LONDON: Manchester telah mencapai perjanjian untuk membayar £73 juta ($135 juta) untuk membeli pemain Borussia Dortmund Jadon Sancho.
Pemain berusia 21 tahun itu, yang berasal dari England belum lagi menjalani ujian perubatan atau mencapai persetujuan secara peribadi.
Namun sumber di Britain berkata beliau dijangka menandatangani kontrak lima tahun dengan pilihan melanjutkannya bagi tahun keenam.
Bayaran itu, yang akan dibayar menerusi lima bayaran ansuran, menjadikan Sancho pemain England yang kedua paling mahal dalam sejarah, di belakang Harry Maguire yang kini juga menyarung jersi United.
Maguire, seorang pemain pertahanan menyertai United dari Leicester City dengan bayaran £80 juta pada 2019.
Pengurus United Ole Gunnar Solskjaer telah mengenal pasti empat posisi tunggak yang ingin diperkukuhnya bagi musim depan, dalam percubaan untuk menambah daya saing pasukan dengan pasukan utama lain di Liga Perdana England.
Mengatasi jangkaan, Solskjaer memimpin United ke tangga kedua EPL dan ke final Liga Europa, di mana ia tewas pada musim lalu.
Namun Solskjaer kini difahami ingin memperkukuh bahagian kanan midfieldnya, sebelum memberi tumpuan kepada posisi bek tengah, midfield dan barisan depannya.
Kehadiran Sancho di United bermakna United telah berjaya mendapatkan pemain pertama untuk memenuhi sasaran Solskjaer itu.
Ia juga mengakhiri usaha United memburu Sancho sekian lama, selepas beliau berpindah dari London ke Manchester untuk menyertai Manchester City dan selanjutnya Dortmund.
Malah, United hampir mendapatkan tanda tangan Sancho pada musim panas lalu, tetapi rundingan untuk membeli pemain itu tidak berjaya, kerana United dan Dortmund tidak bersetuju tentang bayaran yang diharapkan.
Sancho buat masa ini telah menjaringkan 50 gol dan merintis 57 peluang gol dalam 137 perlawanan bagi Dortmund.
Ini termasuk menjaringkan dua gol dalam final Piala Jerman untuk membantu Dortmund menewaskan RB Leipzig 4-1 pada Mei lalu.
Beliau juga telah menyarung jersi England 20 kali sejak 2018, menjaringkan tiga gol.
Musim lalu, beliau disertakan dalam Pasukan Pilihan Bundesliga, tahun kedua beliau dimasukkan dalam senarai itu. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg