BUENOS AIRES: Legenda bola sepak Argentina Diego Maradona dikebumikan semalam dalam satu upacara pengebumian privet di pingggir Buenos Aires, menurut laporan televisyen di negara itu.
Upacara di perkuburan Bella Vista itu dihadiri keluarga dan rakan rapat pemain bola sepak yang dianggap antara terhebat dalam sejarah itu, sedang ribuan penyokong memperingati hayatnya di jalan raya ibu kota Argentina itu.
Kematian Maradona, 60 tahun, Rabu lalu selepas mengalami serangan jantung mencetus perayaan dan perkabungan sekali gus bagi bintang sukan itu, yang gemilang di padang tetapi bergelut dengan ketagihan dadah dan arak di luarnya.
Pengebumiannya menyusuli hari penuh emosi, dengan polis dan penyokong bertembung di luar istana presiden di Buenos Aires, tempat jenazahnya diletak dalam keranda yang ditutup bagi orang mengucapkan selamat tinggal.
Pemerintah Argentina terpaksa melanjutkan masa kunjungan sekitar tiga jam bagi memenuhi permintaan ribuan orang yang beratur sejak dini hari. Menurut media, orang yang beratur sepanjang 1.6 kilometer pada satu masa.
Keranda itu diselimuti bendera jalur biru putih Argentina dan sehelai jersi nombor 10 pasukan bola sepak negara itu. Ia nombor yang digunakan Maradona semasa mewakili negaranya.
Maradona digelar dengan nama samaran D10S, atau 'dios' dalam bahasa Sepanyol, bermaksud 'tuhan'.
Ketegangan dalam kalangan ribuan yang mengelilingi istana Casa Rosada hanya susut selepas jenazah Maradona dipindahkan ke kereta jenazah dan dibawa ke perkuburan, diiringi rombongan polis.
Ribuan lagi warga Argentina berdiri di tepi jalan, melambaikan selamat tinggal kepada wira negara yang memenangi Piala Dunia bagi mereka pada 1986 itu.
Presiden Argentina Alberto Fernandez berkata: "Maradona seorang yang mencapai langit tetapi tidak pernah hilang sikap rendah hati."
Di Napoli, Italy, tempat Maradona mencapai puncak kerjayanya, ratusan selendang biru putih diikat pada pagar di luar bekas kelabnya Napoli.
Ratusan jambang bunga, gambar dan hadiah lain diletak di tugu peringatan sementara yang didirikan di perkarangan ibu kota kelab itu.
Bilangan orang yang berhimpun di tempat awam di Argentina dan Italy dalam keadaan pandemik Covid-19 mencerminkan kedudukan Maradona yang dianggap dewa oleh sesetengah penyokongnya.
"Bagi saya, Maradona perkara paling hebat dalam hidup saya. Saya mencintainya sedalam saya mencintai bapa saya... dan seolah-olah bapa saya telah meninggal dunia," kata Cristian Montelli, 22 tahun, yang menyokong Boca Juniors, kelab tempat Maradona meledak ke arena bola sepak dunia.
Dengan air mata mengalir di pipi, Montelli berkata: "Jika saya meninggal dunia pada usia muda, saya berharap dapat bermain bola sepak dengannya dan menyaksikan perlawanan bola sepak Boca dengan Maradona di syurga."
Maradona diingati sebagai pemain yang mengundang kegemilangan dan kontroversi.
Ini dicerminkan pada perlawanan suku akhir Piala Dunia 1986, apabila beliau memperdaya pengadil untuk menjaringkan satu gol menggunakan tangannya - gol yang dinamakan 'Hand of God' (Tangan Tuhan) - dan selang empat minit kemudian, menggelecek bola melepasi hampir kesemua pemain pertahanan England untuk menjaringkan gol kedua dan kemenangan Argentina.
Namun, kerjayanya disingkatkan masalah dadah yang menyebabkan beberapa masalah kesihatan. Awal bulan ini, beliau menjalani pembedahan otak untuk mengeluarkan gumpalan darah, sebelum menjalani rawatan pemulihan ketagihan arak.
Peguamnya Matias Morla berkata pihaknya akan menuntut siasatan lengkap dijalankan bagi menentukan keadaan sekitar kematian Maradona, dan mendakwa khidmat kecemasan negara itu memberi respons lambat selepas mereka diberitahu Maradona mengalami serangan jantung. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg