Selepas hanya tujuh minggu saingan dalam Liga Perdana Singapura (SPL) 2026/27, gambaran awal mengenai kekuatan dan kelemahan setiap pasukan mula kelihatan.

Di puncak carta, Lion City Sailors memiliki jentera serangan paling berbisa, manakala Tampines Rovers terus mempamerkan keupayaan menggerunkan mereka untuk menjaringkan gol dalam jumlah yang besar.

FC Jurong telah menunjukkan bahawa mereka mampu memberikan tentangan sengit, namun masih belum menemui rentak sebenar mereka musim ini.

Sementara itu, Tanjong Pagar United dan Balestier Khalsa mula menunjukkan tanda-tanda kebangkitan, manakala Hougang United dan Young Lions terus mendapatinya sukar untuk mengutip mata.

Serangan Sailors terlalu kuat buat benteng Geylang

Sebelum perlawanan di Stadium Jalan Besar pada 22 November, Geylang merupakan pasukan yang paling sukar dibolosi dalam liga, dengan hanya dua gol dilepaskan dalam enam perlawanan.

Namun, rekod itu tidak mampu bertahan apabila berdepan jentera serangan Sailors yang paling tajam dalam SPL.

Juara bertahan itu menguasai perlawanan dan menghasilkan 20 percubaan berbanding hanya lima daripada Geylang, sekali gus menggambarkan jurang penguasaan antara kedua-dua pasukan.

Geylang sebenarnya berjaya menyekat serangan Sailors untuk sebahagian besar separuh masa pertama. Namun, benteng itu akhirnya runtuh pada separuh masa kedua.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Kemenangan 5-0 itu membolehkan Sailors merampas kedudukan teratas liga dengan 16 mata daripada enam perlawanan.

Bagi Geylang, kekalahan besar itu menjadi peringatan bahawa mereka perlu segera bangkit jika mahu terus merealisasikan sasaran bersaing di peringkat tertinggi, termasuk memburu kelayakan ke Liga Juara-Juara Persekutuan Bola Sepak Asia Dua (ACL2).

Penyerang Jepun Tampines Rovers, Hide Higashikawa, tampil cemerlang dengan meledak empat gol ketika menewaskan Hougang United 5-0 pada 22 November, sekali gus meletakkannya sebagai penjaring terbanyak SPL setakat ini dengan lima jaringan.
Penyerang Jepun Tampines Rovers, Hide Higashikawa, tampil cemerlang dengan meledak empat gol ketika menewaskan Hougang United 5-0 pada 22 November, sekali gus meletakkannya sebagai penjaring terbanyak SPL setakat ini dengan lima jaringan. - Foto INSTAGRAM TAMPINESROVERS

Tampines juga mula tunjuk taring

Sailors menjaringkan lima gol, Tampines juga membalas dengan membelasah Hougang 5-0 pada 22 November.

Kemenangan itu mengekalkan Tampines dalam persaingan rapat dengan Sailors di puncak liga.

Kedua-dua pasukan kini mengumpul 16 mata daripada enam perlawanan, dengan Sailors mendahului berdasarkan perbezaan jaringan.

Penyerang Jepun, Hide Higashikawa, menjadi watak utama apabila meledak empat gol, sekali gus menjadikan jumlah jaringannya lima gol dalam liga musim ini.

Empat jaringan itu menunjukkan bahawa Higashikawa semakin menemui rentak di hadapan gawang dan beliau kini penjaring gol terbanyak di SPL setakat ini dengan lima gol.

Pergerakan dan ketajamannya memberikan Tampines satu lagi ancaman besar dalam usaha memburu kejuaraan.

