Lion City Sailors menjangkakan satu lagi perlawanan sengit menentang gergasi bola sepak Thailand, Bangkok United, dalam pertemuan kedua mereka dalam kempen Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) pada 6 November.
Jurulatih Sailors, Aleksandar Rankovic, menjelaskan bahawa pasukannya bakal berdepan cabaran lebih besar kali ini, berikutan ketiadaan beberapa pemain utama.
Antaranya ialah kapten pasukan, Hariss Harun, serta Maxime Lestienne dan Safuwan Baharudin yang “sukar diganti memandangkan skuad mereka tidak begitu besar”, kata Rankovic.
Hariss digantung perlawanan kerana dilayangkan kad merah apabila Sailors ditewaskan Bangkok United pada 23 Oktober.
“Perlawanan ini pasti sukar kerana (Hariss) pemain berpengalaman dan penting buat pasukan, tetapi dia bukan satu-satunya pemain yang kami hilang,” jelas Rankovic.
Walaupun begitu, Rankovic kekal tenang semasa berbual pada sidang media pada 5 November, dengan menyatakan bahawa pasukannya “tidak perlu cemas ketika berdepan perlawanan sebegini”.
Sementara itu, ketua jurulatih Bangkok United, Totchtawan Sripan, akan berusaha mengekalkan momentum kemenangan menentang Sailors.
Sripan dijangka mengekalkan pendekatan taktikal yang sama, namun akan lebih berhati-hati terhadap Sailors yang akan memburu kemenangan di kubu Stadium Bishan.
Walaupun Bangkok United telah menewaskan Sailors sebanyak tiga kali secara berturut-turut, Sripan tetap “menghormati kelab Sailors kerana mereka mempunyai ramai pemain bermutu”.
Sailors kini berada di kedudukan ketiga dalam kumpulan G ACL2, ketinggalan dua mata di belakang Bangkok United.
Dengan hanya tiga perlawanan baki dalam saingan peringkat kumpulan, perlawanan ini amat penting buat Sailors untuk mengekalkan peluang mara ke peringkat kalah mati.
Rankovic yakin semangat anak didiknya mampu menjadi kunci mengatasi lawan Thailand kali ini.
“Kami perlu bersaing setiap saat dalam perlawanan. Tanpa semangat itu, strategi dan taktik tidak berkesan… Azam kuat itu penting bagi perlawanan sengit seperti ini.
“Saya bersyukur yang saya tidak perlu membangkitkan semangat itu dalam pemain saya… Mereka (Bangkok United) lawan yang sukar, tetapi kami juga bukan lawan yang mudah bagi mereka,” tegas Rankovic.
Penyerang Sailors, Lennart Thy, turut yakin memimpin barisan serangan Sailors.
Penyerang Jerman itu berkata, “Pengajaran perlawanan sebelum ini masih segar dalam minda, dan kami yakin tentang tugas kami.”
Thy baru-baru ini telah menghasilkan persembahan memberangsangkan dengan mandahului senarai penjaring gol utama Liga Perdana Singapura (SPL) dengan lima gol dalam lima perlawanan.
Sementara itu, Bangkok United telah bersiap sedia untuk memperlahankan momentum Sailors.
“Sailors mempunyai benteng yang kukuh dan penyerang mereka mempunyai mutu untuk melakukan serangan balas yang bahaya.
“Mereka seringkali menjaringkan gol sebegitu, tetapi saya rasa kami dapat mengawal strategi itu dengan baik dalam pertemuan sebelum ini. Kami akan cuba ulang persembahan itu,” jelas Sripan.
Selain itu, mereka akan memanfaatkan pemain utama seperti Kyoga Nakamura dan Seia Kunori yang mempunyai pengalaman bermain di dalam SPL.
Namun, Bangkok United berada dalam keadaan yang mencabar. Kelab Thai itu baru-baru ini ditewaskan pasukan Uthai Thani 2-1 pada 2 November.
Pada 9 November pula, mereka juga perlu mempertahankan kedudukan kedua di Liga Perdana Thailand, dengan menentang Port F.C. yang berada di kedudukan ketiga – hanya berbeza satu mata.
Sripan berkata, “Keutamaan kami adalah mencari pemain yang berada dalam keadaan terbaik untuk setiap perlawanan, memandangkan kami bermain banyak perlawanan dalam tempoh masa singkat.”
Pemain tengah pasukan itu, Nebojsa Kosovic, menambah: “Kami bermain setiap tiga hari, namun kami tetap fokus… Kami percaya arahan jurulatih untuk menghasilkan kemenangan walaupun kami menjangkakan perlawanan sengit.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg