Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sailors perketat kawalan selepas tiket penyokong tuan rumah dibeli peminat Persib Bandung

Pihak kelab sedang pantau perkara itu, jelang perlawanan Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) 26 Nov
Nov 24, 2025 | 6:09 PM
Lion City Sailors, Persib Bandung, acl2
Menjelang perlawanan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) antara Lion City Sailors dengan Persib Bandung di Stadium Bishan pada 26 November, terdapat isu di mana penyokong Persib didapati membeli tiket untuk penyokong tuan rumah. Ini menyebabkan Sailors mengeluarkan peringatan peraturan bagi penyokong kededua pihak. - Foto INSTAGRAM LIONCITYSAILORS.FC

Beberapa tiket di bahagian penyokong tuan rumah di Stadium Bishan didapati telah dibeli oleh penyokong Persib Bandung, kelab dari Indonesia, menurut Lion City Sailors menjelang perlawanan Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) pada 26 November.

Menurut hantaran Instagram mereka pada 21 November, Sailors telah memaklumkan, pihak kelab sedang memantau perkara itu dan berharap semua penyokong dapat mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Bagi memastikan hari perlawanan kami berjalan dengan selamat, lancar dan mematuhi peraturan sepenuhnya, semua peraturan kemasukan akan dikuatkuasakan dengan ketat dan mana-mana penyokong yang tidak mematuhi peraturan akan dinafikan kemasukan atau dialihkan dari tempat duduk penonton,” tulis kenyataan tersebut.

“Kami juga bekerjasama dengan pihak pengurusan Persib Bandung untuk memastikan nasihat tersebut turut dikongsi dan disampaikan kepada penyokong mereka.”

Mereka turut menegaskan, pemakaian jersi atau warna pasukan lawan tidak dibenarkan sama sekali di bahagian penyokong tuan rumah, dan hanya penyokong yang memakai warna Sailors atau pakaian neutral akan dibenarkan masuk.

Selain itu, mana-mana individu di kawasan penyokong tuan rumah yang jelas menunjukkan sokongan kepada pasukan lawan, termasuk melalui sorakan, boleh dinafikan masuk atau diminta keluar serta-merta.

Peraturan sama turut dikuatkuasakan di bahagian penyokong pasukan lawan bagi memastikan pemisahan penyokong berjalan dengan teratur.

Antara yang bersuara mengenai isu tersebut ialah Encik Aiman Rifqi Abdul Jalil, 25 tahun, pelajar Sains Komputer di PSB Academy dan penyokong setia Sailors sejak pasukan itu masih lagi dikenal sebagai pasukan Home United pada 2015.

Encik Aiman berkata beliau tidak terkejut perkara sebegini berlaku, memandangkan persaingan yang semakin sengit antara kedua-dua kelab sejak perlawanan seri pada 24 Oktober 2024 dalam musim ACL2 lalu.

Walaupun mengakui penyokong Indonesia memang terkenal dengan semangat dan keghairahan mereka, Encik Aiman menyifatkan tindakan itu “tidak sesuai” dan menegaskan peraturan ‘home’ (tuan rumah) dan ‘away’ (pelawat) wajar dihormati.

Perlawanan tersebut juga dijangkakan sengit, kerana Sailors kini menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan G dengan 4 mata, dan memerlukan kemenangan untuk mengekalkan harapan mereka ke pusingan seterusnya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan tentang keselamatan semua pihak, memandangkan struktur tempat duduk di Stadium Bishan agak curam dan sebarang perselisihan boleh membawa risiko kecederaan.

“Kalau berlaku pergaduhan kecil sekalipun, saya risau kalau ada yang terjatuh atau cedera. Siapakah nanti yang akan bertanggungjawab?” katanya.

Encik Aiman mengakui beliau kagum melihat minat mendalam penyokong Persib yang hadir menyaksikan perlawanan di Singapura, namun menegaskan mereka harus berada di kawasan yang ditetapkan.

Encik Aiman berpendapat tindakan Sailors mengeluarkan garis panduan dan memperketatkan kawalan adalah langkah tepat demi menjaga keselamatan kedua-dua belah penyokong.

Katanya, walaupun bola sepak penuh dengan persaingan, nilai kemanusiaan tetap perlu diutamakan.

“Biasalah bola sepak ada persaingannya, tapi akhirnya kita semua manusia, keselamatan menjadi keutamaan,” katanya.

Menurut Sailors, peraturan yang ditetapkan penting untuk memastikan suasana perlawanan yang selamat dan sesuai untuk semua yang hadir.

Pemisahan penyokong adalah amalan biasa bagi perlawanan berprofil tinggi dan dapat mengurangkan risiko kejadian yang tidak diingini.

Pihak kelab turut menggesa semua pemegang tiket supaya mematuhi garis panduan bagi memastikan pengalaman hari perlawanan berjalan dengan lancar dan selamat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg