SIAPA sangka desakan rakan-rakan Cik Sunarti Abdul Rahman suatu ketika dahulu untuk mencuba aktiviti golf adalah detik yang membuat beliau tertarik kepada sukan tersebut dan kini menjadi sukan kegemarannya.

Ini setelah pegawai penguatkuasaan berusia 46 tahun itu didedahkan kepada dunia golf pada usia 20-an semasa bekerja di tempat kerja lamanya.

Beliau berkata: "Pada tahun 2000 semasa bekerja di tempat kerja lama, saya membantu organisasi saya untuk anjurkan acara golf, di samping menjejak jumlah keahlian dan lain-lain.

"Dari situ, ada beberapa peserta dan rakan yang mengajak saya untuk mencuba (sukan golf) jadi saya belajar dan mengambil kursus kemahiran golf."

Sejak itulah berputiknya semangat bagi Cik Sunarti terus memperhalusi kemahiran golf kerana ia mengajar beliau erti disiplin dan ketahanan mental.

"Semasa di peringkat sekolah, saya telah melibatkan diri dalam sukan hoki dan floorball, yang mana ia agak lasak dan pantas.

"Tetapi apabila saya mula bermain golf, ia memerlukan saya mengurus emosi dan kekal tenang," tambah beliau.

Menurutnya, ia agak payah dan mengelirukan apabila beliau mula-mula melibatkan diri dalam sukan tersebut, khususnya dari aspek teknikal dan gaya hayunan.

Ini setelah beliau perlu "biasakan diri dengan fungsi kayu golf yang berbeza dan terma-terma teknikal yang digunakan".

"Tetapi lama-kelamaan apabila sudah kerap bermain, saya mula faham," jelas Cik Sunarti.

Di samping itu, tanggapan beliau terhadap golf sebelum ini adalah ia untuk kaum Adam dan golongan berkemampuan sahaja.

Ini kerana secara amnya kaum lelaki terlibat dengan sukan golf dan boleh menelan belanja yang tinggi bagi kos peralatan, keahlian dan slot permainan, antara lain.

Namun tanggapan tersebut ternyata tidak benar kerana menurut beliau, seperti sukan lain, ia terbuka kepada semua tidak kira golongan mahupun jantina.

Dalam pada itu, Cik Sunarti akur beliau pernah berhadapan dengan komen tidak begitu menyenangkan daripada kaum Adam semasa bermain golf.

Ini setelah dalam satu permainan golf, ada kalanya beliau merupakan satu-satunya wanita dalam pasukannya.

"Pernah dalam satu permainan, saya menerima komen-komen yang kurang menyenangkan kerana ia tidak memihak kepada pasukan kami.

"Namun, saya tidak mengendahkan komen tersebut dan sebaliknya, saya mengambilnya sebagai satu peluang pelajaran untuk perbaiki diri saya," ujarnya.