Topik diikuti
Pergi ke BHkuSchooling belum puas sekadar menang sebutir emas Olimpik
Jaguh renang kini fokus pada cabaran Sukan Asia Indonesia yang dianggap persiapan penting dalam persiapan hadapi Olimpik Tokyo 2020
Schooling belum puas sekadar menang sebutir emas Olimpik
BELIAU tidak melihat dirinya terus berlumba dalam kolam renang melebihi tahun 2024.
Tetapi beliau juga belum berpuas hati dengan sebutir pingat emas Olimpik yang dimenanginya di temasya Rio 2016.
Jadi antara sekarang dengan 2024, anda boleh jangkakan jaguh renang Singapura, Joseph Schooling, akan kekal kompetitif dan terus dahagakan kejayaan - bermula di temasya Sukan Asia yang akan dihoskan Indonesia pada Ogos-September ini.
Temasya Sukan Asia ini pula dianggap sebagai batu lompatan penting dalam persiapan beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Sekalipun prestasinya tampak menurun sejak kejayaan bersejarahnya di temasya Olimpik Rio dua tahun lalu, Schooling, yang menyambut ulang tahun ke-23 semalam mengatakan beliau berazam mengembalikan kecemerlangan dalam usaha memburu kejayaan di temasya anjuran Jakarta dan Palembang itu nanti.
Anak tunggal dalam keluarganya ini dijangka berlumba dalam lima acara di Sukan Asia kali ini - tiga individu (100 meter gaya bebas, 50m dan 100m fly) dan dua acara relay (4x100m gaya bebas dan 4x100m rampaian).
Schooling tentunya akan berusaha mempertahankan pingat emas perlumbaan 100m fly yang dimenanginya di temasya Incheon, Korea Selatan, empat tahun lalu. Beliau turut memenangi sebutir perak (50m fly) dan sebutir gangsa 200m fly) di Incheon.
"Saya mahu mencatatkan keputusan yang baik (di temasya Sukan Asia), jadi untuk mencapai matlamat itu anda perlulah meletakkan diri pada kedudukan yang terbaik mungkin," ujar Schooling dalam satu wawancara eksklusif dengan Berita Minggu baru-baru ini.
"Terdapat ramainya perenang yang pantas terutama dari China dan Jepun, jadi saya perlu berada di tahap terbaik jika mahu mencapai sasaran yang digariskan itu.
"Persiapan saya sejauh ini berjalan lancar dan ketika ini... dari segi latihan, tahap kecergasan saya kini bertambah baik... kekuatan pun lebih meningkat.
"Secara mental, saya fikir saya berada pada tahap yang baik dan secara fizikal saya juga berada di tahap yang baik... apa yang perlu dilakukan kini ialah memperhalusi butiran yang kecil menjelang permulaan temasya sukan itu nanti," tambahnya, penuh yakin.
Ledakan kegemilangannya semasa mengatasi legenda renang Amerika Syarikat, Michael Phelps, untuk memenangi pingat emas bersejarah di Rio dengan catatan rekod baru Olimpik - 50.39 saat dalam acara kegemarannya, 100 meter fly - sudah pun terpahat dalam sejarah sukan negara.
Beliau turut memenangi sembilan emas di temasya Sukan SEA yang berlangsung di tanah air pada 2015.
Schooling, yang baru-baru ini menamatkan pengajian di Universiti Texas di Amerika, membuka lembaran baru sebagai atlit profesional sejak April lalu yang turut menyaksikan beliau 'dilamar' menjadi duta pelbagai syarikat termasuk jenama fesyen glamor Hugo Boss, bank DBS, Yakult Singapore dan penganjur seni mempertahankan diri campuran (MMA) One Championship.
Namun sejak kejayaannya di Rio, Schooling gagal menyerlah di dua kejohanan utama yang disertainya.
Di Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary, tahun lalu, beliau terpaksa berpuas hati memenangi sebutir gangsa selepas 'dibayangi' persembahan hebat perenang Amerika, Caeleb Dressel, yang menamatkan pertandingan itu dengan tujuh pingat emas.
Awal tahun ini, di kejohanan Persatuan Atletik Kolej Nasional (NCAA) Amerika, Schooling menamatkan kejohanan terakhirnya itu sebagai siswa di Universiti Texas dengan tangan kosong.
Ditanya mengenai cabaran yang dihadapi selepas pencapaian hebatnya di Olimpik Rio, Schooling, yang juga memenangi sebutir gangsa di Kejohanan Dunia sulungnya di Kazan, Russia, pada 2015, menjelaskan:
"Yang paling utama ialah mengembalikan motivasi saya... mencari alasan untuk saya terus berenang sekalipun selepas mencapai impian sepanjang hayat (memenangi pingat emas di Sukan Olimpik).
"Tetapi saya kemudian sedar bahawa saya masih muda dalam arena sukan ini... tahun-tahun terbaik masih berada di hadapan saya... dan saya mahu mencapai lebih banyak kejayaan.
"Saya tidak boleh berpuas hati dengan sekadar memenangi sebutir pingat emas Olimpik... dan seperti yang saya katakan tadi saya rasa saya mampu mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan... inilah sesuatu yang menyeronokkan."
Menyentuh mengenai masa hadapannya, Schooling mengatakan beliau tidak melihat dirinya terus berenang secara kompetitif melebihi tahun 2024.
"Itulah sasarannya ketika ini (tidak berenang secara kompetitif)... jadi menjelang 2024, saya melihat saya bertanding dalam apa yang mungkin menjadi temasya Olimpik terakhir saya.
"Saya menjangkakan diri ini kekal fokus seperti ketika ini... dan mungkin juga lebih matang... sesuatu yang tentunya bagus untuk diri saya," tambahnya.
Joseph Schooling ucapkan 'Selamat Hari Raya' di BeritaHarian.sg
