Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

LIGA JUARA-JUARA

Saingan jadi gergasi Eropah baru bermula

Sep 27, 2021 | 05:30 AM



LONDON: Perlawanan pembukaan bagi pusingan kumpulan Liga Juara-Juara musim ini terasa seakan pasukan-pasukan utama Eropah masih memerlukan waktu menyesuaikan skuad mereka.



Dari 12 kelab yang dianggap mempunyai peluang untuk menjuarai pertandingan itu musim ini - Manchester City, Paris Saint-Germain, Bayern Munich, Chelsea, Liverpool, Manchester United, Real Madrid, Juventus, Atletico Madrid, Borussia Dortmund, Barcelona dan Inter Milan - kebanyakan dari mereka telah melakukan sekurang-kurangnya satu perubahan ketara terhadap identiti permainan mereka sewaktu musim panas lalu.



Lebih khusus lagi: mereka kehilangan penyerang utama hingga memerlukan mereka membuat perubahan pendekatan, atau mereka sibuk berusaha mendapatkan penyerang utama baru, ataupun mereka telah melantik pengurus baru.



Hanya segelintir kelab terkemuka Eropah ini yang sudah terbiasa dengan perubahan ketara, dengan kelab utama England merupakan antara mereka.



Tiga kelab yang kehilangan penyerang utama adalah Barcelona, Inter dan Juventus. Dua daripada mereka kecundang sewaktu perlawanan pembukaan mereka baru-baru ini.



Bermain di padang sendiri, Barcelona tewas di tangan Bayern 3-0 dengan pasukan kendalian Ronald Koeman menunjukkan persembahan hambar selepas gagal mencipta sebarang peluang jaringan.



Buat bertahun-tahun lamanya, kehebatan Lionel Messi mengaburi kemerosotan Barcelona hingga pemergiannya menyebabkan kelab itu ketandusan kualiti.



Nasib pula menyebelahi Juventus sewaktu perlawanan pembukaan mereka selepas berjaya menundukkan pasukan Sweden, Malmo, 3-0. Namun ia sebenarnya kemenangan pertama mereka musim ini, hanya selepas mampu mengumpul satu mata dari tiga perlawanan pertama Serie A.



Juventus mungkin dapat membuktikan bahawa mereka masih merupakan satu pasukan yang padu, namun pada hakikatnya mereka telah kehilangan bintang - Cristiano Ronaldo - yang menjadi penjaring terbanyak dengan 29 gol di Serie A musim lalu.



Berbanding seteru mereka, Inter lebih positif. Namun begitu, mereka mungkin kurang bernasib baik selepas tewas 1-0 di tangan Real Madrid di San Siro.



Justeru, mungkin ramai peminat yang akan mula berfikir sama ada, pemain yang telah meninggalkan pasukan itu musim ini - Romelu Lukaku, penjaring kedua terbanyak liga di belakang Ronaldo - mampu menyempurnakan peluang yang diberikan kepada penyerang baru Edin Dzeko.



Permainan tempo tinggi atau 'high tempo' sering menjadi kelemahan kelab Italy apabila beraksi di Liga Juara-Juara sejak beberapa dekad yang lalu.



Tambahan pula, Juventus dan Inter juga merupakan dua kelab yang telah bertukar pengurus.



Massimiliano Allegri masih belum mendapat kepercayaan sepenuhnya skuad yang diwarisi dari Andrea Pirlo di Turin, sementara Simone Inzaghi mempunyai tugas besar, menangani jangkaan, setelah menggantikan Antonio Conte.



Perlawanan Inter menentang Madrid menawarkan saingan yang sengit, namun terdapat juga detik apabila persembahan kedua-dua pihak di bawah pengurusan baru tampak masih lagi lemah.



Madrid bagaikan mengatur serangan mereka dengan perlahan, dan meskipun berjaya membawa pulang tiga mata penuh, ramai yang meragukan formasi Carlo Ancelotti apabila beliau meletakkan pemain bek kiri yang baru ditandatangani, David Alaba ke tengah benteng pertahanan, manakala Nacho pula bergerak di bahagian kiri.



Selain Juventus dan Inter, dua kelab gergasi Jerman juga mempunyai pengurus baru.



Penekanan Julian Nagelsmann terhadap taktik menekan pasukan lawan amat jelas dilihat, dan disebabkan itu Bayern sering mendapatkan kembali bola di bahagian pasukan lawan.



Kegagalan mengawal bola dengan baik ketika menentang Barcelona juga merupakan antara kelemahan kelab Bundesliga itu dan mereka perlu bergantung pada gol yang dianggap nasib.



Dortmund yang kini di bawah kendalian Marco Rose pula tampak berbahaya apabila melakukan serangan, tetapi benteng pertahanan mereka masih menjadi kelemahan setelah gawang mereka dibolosi sebanyak 13 kali dalam enam perlawanan musim ini. Mereka juga masih belum mengekalkan 'clean sheet'.



Kemudian terdapat dua kelab yang telah menandatangani pemain legenda yang sebenarnya tidak mereka perlukan.



Isu kelab Perancis, Paris Saint-Germain sejak beberapa musim kebelakangan ini adalah kurangnya keserasian antara trio penyerang mereka.



Kehadiran Messi hanya akan memburukkan keadaan lagi.



Persembahan Manchester United ketika perlawanan pembukaan pusingan kumpulan pula sukar untuk dinilai.



Cristiano Ronaldo meletakkan pasukan Red Devils itu di hadapan, namun mereka terpaksa banyak bertahan selepas Aaron Wan-Bissaka diarah keluar padang selepas menerima kad merah pada separuh masa pertama.



Keadaan bertambah buruk bagi United setelah Ronaldo digantikan dengan Jesse Lingard. Kesilapan pemain gantian itu membuka peluang bagi pasukan Young Boys mendapatkan kemenangan pada minit akhir.



Jirannya, Manchester City sekali lagi menunjukkan kuasa mata wang mereka selepas memecahkan rekod dengan membelanjakan £100 juta ($184 juta) untuk mendapatkan Jack Grealish.



Sekiranya ada penyesuaian yang harus dibuat, Grealish yang harus menyesuaikan diri terhadap sistem Pep Guardiola, dan bukannya pengurus tersebut yang harus membuat perubahan terhadap pasukannya.



Perkara serupa boleh dikatakan mengenai juara bertahan Chelsea. Dalam kalangan pemain baru, kepulangan Lukaku ke Stamford Bridge menunjukkan hasrat pasukan itu untuk mengekalkan kejuaraan Eropah itu.



Pengendali pasukan, Thomas Tuchel jelas mempunyai tenaga penggempur yang hebat dalam barisan pemainnya.



Di antara pasukan yang baru disebut, Liverpool menghasilkan salah satu persembahan yang menakjubkan pada pusingan kumpulan ini, dengan mempertimbangkan kehebatan pasukan lawan.



Mereka seharusnya menang dengan selesa ketika berdepan AC Milan, namun kemenangan 3-2 sudah memadai.



Dan tidak seperti kelab England lain yang telah 'belanja besar', Liverpool mengekalkan hampir kesemua pemain kesebelasan utamanya.



Pengurus pasukan, Jurgen Klopp berharap ini dapat mengukuhkan lagi keserasian pemainnya ketika di padang.



Pasukan utama Eropah terakhir yang juga telah membuat perubahan bagi musim baru ini adalah juara bertahan liga Sepanyol, Atletico Madrid.



Mereka mempunyai pengurus yang sama iaitu Diego Simeone, kesebelasan utama yang sama tetapi kepulangan Antoine Griezmann mungkin boleh dianggap sebagai sesuatu yang menjejas kestabilan pasukan itu.



Pemain yang dipinjamkan dari Barcelona itu ditampilkan pada separuh masa kedua sewaktu perlawanan menentang Porto, dan oleh itu sukar untuk menuding jari dan menyalahkan beliau atas keputusan seri itu.



Kepulangan pemain itu tidak mendapat sokongan penuh dari peminat kelab tersebut, malah mereka telah mengejeknya apabila beliau dimasukkan.



Kesimpulannya, pasukan-pasukan handal ini memerlukan sedikit masa lagi sebelum mereka dapat membuktikan bahawa mereka layak dinobat juara Eropah.



Dan meskipun perlawanan minggu lalu menghasilkan banyak gol, namun hakikatnya persembahan hambar yang diberikan bukan sesuatu yang peminat bola sepak ingin lihat dari kelab-kelab hebat ini. - Agensi berita




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >