Anderson Lopes nampaknya berpesta gol apabila empat jaringannya membantu Lion City Sailors untuk mengekalkan rentak kemenangan mereka selepas menumpaskan Selangor FC 4-2 dalam perlawanan kedua Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) di Bishan Stadium pada 1 Oktober.
Ia hanya mengambil masa kurang seminit untuk Sailors mengancam gawang Selangor, apabila bek kanan Sailors, Chris Van Huizen menghasilkan hantaran silang yang berbisa untuk disambut Bart Ramselaar, tetapi tidak temui sasaran.
Juara bertahan Liga Perdana Singapura itu menguasai awal perlawanan dengan menghasilkan beberapa gerakan hebat.
Usaha mereka membuahkan hasil apabila Lopes membuka tirai perlawanan pada minit ketujuh.
Jaringan tersebut adalah hasil gabungan hebat bek kiri Sailors, Diogo Costa bersama Bart, yang menghasilkan hantaran silang ke Maxime Lestiene yang bijak diterima Lopes untuk menjaringkan gol pertama perlawanan.
Pada minit ke-13 Sailors menambah kepada penderitaan Selangor yang terpaksa gigit jari kerana tidak memanfaatkan peluang mereka.
Bart melepaskan rembatan dari luar kotak penalti yang berjaya dihalang pemain pertahanan Selangor, tetapi bola terjatuh ke Anderson Lopes, yang melepasi penjaga gawang Selangor, Kalamullah Al Hafiz, dengan tenang untuk menggandakan kelebihan Sailors.
Hampir setengah jam dalam perlawanan, barulah kelihatan Selangor mula mengancam gawang Sailors pula.
Tendangan sudut kapten Selangor, Faisal Halim, temui penyerang Alvin Fortes yang mengawal bola dengan hebat, sebelum melepaskan rembatan, tetapi pengaja gawang Sailors, Ivan Susak, berjaya menghalang percubaan tersebut.
Namun, baru sahaja Selangor temui rentak mereka, perlawanan perlu dihentikan buat seketika pada minit ke-31 akibat sistem amaran kilat dihidupkan.
Perlawanan hanya bersambung sekitar satu jam kemudian pada sekitar 8.05 malam.
Tetapi perkara itu tidak menjejas rentak permainan Selangor.
Hanya lima minit perlawanan bersambung, Selangor melancarkan serangan di mana bek kanan mereka, Quentin Cheng menghantar bola hebat yang diterima oleh penyerang, Chrigor Moraes di kotak penalti.
Beliau berjaya melepasi Susak, yang terpaksa mengasari penyerang itu untuk menghalangnya daripada menjaringkan gol mudah.
Penalti dihadiahkan kepada Selangor dan Moraes memanfaatkan peluang tersebut untuk merapatkan jurang perlawanan.
Jaringan tersebut jelas membakar semangat dalam pemain Selangor, yang terus mengasak gawang Sailors untuk mendapatkan gol penyamaan.
Namun, Sailors berjaya memadamkan api semangat Selangor apabila Lopes melengkapkan hatriknya pada masa tambahan separuh masa pertama.
Separuh masa pertama berakhir dengan Sailors memegang kelebihan 3-1.
Separuh masa kedua bermula dengan Selangor yang masih giat memburu gol untuk mengejar Sailors.
Mereka hampir merapatkan jurang sekali lagi pada minit ke-51, tetapi Susak berjaya menghalang percubaan Faisal untuk mempertahankan kelebihan pasukannya.
Namun, sekali lagi Sailors mempamerkan ketajaman serangan balas mereka.
Bart memanfaatkan hantaran lalai Selangor dan membawa bola dari tengah padang dan akhirnya menghantar bola kepada Lopes untuk mendapatkan jaringan keempat beliau.
Selangor akhirnya berjaya mengurangkan jurang sekali lagi melalui Faisal Halim yang melepaskan rembatan yang berjaya melepasi Susak pada minit ke-73.
Namun, hasrat Selangor untuk bangkit tidak kesampaian dan mereka terpaksa menelan kekalahan 4-2 kepada Sailors.
Dengan kemenangan itu, Sailors kini mengumpul empat mata selepas dua perlawanan, sekaligus menerajui kumpulan G diikuti Persib (empat mata), Bangkok United ( tiga mata), dan Selangor FC di tangga tercorot tanpa sembarang mata.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg