Topik diikuti
Pergi ke BHkuSailors lompat semula tangga teratas kumpulan selepas benam Adelaide United 2-0
Wakil S’pura perlukan satu lagi kemenangan untuk hampir pasti sahkan tempat ke pusingan 16 terakhir ACL2
Sailors lompat semula tangga teratas kumpulan selepas benam Adelaide United 2-0
ADELAIDE: Dengan memainkan peranan penting di kedua-dua bahagian padang, gandingan pemain pertahanan tengah Hugo Gomes dan Bailey Wright jelas menyerlah dalam memacu Lion City Sailors menewaskan Adelaide United 2-0 pada 29 Oktober di Stadium Coopers, Hindmarsh, Australia.
Keputusan itu menyaksikan kelab Liga Perdana Singapura (SPL) itu memintas kelab dari Australia berkenaan untuk kembali merampas kedudukan teratas Kumpulan F dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Selepas tiga perlawanan, Sailors kini mengumpul tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu keputusan seri, dengan kelebihan satu mata di depan Adelaide.
Kedua-dua pasukan bakal bertemu sekali lagi di Stadium Jalan Besar pada 5 November, dengan satu lagi kemenangan hampir pasti mengesahkan tempat naib juara musim 2024-25 itu ke pusingan 16 terakhir.
Dalam wawancara media selepas perlawanan, pemain terbaik perlawanan, Gomes, berkata:
“Kemenangan ini amat bermakna. Sebelum membuat perjalanan ke Australia, kami meletakkan sasaran untuk pulang tiga mata (menang). Ini kemenangan pasukan dan anda dapat lihat kami berjuang hingga ke akhir perlawanan.”
Meskipun beraksi di padang lawan, Sailors menguasai permainan dan berjaya mengasak kubu tuan rumah dengan melepaskan 25 percubaan.
Perlawanan dimulakan dengan 10 pemain import serta seorang pemain kelahiran Jepun yang beraksi untuk skuad kebangsaan Singa, Kyoga Nakamura.
Selepas buntu mencari ruang untuk menjaringkan gol pada separuh masa pertama, benteng pertahanan Sailors kekal kukuh mengekang asakan tuan rumah yang mempertaruhkan kesebelasan utama menarik.
Adelaide menampilkan lima pemain berusia 30-an tahun, termasuk kapten yang juga pemain sayap kiri berusia 34 tahun, Craig Goodwin, yang pernah beraksi dan menjaringkan gol untuk Australia pada Piala Dunia 2022.
Baki enam pemain Adelaide pula berumur 22 tahun dan ke bawah.
Dua daripada mereka bergabung untuk mencipta peluang terbaik tuan rumah pada separuh masa pertama apabila hantaran lintang pertahanan kanan berusia 19 tahun, Harry Crawford, ditepis penjaga gol Sailors, Victor Aznar.
Bola itu kemudian melantun tepat ke arah penyerang berusia 18 tahun, Amlani Tatu, yang sekadar merembat bola ke jaring sisi ketika gawang sudah terbuka luas.
Penyerang Sailors, Matthias Phaeton, sempat menjaringkan gol selepas menyambut hantaran lintang Jorge Karseladze pada minit ke-52, namun gol itu dibatalkan kerana ofsaid.
Gomes, yang sebelum itu menyaksikan percubaannya sekadar menggegar palang pada separuh masa pertama, akhirnya membuka tirai jaringan pada minit ke-80.
Sepakan sudut Giovanni Haag menemui pemain berusia 31 tahun kelahiran Brazil itu, yang mempunyai ruang dan masa untuk melepaskan rembatan kaki kiri bagi menjaringkan gol ketiganya dalam enam penampilan musim ini.
Sailors mengesahkan tiga mata penuh dalam aksi penuh dramatik di depan kira-kira 60 penyokong kelab yang hadir sama ada dari jauh mahupun yang menetap di Adelaide.
Memasuki minit ketiga daripada empat minit masa tambahan, rembatan jarak dekat pemain Adelaide, Ryan Kitto, berjaya diselamatkan Aznar, sebelum Wright pantas meluru untuk mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya ketika ia melantun semula ke arah gawang.
Tidak sampai setengah minit kemudian, Phaeton mengetuai serangan balas pantas sebelum membuat hantaran kepada Lennart Thy bagi merembat bola dan menewaskan penjaga gol Adelaide, Joshua Smits.
Penjaga gol berusia 33 tahun itu mengakui pasukannya tidak menunjukkan prestasi terbaik mereka dalam perlawanan tersebut.
“Penguasaan bola kami tidak begitu baik. Ia merupakan satu masalah besar terutama pada separuh masa pertama apabila kami melakukan banyak kesilapan.
“Corak permainan kami mudah dibaca, dan ketika itulah kami kehilangan bola lalu terpaksa berlari mempertahankan gawang.
“Kami sudah menerima amaran pada separuh masa pertama dan sedar bahawa kami perlu lebih berhati-hati. Kami beraksi lebih baik pada separuh masa kedua dan memiliki sedikit kawalan bola, namun ia masih belum memadai untuk (menang pada) hari ini,” kata Smits.