Jurulatih Lion City Sailors (LCS) Aleksandar Rankovic seolah-olah bermimpi dan enggan dikejutkan, selepas pasukannya mencipta sejarah pada 16 April, menjadi pasukan bola sepak pertama dari Singapura mara ke final pertandingan peringkat Asia.
Walaupun tewas 1-0 kepada tuan rumah Sydney FC pada perlawanan kedua separuh akhir Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) di hadapan 10,588 penonton di Stadium Bola Sepak Sydney, Sailors menang dengan agregat 2-1.
LCS akan menentang Sharjah FC dari Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan akhir 18 Mei, yang dijadualkan berlangsung di Singapura.
Sharjah telah menewaskan pasukan dari Arab Saudi, Al-Taawoun 2-0 pada 15 April untuk memenangi separuh akhir mereka dengan agregat 2-1.
“Saya telah menyatakan bahawa saya masih menunggu seseorang untuk menyedarkan saya tetapi sekarang, secara jujur, saya tidak mahu berjaga.
“Saya mahu terus bermimpi dan berharap kita boleh teruskan perjalanan hebat ini,” kata Rankovic mengenai pencapaian mereka sejauh ini.
“Kami tahu bahawa kami akan melalui banyak tekanan, kami perlu meletakkan ramai pemain di hadapan gawang dan kami melakukan tugasan yang baik.”
Pemain pertahanan LCS, Bailey Wright, yang pernah bermain 29 kali dengan pasukan Australia, menganggap pencapaian mereka sebagai “agak menakjubkan”, sambil menambah:
“Apabila kami memulakan perjalanan ini, tiada seorang pun daripada kami benar-benar mengharapkan kami berada di sini.
“Namun di sinilah kami.
“Perlawanan amat sukar, kami tidak menang tetapi kami berjaya mengatasinya.
“Saya masih mencubit diri sendiri (dan) kami mengimbas kembali saat-saat seperti ini, itulah perkara yang kami impikan.”
Wright bermain hebat di bahagian pertahanan LCS dengan terus bertahan dalam usaha mempertahankan kelebihan gol dalam perlawanan pertama mereka, menangkis serangan bertubi-tubi daripada tuan rumah.
LCS mempunyai peluang pertama permainan pada minit keenam, apabila rembatan jinak Maxime Lestienne kelihatan tidak menggugat penjaga Sydney Harrison Devenish-Meares.
Selepas itu giliran pasukan tuan rumah pula membuat serangan dan mengawal permainan.
Serangan demi serangan pasukan tuan rumah membuat percubaan ke arah pintu gol pelawat.
Akhirnya Sydney berjaya meraih gol yang dicari.
Pada minit ke-85, hasil hantaran lintang Douglas Costa berjaya ditanduk oleh Rhyan Grant ke arah bekas pemain Nottingham Forest, Joe Lolley, yang kemudian merembat bola ke arah gawang LCS.
Permainan menjadi semakin mendebarkan termasuk enam minit masa kecederaan, namun LCS kelihatan terus bertahan dengan disiplin, sehingga ke wisel penamat.
Di akhir permainan, Rankovic memuji para pemainnya dengan berkata:
“Apabila gol itu datang pada minit ke-85, maka ia adalah isyarat bahawa anda hanya perlu mempertahankan 10 minit terakhir itu dan para pemain berjaya melakukan tugas itu dengan baik.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg