AIR ada pasang surutnya.
Apatah lagi, seorang atlet, yang tidak lari daripada merasakan suka-duka dunia sukan, yang ada kalanya kejam.
Tahun lalu adalah antara hari-hari gelap dalam kerjaya jaguh renang negara, Joseph Schooling, 26 tahun.
Schooling, satu-satunya pemenang pingat emas Sukan Olimpik Singapura, mengharungi 2021 yang getir apabila beliau gagal mempertahankan gelarannya di temasya sukan itu bagi dalam acara kuak kupu-kupu 100 meter.
Pada November tahun sama, beliau kehilangan bapanya, Colin Schooling, yang meninggal dunia akibat barah hati pada usia 73 tahun.
Berbaju kemeja-T putih dan berseluar pendek biru, kelihatan kemas, dengan senyuman terpancar di raut wajahnya ketika ditemui Berita Harian (BH) di Kelab Eksklusif Tanah Merah baru-baru ini, ia nyata Schooling kini berada dalam ruangan minda yang lebih baik.
Bahkan, Schooling memberitahu BH bahawa beliau bertekad "membalas dendam" pada kekecewaan lalu, sedang beliau berusaha bangkit dan kembali bersinar di puncak kejayaan tahun ini.
"Renang adalah sukan yang merendahkan diri anda. Ia membawa anda kembali berpijak di bumi nyata. Apabila anda berada di atas dan kemudian jatuh kembali ke bawah, anda memerlukan permulaan semula yang kejam," kata Schooling.
"Ia ibarat balas dendam, tapi lebih peribadi dan untuk diri saya... untuk buktikan kepada diri sendiri, dan bukan orang lain, bahawa saya boleh mengharungi kesukaran dalam hidup."
Di Sukan Olimpik Tokyo tahun lalu, beliau terkandas di pusingan kelayakan dan hanya mampu mencatat masa 53.12 saat.
Persembahan hambarnya hanya cukup untuk menduduki tangga ke-44 daripada 55 pesaing secara keseluruhan.
Schooling menambah beliau sedang bermain "permainan minda" dengan dirinya untuk kekal positif dalam perjuangannya untuk kembali ke tahap terbaik.
Beliau memandang kejayaan sebagai "penyingkiran bagi mereka yang mudah putus asa".
"Setiap kali anda berjaya mengatasi halangan yang amat sukar, (ini juga bermakna) ada ramai lagi orang di seluruh dunia yang menyerah kalah dan berhenti.
"Jadi, matlamat di penghujung harinya adalah untuk menjadi individu terakhir yang kekal bertahan dan tidak putus asa. Ia bukan konflik pada luaran tapi dalam diri," jelas Schooling.
Berbekalkan semangat baru itu, Schooling menunjukkan peningkatan dalam prestasinya ketika bersaing di Kejohanan Kumpulan Usia Nasional Singapura (SNAG), yang berlangsung di sini Mac lalu.
Beliau merakamkan masa 23.78 saat dalam kuak kupu-kupu 50 meter dan 52.09 saat dalam kuak kupu-kupu 100 meter - sesaat lebih pantas daripada catatan masanya di Tokyo - untuk menempah tiket ke Sukan SEA di Hanoi pada 12-23 Mei ini dan Sukan Asia di Hangzhou pada 10-25 September ini.
Namun, kemajuan itu tidak datang dengan mudah bagi Schooling, yang sejak Januari lalu mula menjalani Perkhidmatan Negara (NS). Malah, beliau mengakui seolah-olah perlu "kembali ke bangku sekolah".
"Untuk ke Sukan SEA kali, saya tiada fleksibiliti yang banyak di luar (disebabkan NS). Jadi, ia memaksa saya untuk fokus kepada latihan di dalam kolam renang. Pengalaman selama beberapa bulan ini menarik, ia seperti kembali ke sekolah rendah," katanya.
Sejak dua bulan lalu, Schooling berlatih dua kali sehari - sesi pertama pada 5.30 pagi dan kemudian 7.30 malam - enam kali seminggu, sebelum dan selepas kursus bekalan asas selama lebih sembilan jam di Pangkalan Tentera Laut Changi.
Rutin harian yang berdisiplin ketat itu bermakna beliau bangun sebelum matahari terbit dan perlu tidur seawal 9 malam, iaitu "sesuatu yang NS telah mengajar saya", kongsi Schooling.
Di Sukan SEA Hanoi nanti, hanya kemenangan berada dalam minda Schooling. "Anda tidak bertanding untuk hanya meraih tempat di podium, anda akan ingin sentiasa menang.
"Itu mungkin akan meletakkan tekanan pada diri sendiri. Tapi, bukankah ini semua tentang apa yang boleh anda lakukan dengan tekanan itu? Jadi, jika anda menjadikan tekanan itu menyeronokkan, tiada apa yang akan dapat menghalang anda," tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg