DOHA: Peminat yang menonton Portugal menentang Ghana pastinya mengharapkan persembahan menarik oleh Cristiano Ronaldo. Penyerang handalan dunia itu tidak menghampakan.
Penonton menyaksikan sejarah apabila pemain berusia 37 tahun itu menjadi orang pertama menjaringkan gol dalam lima Piala Dunia Fifa berbeza, dan Portugal meninggalkan Stadium 974 dengan kemenangan 3-2 dan senyuman, manakala Ghana keluar berasa terkilan.
Sekali gus juara Eropah 2016 itu memulakan kempen Piala Dunia Qatarnya dengan baik.
Gol Ronaldo dan keputusan itu mungkin juga dapat mengalihkan tumpuan ramai daripada isu luar padang yang membelenggunya menjelang pertandingan ini.
Beliau meninggalkan Manchester United atas persetujuan bersama dengan kelab itu, selepas memberi satu temu ramah tidak menyenangkan United dan pengurus Erik ten Hag.
"Ia adalah minggu yang mengakhiri bab itu, semuanya sudah ditutup. Yang lebih penting ialah kami menang dan saya dapat membantu pasukan kami - yang lain tidak penting lagi.
"Ini adalah satu detik manis, memandangkan ia Piala Dunia kelima saya. Kami menang, kami mula dengan rentak baik dan penting untuk kami menang. Memang perlawanan pertama biasanya penting dalam pertandingan sebegini.
"Pemain pertama menjaringkan gol pada setiap Piala Dunia (yang disertainya) - ini membuat saya berasa bangga," kata Ronaldo.
Semasa melangkah masuk ke padang, Ronaldo dan pasukannya mendapat sorakan gemuruh daripada peminat dan semasa menyanyikan lagu kebangsaan Portugal, penyerang berbisa itu dilihat menitiskan air mata.
Meskipun terlepas dua peluang baik dan satu golnya dibatalkan, beliau tidak mensia-siakan peluang terhidang pada separuh masa kedua.
Beliau menggelecek tetapi dijatuhkan pemain pertahanan Ghana dan penalti diberi kepada Portugal. Daripada titik penalti Ronaldo sendiri, dengan tenang, merembat bola masuk.
Pengurus Portugal Fernando Santos berkata: "Beliau salah seorang pemain terhandal dunia, salah seorang pemain terbaik yang pernah bermain bola sepak, dan dalam 50 tahun mendatang, kita akan terus berbual mengenainya."
Ronaldo mendapat tepukan penonton apabila digantikan oleh Goncalo Ramos dengan permainan berbaki tiga minit.
Dan dalam tempoh itu juga beliau berasa gementar melihat pemain Ghana Osman Bukari hampir menjaringkan gol pada minit-minit terakhir, dan menarik nafas lega apabila pemain itu gagal menyamakan kedudukan.
Ronaldo juga menjadi pemain kedua paling tua menjaringkan gol di Piala Dunia. Penjaring gol tertua ialah Roger Milla, pada 1994 untuk Cameroon. Ketika itu Milla berusia 42 tahun.
Namun, mungkin juga Ronaldo dapat memecahkan rekod Milla kerana beliau akan berusia hanya 41 tahun apabila Piala Dunia selanjutnya berlangsung pada 2026.
Ronaldo juga pemain Portugal paling muda dan paling tua menjaringkan gol Piala Dunia, seperti Ivica Olic bagi Croatia dan pemain Denmark Michael Laudrup.
Termasuk Piala Dunia dan Kejohanan Euro, Ronaldo kini telah menjaringkan gol di 10 pertandingan utama bola sepak. - Agensi berita.
KEPUTUSAN
KUMPULAN G
Switzerland 1 Cameroon 0
Brazil 2 Serbia 0
KUMPULAN H
Uruguay 0 Korea Selatan 0
Portugal 3 Ghana 2
JADUAL PERLAWANAN
HARI INI
Kumpulan D
Tunisia lwn Australia (6 ptg)
Kumpulan C
Poland lwn Arab Saudi (9 mlm)
ESOK PAGI
Kumpulan D
Perancis lwn Denmark (12 mlm)
Kumpulan C
Argentina lwn Mexico (3 pagi)
*Semua perlawanan disiarkan di Singtel
TV Ch141 & StarHub Ch251
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg