Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

BOLA SEPAK SETEMPAT - 3 langkah ‘selamatkan’ bola sepak negara:

Rombak skuad, beri suntikan bakat baru, lupakan kejayaan jangka pendek

Selepas kekecewaan Piala AFF, Jita Singh, Aide Iskandar dan Rafi Ali bincang masalah dan cara pulihkan bola sepak negara
Jan 14, 2023 | 05:30 AM



ROMBAK seluruh skuad, berikan suntikan bakat baru sambil lupakan kejayaan jangka masa pendek demi kejayaan yang lebih berkekalan.



Persembahan hambar Singapura di Piala AFF 2022 baru-baru ini, di mana pasukan Singa disingkirkan oleh seteru tradisi Malaysia selepas tewas 1-4 dalam peringkat kumpulan, dikritik hebat peminat sekali gus menimbulkan seribu satu persoalan mengenai keadaan bola sepak negara.



Pasukan Singa di bawah bimbingan jurulatih baru Takayuki Yoshida gagal mengulangi persembahan pengendali terdahulunya dan rakan senegara, Tatsuma Yoshida, yang telah membawa Singapura ke separuh akhir dalam edisi Piala AFF yang lalu pada Disember 2021.



Singapura menghadapi kemarau untuk sekali lagi menjulang Piala AFF berterusan sejak kali terakhir memenanginya pada 2012. Singapura menjadi juara sebanyak empat kali dalam kejohanan Asean itu.



Bekas kapten Singapura, Aide Iskandar, ketika berkongsi pandangannya dalam satu rakaman #NoTapis Extra Time - sebuah podcast sukan terbitan Berita Harian/Berita Minggu - baru-baru ini, mencadangkan untuk skuad nasional yang sedia ada dirombak dan diberikan nafas baru.



"Hakikatnya, pasukan Singa tidak beraksi dengan baik. Tapi, apakah yang dapat kita lakukan untuk membuat mereka lebih baik? Apakah yang boleh kita lakukan untuk pastikan bahawa kita tidak akan tersingkir sekali lagi pada tahun hadapan?



"Jadi, FAS (Persatuan Bola Sepak Singapura) perlu bertanya pada diri mereka dan berbincang apa yang perlu dilakukan supaya perkara ini tidak berlaku lagi...Mereka boleh mengambil langkah berani seperti contohnya, merombak seluruh pasukan. Kita pernah berbuat demikian pada 2002 selepas kalah kepada Malaysia 0-4," ujar Aide, yang menjadi sebahagian skuad Singa pada ketika itu.



Dalam edisi Piala AFF tahun itu, Singapura di bawah bimbingan Jan Poulsen, dimalukan oleh Harimau Malaya di Stadium Negara dalam perlawanan pembukaan, dan akhirnya gagal ke separuh akhir.



"Kami merombak seluruh pasukan. Ini bermakna kami menggugurkan semua pemain senior dan kami memasukkan banyak pemain muda.



"Tapi, mandat yang diberikan kepada jurulatih...'anda tidak perlu menang Piala AFF kali ini, mungkin pada yang edisi yang seterusnya anda perlu tunjukkan beberapa hasil, kemajuan'. Jadi, sama ada kita dapat bersabar untuk menyaksikan kejayaan adalah persoalan yang kita perlu tanya pada diri kita sendiri," tambah Aide, 47 tahun, yang kini merupakan seorang perunding sukan.



Dalam Piala AFF berikutnya pada 2004, Singapura di bawah bimbingan jurulatih Raddy Avramovic, berjaya merangkul trofi kejuaraan kedua negara, dalam pertandingan dwitahunan itu.



Seorang lagi tetamu undangan podcast, bekas jurulatih nasional Singapura Jita Singh, 74 tahun, pula berkata kejatuhan Singapura mungkin berpunca daripada kekurangan bakat dalam skuad.



"Kemungkinan besar 'feeder group' (atau kumpulan pemain yang membekal pasukan nasional) kita kurang," kongsi Jita, yang mengurus skuad Singa pada 1979 hingga 1984.



"Pada masa saya, ketika saya menjadi jurulatih, kami mempunyai pasukan 'intermediate' (perantaraan)...Jadi, sentiasa ada pengganti. Dengan kehadiran mereka, pemain senior sentiasa perlu bersedia untuk beraksi dengan baik.



"Tapi, sekarang kadang kala ia kelihatan seperti tiada pengganti. Jadi, anda boleh menjadi mudah berpuas hati. Itu hakikatnya sebagai seorang manusia. Saya tidak cakap pemain kita bersikap sambil lewa tapi ia mungkin boleh berlaku," tambah beliau.



Menjelang Piala AFF 2022, Singapura mengumumkan skuad sementaranya yang seramai 30 pemain bagi menjalani satu kem latihan di Jepun, sebelum memilih 23 pemain untuk mewakili negara dalam kejohanan itu.



Dengan Ikhsan Fandi dan Adam Swandi cedera dalam perlawanan persahabatan seminggu sebelum kejohanan itu, dan Taufik Suparno tidak dapat dipanggil atas urusan peribadi, Singapura hanya ada 27 pemain pilihan sahaja.



Ini berbeza berbanding kumpulan pemain yang lebih besar dalam pasukan nasional pada masa dahulu, menurut bekas pemain midfield Singapura, Rafi Ali, 50 tahun.



"Singapura ada dua skuad (nasional), bukan Singa Muda, tetapi pasukan A dan B...(Dan) pasukan B adalah sama bagus dengan pasukan A. Selalunya, apabila kedua-dua pasukan menentang satu sama lain, ia seperti keluar berperang. Kami kadang kala sehingga bergaduh di atas padang," jelas Rafi, yang menjuarai Piala AFF 1998 dan Piala Malaysia 1994 mewakili Singapura.



"Anda boleh melihat pergaduhan itu sama ada daripada sudut negatif atau positif kerana semua orang bermain sebaik mungkin untuk mendapat tempat dalam pasukan. Jadi, pemain dalam kesebelasan utama sentiasa perlu bersedia. Jika mereka membuat kesalahan atau persembahan mereka tidak bagus, pemain kedua (dalam posisi sama) akan diturunkan.



"Dan untuk pemain dalam pasukan B, apabila mereka berjaya ke pasukan utama, dia akan pastikan dia kekal di sana dan berjuang habis-habisan sehingga mungkin dia tercedera atau apa sahaja.



"Jadi, daya saing itulah yang membentuk pasukan nasional Singapura. Ia bukan hanya 25 pemain, tetapi 40 pemain. Kami mempunyai kumpulan pemain yang besar," tambah beliau.




"Jadi, FAS (Persatuan Bola Sepak Singapura) perlu bertanya pada diri mereka dan berbincang apa yang perlu dilakukan supaya perkara ini tidak berlaku lagi...Mereka boleh mengambil langkah berani seperti contohnya, merombak seluruh pasukan."
- Aide Iskandar, bekas kapten Singapura.



"Pada masa saya, ketika saya menjadi jurulatih, kami mempunyai pasukan 'intermediate' (perantaraan)...Jadi, sentiasa ada pengganti. Dengan kehadiran mereka, pemain senior sentiasa perlu bersedia untuk beraksi dengan baik."
- Jita Singh, bekas jurulatih skuad nasional.



"Dan untuk pemain dalam pasukan B, apabila mereka berjaya ke pasukan utama, dia akan pastikan dia kekal di sana dan berjuang habis-habisan sehingga mungkin dia tercedera atau apa sahaja. Jadi, daya saing itulah yang membentuk pasukan nasional Singapura."
- Rafi Ali, bekas pemain midfield Singapura.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >