ENGLAND: Wayne Rooney dan skuad pasukan utama Derby akan terlepas beraksi dalam perlawanan pusingan ketiga Piala FA di Chorley berikutan wabak koronavirus yang menyebabkan padang latihan mereka ditutup Isnin lalu.
Pasukan Rams yang bakal bertanding dalam perlawanan di Victory Park itu akan merangkumi pemain di bawah 23 tahun dan di bawah 18 tahun.
Jurulatih pasukan di bawah 23 tahun, Pat Lyons dan Gary Bowyer, dijangka mengetuai pasukan.
Kemudahan latihan Moor Farm ditutup setelah beberapa pemain dan kakitangan diuji positif bagi Covid-19.
Isnin lalu, kelab itu mengatakan mereka "sedang dalam perbincangan dengan EFL dan Persatuan Bola Sepak England berhubung perlawanan akan datang".
Dalam satu kenyataan lanjut yang dikeluarkan kelmarin, Derby berkata: "Kelab telah mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak England sejak malam Isnin untuk membincang cara lain untuk meneruskan perlawanan Piala FA hujung minggu ini.
"Mereka yang diuji positif bagi Covid-19, dan mereka yang kontak dapat dengan individu ini, harus mengasingkan diri untuk satu tempoh masa.
"Sementara kakitangan jurulatih, pasukan belakang tabir dan pemain pasukan utama sedang mengasingkan diri, kakitangan dan pemain untuk perlawanan Sabtu ini akan sebahagian besarnya terdiri daripada pemain di bawah 23 tahun dan di bawah 18 tahun kelab.
"Semua individu dijadual menghadiri perlawanan di Chorley, selaras dengan peraturan Persatuan Bola Sepak England, akan menjalani ujian bagi Covid-19 pada Khamis."
Peraturan Piala FA menyatakan bahawa kelab-kelab dijangka bersaing dalam perlawanan mereka sekiranya mereka mempunyai 14 pemain yang layak - termasuk daripada skuad di bawah 23 tahun dan di bawah 18 tahun - dan bersedia beraksi, walaupun mereka boleh membuat rayuan.
Bekas penyerang England Rooney dilantik pengurus sementara Derby sejak pengunduran pengurus sebelumnya Phillip Cocu pada 14 November.
Rams kini menduduki tangga ketiga terendah dalam Liga Championship setelah bermain 22 perlawanan. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg