Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ronda Rousey enggan kembali bertarung akibat cedera

Sep 2, 2024 | 5:30 AM
Bekas juara kelas bantam atau bantamweight Seni Bela Diri Campuran (MMA) UFC, Ronda Rousey, yang sedang hamil anak kedua, mendedahkan beliau tidak akan kembali ke gelanggang untuk bertarung akibat kecederaan.
Bekas juara kelas bantam atau bantamweight Seni Bela Diri Campuran (MMA) UFC, Ronda Rousey, yang sedang hamil anak kedua, mendedahkan beliau tidak akan kembali ke gelanggang untuk bertarung akibat kecederaan. - Foto AFP

SAN DIEGO: Bekas juara bantamweight Seni Bela Diri Campuran (MMA) UFC, Ronda Rousey, mendedahkan beliau tidak akan kembali ke gelanggang untuk bertarung.

Bekas pemenang pingat gangsa acara judo dalam Olimpik Athens di Beijing China pada 2008 itu berkata kecederaan yang dialaminya sebelum ini menghalang beliau daripada terus bersaing.

Padahal namanya terus mekar dalam dunia MMA dan sering kali dikaitkan untuk kembali bertarung selepas kali terakhir menjejakkan kakinya dalam gelanggang pada 2016.

Ketika itu, beliau tewas kepada pencabarnya, Amanda Nunes, dari Brazil, berdasarkan keputusan technical knockout (TKO).

TKO atau tewas teknik merujuk pada keputusan memberhentikan perlawanan tinju oleh pengadil apabila salah seorang peserta tidak lagi berdaya untuk meneruskan perlawanan, dan mengisytiharkan kemenangan kepada lawannya.

Meskipun begitu, Rousey menganggap kaitan namanya dengan UFC membuatnya berasa gembira.

“Setiap beberapa tahun, timbul sahaja berita angin serupa,” kata Rousey kepada podcast Insight.

“Sudah tentu ia membuat saya berasa rindu. Namun ia tidak akan berlaku.

“Saraf saya tidak lagi secergas dulu, maka saya tidak dapat bertanding lagi di peringkat tertinggi. Memang tidak mampu berbuat demikian.

“Anda akan capai di satu peringkat apabila kecederaan saraf membelenggu anda satu hari kelak. Dan ia tidak akan menjadi semakin baik,” kata beliau.

Rousey, 37 tahun, juga menceritakan bahawa kecederaan berulang yang dialaminya sejak kecil menjadi faktor penyumbang kepada berakhirnya kerjaya beliau dalam MMA.

Menurut Rousey, beliau tidak pernah mendedahkan hal itu secara terbuka. Ini kerana ketika itu beliau masih bersaing dan sehingga beliau meninggalkan UFC, beliau masih merahsiakannya.

Lama-kelamaan gejala yang dialaminya akibat terlalu banyak kecederaan memaksa beliau menarik diri daripada bersaing secara sepenuh masa.

“Apabila saya masuk MMA, saya sudah pun mengalami banyak kecederaan tapi saya teruskan juga sukan ini.

“Saya tidak berhenti. Gejala yang saya alami kini boleh dianggap sebagai telah terkumpul sejak sedekad lalu,” ujarnya.

Beliau menambah semasa kali pertama menyertai MMA, beliau berusaha mengelakkan sebarang kesilapan dan kecederaan.

Beliau kemudian mendapati dirinya terlibat secara lebih kerap dalam MMA berbanding pesaing lain.

“Saya lalui banyak pertarungan berbanding atlet lain, dan sedikit demi sedikit, kecederaan yang dialami menjadi banyak,” jelasnya.

Kecederaan yang dialaminya mula jelas apabila beliau tewas kali pertama – melalui KO dalam pertarungan profesional kepada pencabarnya, Holly Holm, dari Amerika Syarikat, pada 2015, selepas ditendang di kepala.

Beliau kemudian terpaksa berehat selama setahun untuk pulih daripada kecederaannya itu.

Kecederaan selanjutnya dialaminya pada 2016 apabila tewas kepada legenda UFC, Nunes, dalam masa 46 saat sahaja.

Rousey kemudian terus menarik diri daripada sukan tersebut.

Kini, Rousey turut mendedahkan beliau bakal menimang cahaya mata kedua.

Beliau dan suaminya, Travis Browne, mendapat anak pertama mereka pada 2021.

Rousey berkata demikian semasa mempromosikan novel grafiknya berjudul, Expecting the Unexpected.

Novel itu menceritakan tentang kisah seorang pembunuh upahan yang hamil, mengimbangi antara proses menjadi ibu dengan menjadi pembunuh.

“Pengalaman ini amat menggembirakan saya dan hasil sokongan anda, saya harap dapat terus menjadi penulis novel grafik.

“Apa yang saya lakukan kini tidak menjejas tubuh saya sehinggalah saya tua.

“Adakah anda sedar saya sedang hamil? Ya, saya hamil,” tambahnya dengan gembira.

Sebelum ini, beliau juga telah melancarkan memoir keduanya, Our Fight, Ronda Rousey, pada April.

Menerusi memoirnya itu, Rousey meneroka cabaran terhebat yang dialami dalam kehidupannya, dan bagaimana beliau membangunkan kerjayanya.

Ia juga menceritakan perubahan kerjayanya, perkahwinan, menjadi ibu dan berhadapan dengan rasa gementar. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg