Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saka buka akaun gol England

Jun 4, 2021 | 5:30 AM
GOL KEMENANGAN: Pemain England Bukayo Saka meraikan jaringan pada aksi persahabatan menentang Austria di Stadium Riverside, Middlesbrough. - Foto-foto AFP
GOL KEMENANGAN: Pemain England Bukayo Saka meraikan jaringan pada aksi persahabatan menentang Austria di Stadium Riverside, Middlesbrough. - Foto-foto AFP -

LONDON: Persiapan England bagi Kejohanan Eropah (Euro) 2020 diteruskan dengan kemenangan tipis ke atas Austria di Stadium Riverside semalam, tetapi masalah baru turut menimpa.

Pemain pertahanan Liverpool Trent Alexander-Arnold berjalan terhincut-hincut keluar padang di penghujung perlawanan selepas mengalami kecederaan tanpa dikasari lawan.

Kecederaan itu mencemari kemenangan yang dicapai oleh pasukan 'percubaan' yang diturunkan pengurus Gareth Southgate bagi perlawanan ini, dengan pemain remaja dari Arsenal Bukayo Saka menjaringkan gol antarabangsa pertama apabila perlawanan berusia 56 minit.

Southgate menurunkan kesebelasan utama tanpa pemain-pemain dari Manchester United, Chelsea dan Manchester City yang terlibat dalam final Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Europa minggu lalu.

Malah, Southgate terpaksa menyertakan Jesse Lingard dalam pasukannya, meskipun pemain itu tidak disertakan dalam skuad Euro.

Namun, walaupun beliau pasti gembira dengan kemenangan yang diraih oleh pilihan pemain kedua ini, beliau mungkin akan berasa bimbang kerana England tidak menunjukkan cara permainan yang menyakinkan.

Malah, England nyaris ketinggalan di awal permainan, selepas pemain pertahanan Ben Godfrey dari Everton hampir menjaringkan gol sendiri dan perlu berterima kasih kepada rakan sekelab Jordan Pickford yang menyelamatkan bola.

Pickford juga cemerlang menepis bola hasil percubaan Marcel Sabitzer ke palang gol.

Austria hampir menyamakan kedudukan di akhir perlawanan, tetapi Ben White menendang bola keluar di garisan gol selepas Pickford diperdayakan Alessandro Schopf.

Kemenangan itu bermakna England telah memenangi tujuh perlawanan persahabatan berturut-turut - rangkaian kemenangan dalam perlawanan persahabatan terbaik sejak Sir Bobby Robson memimpin pasukan antara Jun 1985 dengan Mei 1986.

Menjelang perlawanan ini, tindakan Southgate untuk menggugurkan Alexander-Arnold dari pasukan menjadi perbualan rancak dalam kalangan pemerhati dan peminat dan Southgate akhirnya memutuskan untuk menyertakan pemain pertahanan dari Liverpool itu dalam skuadnya.

Keputusan itu mendatangkan manfaat, kerana Arnold-Alexander tangkas semasa bertahan dan berbahaya apabila menyertai pasukan mengasak benteng lawan, tetapi Arnold-Alexander mengalami kecederaan otot dalam saat-saat terakhir perlawanan.

Namun, kecergasan Alexander-Arnold kini menjadi tanda-tanya, selepas pemain itu menekan pehanya dan rebah ke padang selepas menendang bola, dengan Conor Coady terpaksa memujuknya supaya bertenang.

Alexander-Arnold salah satu daripada empat bek kanan yang dimasukkan dalam skuad Southgate bagi Euro, dan ada pemain-pemain lain yang boleh mengisi tempatnya.

Namun ketiadaan Alexander-Arnold akan dirasai, terutama apabila pasukan menyerang. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg