbaik seterusnya kerana tiada kekurangan perlumbaan dan keadaan Covid-19 kelihatan stabil," kata Riyadh, yang pertama kali bersaing di Eropah.

"Cuaca teruk menyediakan mutu latihan lebih baik, perlu pemulihan lebih baik. Kesukaran bukit dan rupa bumi meningkatan kemahiran mengendalikan basikal. Tahap pertandingan pula membantu latihan saya dan memaksa saya kerap melebihi had saya.

"Dalam dua bulan ini, kami melihat peningkatan positif," ujarnya.

Junaidi, 39 tahun, berpuas hati akan persembahan Riyadh sejauh ini.

"Ia memang pengalaman baik. Kami melihat kemajuan setiap minggu. Kami menetapkan beberapa matlamat bagi lawatan ini, tapi tidak sangka dapat berada di podium di Piala Dunia. Saya sangat gembira tentang kesungguhan dan persembahannya," kata beliau.

"Cuaca teruk (Eropah) menyediakan mutu latihan lebih baik, perlu pemulihan lebih baik. Kesukaran bukit dan rupa bumi meningkatan kemahiran mengendalikan basikal. Tahap pertandingan pula membantu latihan saya dan memaksa saya kerap melebihi had saya. Dalam dua bulan ini, kami melihat peningkatan positif." - Riyadh Hakim Lukman, menganggap pengalaman di Eropah "tiada bandingannya".

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg