Juara bertahan Liga Perdana Singapura (SPL), Lion City Sailors merampas kedudukan tertinggi carta SPL dengan kemenangan besar 5-0 ke atas Geylang International pada 22 November.

Lion City Sailors mempamerkan kekuatan serangan mereka dalam perlawanan di Stadium Jalan Besar itu.

Sailors hampir membuka tirai jaringan pada minit kesembilan menerusi tandukan Bailey Wright, namun gol tersebut dibatalkan selepas semakan VAR mendapati bola telah keluar dari kawasan permainan sebelum jaringan tersebut.

Sailors terus mengancam benteng Geylang, dengan Matthias Phaeton turut mempamerkan kelincahan apabila menggelecek melepasi beberapa pemain pertahanan Geylang pada minit ke-29, namun gagal menghasilkan percubaan yang mengancam.

Usaha Sailors akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-44 apabila sepakan percuma Giovanni Haag berjaya ditepis dengan baik oleh penjaga gawang Geylang, Milos Cupic, tetapi Toni Datkovic berada di tempat yang tepat untuk menanduk masuk bola muntah dan meletakkan Sailors di hadapan.

Geylang cuba membalas sebelum tamat separuh masa pertama apabila Yang Hyeon-ju berjaya melepasi Ryhan Stewart, namun percubaannya disekat barisan pertahanan Sailors.

Sailors menamatkan separuh masa pertama dengan kelebihan 1-0.

Sailors tidak berlengah untuk menambah kelebihan selepas separuh masa kedua bermula apabila hantaran lintang Song Ui-young gagal dikutip Cupic, sebelum bola jatuh ke kaki Phaeton yang menjaringkan peluang untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Kurang tujuh minit kemudian, Sailors sekali lagi menambah jaringan apabila Lennart Thy dikasari di dalam kotak penalti, sebelum penyerang itu sendiri menyempurnakan sepakan penalti untuk melebarkan jurang kepada 3-0.

Sailors terus menguasai permainan dan menambah jaringan keempat pada minit ke-59 menerusi sepakan percuma Costa yang disambut Thy dengan tandukan, sekali gus menjaringkan gol keduanya dalam perlawanan tersebut.

Ilhan Fandi melengkapkan kemenangan besar Sailors pada minit ke-80 apabila beliau menyambut hantaran lintang Bart Ramselaar dengan tandukan untuk menghasilkan gol kelima pasukannya.

Kemenangan tersebut bermakna Sailors berada dalam rentak yang baik sebelum pertembungan mereka dengan pasukan Thailand dalam aksi ACL2 pada 26 November.