Pemain FC Jurong, Haziq Kamarudin (kanan), dan pemain Balestier Khalsa, Tin Matic (kiri), bersama rakan sepasukan mereka mempamerkan semangat juang tinggi ketika aksi Liga Perdana Singapura. Jurong akhirnya mencatat kemenangan tipis 3-2 di Stadium Jurong East pada 20 November.
Pemain FC Jurong, Haziq Kamarudin (kanan), dan pemain Balestier Khalsa, Tin Matic (kiri), bersama rakan sepasukan mereka mempamerkan semangat juang tinggi ketika aksi Liga Perdana Singapura. Jurong akhirnya mencatat kemenangan tipis 3-2 di Stadium Jurong East pada 20 November. - Foto INSTAGRAM FCJURONG

Balestier beri tentangan besar kepada Jurong

Di Stadium Jurong East, Jurong terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan Balestier Khalsa 3-2 dalam perlawanan pada 20 November yang menyaksikan kedua-dua pasukan saling membalas jaringan.

Kedua-dua gol yang dijaringkan oleh Jurong adalah melalui sepakan sudut – menonjolkan kelemahan yang perlu diperbaiki Balestier jikalau mereka mahu terus mempertingkatkan tahap mereka.

Keputusan itu menunjukkan bahawa Jurong masih mempunyai kemampuan untuk bersaing, meskipun mereka perlu memperbaiki konsistensi kerana mereka sepatutnya dapat menewaskan pasukan seperti Balestier dengan mudah.

Bagi Balestier, mereka boleh mengambil keyakinan daripada kemampuan bangkit dua kali, walaupun akhirnya pulang dengan tangan kosong.

Pemain Tanjong Pagar United meraikan jaringan ketika bangkit menewaskan Young Lions 4-2 pada 21 November, kemenangan penting yang menyuntik keyakinan mereka untuk menjauhkan diri daripada kelompok tercorot liga.
Pemain Tanjong Pagar United meraikan jaringan ketika bangkit menewaskan Young Lions 4-2 pada 21 November, kemenangan penting yang menyuntik keyakinan mereka untuk menjauhkan diri daripada kelompok tercorot liga. - Foto INSTAGRAM TANJONGPAGARUNITEDFC

Young Lions masih mencari jawapan

Sementara itu, Young Lions sekali lagi gagal mengekalkan prestasi sepanjang 90 minit apabila tewas 2-4 kepada Tanjong Pagar United pada 21 November.

Pasukan muda itu sebenarnya memulakan perlawanan dengan baik melalui jaringan Miyu Sato.

Namun, Tanjong Pagar bangkit untuk akhirnya menang perlawanan itu dengan 4-2.

Perlawanan tersebut mempamerkan beberapa aksi pertahanan yang kurang memuaskan.

Kekalahan itu sekali lagi menimbulkan persoalan tentang kemampuan Young Lions menguruskan permainan selepas mendahului atau dibolosi.

Mereka mempunyai pemain yang mampu menghasilkan ancaman, tetapi kelemahan pertahanan dan kesilapan pada saat penting terus menghalang mereka daripada mengutip mata secara konsisten.

Dua gol yang dijaringkan oleh Young Lions juga sepatutnya ditangani oleh Tanjong Pagar.

Namun Tanjong Pagar pula boleh mengambil keyakinan daripada kemenangan itu.

Selepas melalui permulaan musim yang sukar, kejayaan tersebut memberikan mereka peluang membina momentum dan menjauhkan diri daripada kelompok tercorot.

Jurang semakin jelas

Selepas aksi hujung minggu ini, Sailors dan Tampines terus menunjukkan bahawa mereka mempunyai kekuatan serangan untuk mencabar kejuaraan, sementara Geylang perlu membuktikan kekalahan besar kali ini hanyalah satu kemerosotan sementara.

Di kelompok pertengahan, Jurong dan Balestier masih mencari kestabilan, manakala Tanjong Pagar mula menunjukkan tanda-tanda kebangkitan.

Bagi Hougang dan Young Lions, cabarannya jauh lebih besar.

Kedua-duanya perlu segera memperbaiki kelemahan masing-masing jika tidak mahu terus ketinggalan.

Keputusan aksi Liga Perdana Singapura (Minggu Ketujuh)

20 November: FC Jurong 3-2 Balestier Khalsa

21 November: Young Lions 2-4 Tanjong Pagar United

22 November: - Lion City Sailors 5-0 Geylang International

22 November: Tampines Rovers 5-0 Hougang United