Topik diikuti
Pergi ke BHkuSekurang-kurangnya 1 pingat acara seni di tangan pesilat SG
Sekurang-kurangnya 1 pingat acara seni di tangan pesilat SG
Terjun indah raih dua lagi pingat
Sekurang-kurangnya 1 pingat acara seni di tangan pesilat SG
PESILAT Singapura menghidupkan peluang merebut pingat di Sukan SEA Hanoi melalui Muhammad Iqbal Abdul Rahman dalam seni tunggal putera, sekalipun wakil seni regu putera gagal mempertahankan pingat emas yang dimenangi mereka pada 2019.
Penampilan Iqbal dalam final tengah hari ini di Gimnasium Bac Tu Liem dekat Hanoi bermakna Singapura dijamin sekurang-kurangnya satu pingat perak atau emas.
Sehingga akhbar ini dicetak, keputusan separuh akhir tiga lagi acara seni - ganda putera, ganda puteri dan regu putera - yang disertai Singapura belum ditentukan.
Sebanyak enam acara seni dipertandingkan pada hari pertama persaingan silat semalam dan Singapura menyertai kesemuanya.
Iqbal, 28 tahun, menempah tiket ke final selepas mencatat 9.960 mata menentang wakil Brunei, Muhd Ali Saifullah Abdullah Md Suhaimi (9.930 mata), dalam separuh akhir seni tunggal putera semalam.
Juara dunia 2018 itu kini berpeluang sama ada mengulangi atau memperbaiki persembahan pingat peraknya di Sukan SEA 2019.
Di pusingan penyingkiran, Iqbal menewaskan pesilat Indonesia Asep Yuldan Sani, pemenang pingat emas dalam seni regu putera di Sukan Asia 2018, dengan pungutan 9.960 mata berbalas 9.950.
Iqbal akan bertemu Ilyas Sadara dari Thailand dalam final hari ini.
Namun, Iqbal kurang bernasib baik dalam acara regu putera. Beliau bersama rakan sepasukan Muhammad Nazrul Mohd Kamal dan Muhammadinil Mustafar Mohd Isa disingkirkan oleh Thailand dalam pusingan pertama semalam. Thailand meraih 9.960 mata berbanding Singapura 9.915 mata.
Pada 2019 di Filipina, Nazrul bersama Hamillatu Arash Juffrie dan Nujaid Hasif Zainal Abidin memenangi emas acara ini.
Srikandi Singapura Siti Nazurah Mohd Yusoff pula terkandas di pusingan penyingkiran apabila penampilan sulungnya dalam seni tunggal puteri di Sukan SEA dicemari oleh kesilapan dalam persembahan.
Nazurah, 21 tahun, yang pernah bersaing dalam regu puteri di Sukan Asia dan Kejohanan Pencak Silat Sedunia pada 2018, hanya mampu meraih 9.420 mata dan gagal mengatasi Poukky Salerembubpha dari Laos (9.900 mata).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persekutuan Silat Singapura (Persisi), Sheik Alau'ddin Yacoob Marican, sebelum ini memberitahu Berita Harian beliau menjangka pesilat negara meraih tiga pingat emas, dua pingat perak dan tiga pingat gangsa.
Pada 2019, Singapura membawa pulang dua emas, satu perak dan dua gangsa daripada lapan acara yang disertai.
Dalam acara sukan lain semalam, atlet terjun indah Singapura terus menyumbang kepada pungutan pingat negara di Sukan SEA ini. Bendera Singapura dinaikkan dua kali di Pusat Akuatik My Dinh di Hanoi semalam.
Fong Kay Yian meraih pingat gangsa dalam acara papan anjal 3 meter wanita. Fong, 25 tahun, mengumpul 230.15 mata untuk naik ke podium bersama dua penerjun Malaysia, Ng Yan Yee (270.50 mata) dan Ong Ker Ying (242.40 mata).
Rakan Fong, Mira Dewan, hanya mampu meraih 161.95 mata dan menduduki tangga tujuh daripada lapan pesaing.
Pasangan Jonathan Chan dan Max Lee menambah keceriaan pasukan terjun indah Singapura dengan pingat perak dalam acara platform berirama 10 meter lelaki. Persembahan mereka meraih 332.50 mata.
Skuad terjun indah Singapura sudah meraih dua perak dan satu gangsa.
