Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

TINJU

Sedia lepaskan kepimpinan kepada generasi baru

Selepas lebih sedekad terajui Persatuan Tinju Amatur Singapura Syed Abdul Kadir punyai rancangan 'serahkan baton' kepada generasi seterusnya
Mar 30, 2022 | 05:30 AM



PERSATUAN Tinju Amatur Singapura (SABA) bulan lalu, telah mengubah nama dan mengumumkan struktur pentadbiran yang lebih menunjukkan hala tuju tumpuan masa depan badan itu.



Namun, pucuk kepimpinan badan berusia 93 tahun yang kini bergelar Persekutuan Tinju Singapura (SBF) itu masih kekal.



Persatuan tinju amatur itu akan terus dipimpin oleh bekas petinju nasional Syed Abdul Kadir, 74 tahun, yang telah mendukung jawatan itu sejak 2010.



Bercakap dengan Berita Harian baru-baru ini, Syed Abdul Kadir menepis cadangan beliau kurang rela melepaskan jawatan tersebut dan berkata beliau mempunyai rancangan untuk berbuat demikian "tidak lama lagi".



Pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 1974 itu berkata: "Saya akan menyerahkan baton kepada pemimpin generasi baru tidak lama lagi. Saya percaya mereka boleh membawa tinju ke peringkat seterusnya."



Syed Abdul Kadir juga mewakili Singapura di Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman, meskipun tidak bertanding akibat kecederaan.



Sebaliknya, beliau akur masih menaruh harapan memainkan peranan penting dalam membentuk juara tinju generasi baru "yang lebih berjaya daripadanya", yang menurut beliau adalah langkah pertama bagi menaikkan sukan itu ke zaman kegemilangannya pada era tahun 50-an hingga 80-an.



"Motivasi saya (untuk terus memimpin SBF) adalah untuk membantu menghasilkan juara yang lebih baik daripada saya. Saya mahu melihat juara akan datang yang boleh dibanggakan," jelasnya.



Syed Abdul Kadir adalah salah satu daripada empat petinju negara yang meraih pingat emas di Sukan SEA.



Beliau dinobat juara di Sukan SEA Kuala Lumpur pada 1971. Kali terakhir Singapura merangkul pingat emas dalam tinju di temasya serantau itu adalah pada 1985 menerusi Mohammed Mukhlis Amat di Sukan SEA Bangkok.



Sejak itu, Singapura hanya mampu membolot pingat perak dan gangsa. Di edisi Hanoi pada Mei ini, negara akan diwakili dua petinju, pemenang tiga pingat Sukan SEA - satu perak (2015) dan dua gangsa (2017, 2019) - Hanurdeen Hamid, dan pemenang pingat perak Sukan SEA 2015 Dinie Hakeem.



Justeru, sejajar dengan lembaran baru ini, SBF menyuntik beberapa pembaharuan dalam pentadbirannya.



Ini termasuk membentuk tujuh jawatankuasa kecil, yang memberi fokus kepada pelbagai aspek pembangunan sukan itu. Mereka adalah jawatankuasa kecil bagi Kejurulatihan, Pengadil, Acara, Pemasaran Digital, Suruhanjaya Atlet (Athletes' Commission), Wanita dan Belia.



Sebelum ini, persekutuan itu hanya memiliki satu jawatankuasa utama, yang merangkumi semua perkara berkaitan tinju amatur setempat.



"(Peralihan) ini akan menjadi era baru buat tinju Singapura. Kami memerlukan lebih ramai petinju dan mudah-mudahan, dengan usaha yang diperkenalkan, ia dapat benar-benar memberi manfaat kepada sukan ini," kata Syed Abdul Kadir.



Buat masa ini, pasukan elit nasional tinju Singapura terdiri daripada lima petinju lelaki dan lima petinju wanita.



Setiausaha Agung SBF Fairuz Mohamed menambah bahawa mereka juga sedang berusaha memperkenalkan tinju di peringkat tertiari dan mengubah imej negatif sukan itu bagi menarik lebih ramai anak muda bertinju.



"Tinju sering dikatakan sebagai sukan untuk mereka yang melalui kesukaran dengan latar belakang yang susah. Tapi, keadaannya sudah berubah sekarang. Kami mempunyai petinju daripada pelbagai latar belakang seperti karyawan dan pelajar maktab rendah dan universiti.



"Jadi, kami ingin membentuk penjenamaan yang sesuai untuk tinju di Singapura, imej yang betul di mana sukan ini mampu membina disiplin, daya tahan dan perwatakan baik dalam belia di sekolah-sekolah," kongsinya.



Langkah itu menjanjikan masa depan yang penuh harapan untuk SBF, yang menurut laporan The Straits Times (ST) pada 2020, telah dikritik hebat oleh petinju amatur nasional. Masalah perancangan dan struktur pentadbiran yang lemah serta kekurangan dana bagi latihan dan pertandingan luar negara telah dibangkitkan.



Pada Oktober lalu, Danisha Mathi, satu-satunya petinju wanita nasional Singapura yang menjadi atlet carded iaitu terpilih menjalani latihan persembahan tinggi, memulakan kempen 'crowdfunding' dalam talian untuk mengumpul dana sendiri bagi persiapannya ke Sukan SEA Hanoi.



Danisha, 24 tahun, berjaya mengutip $6,090 daripada $5,000 yang disasarkan, namun begitu gagal disertakan dalam senarai atlet Singapura yang bertanding di temasya sukan dwitahunan itu.



Mengulas mengenai perkara ini, Fairuz berkata ia sukar bagi SBF membiayai semua kos latihan dan pertandingan luar negara petinju dengan dana yang diberikan Sport Singapore (SportSG).



"Kami boleh dapat lebih dana daripada SportSG jika kami mampu menunjukkan keputusan baik kepada mereka. Tapi, tinju amatur di Singapura hanya dihidupkan semula selepas jurulatih Syed Abdul Kadir menghantar beberapa wakil ke Sukan SEA 2009," jelasnya.



Pertandingan sukan turut terjejas teruk oleh pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.



ST melaporkan bahawa tinju menerima dana pemerintah kira-kira $110,000 secara keseluruhan bagi tahun kewangan yang tamat Mac 2019. Bagi tempoh sama, sukan kombat lain seperti silat, gusti dan judo masing-masing menerima $3.51 juta, $572,017 dan $266,516.



"Kami tidak boleh memuaskan hati setiap individu tapi sebagai persekutuan, kami sedang cuba sebaik mungkin untuk bersikap adil dan memastikan semua petinju mendapat pakej lengkap ketika menjalani latihan dan pertandingan di luar negara.



"Apabila mereka berkata persekutuan tidak buat apa-apa untuk mereka, mereka fikir mereka dapat melakukan yang lebih banyak lagi...Jika mereka mampu, kami tidak pernah menghalang mereka," tambah Fairuz.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >