SELEPAS melancarkan pasukan e-sukan dan menyertai jawatankuasa eksekutif Persatuan E-Sukan Singapura, bintang Mandopop setempat, JJ Lin kini telah menyertai satu sukan lain.
Beliau antara beberapa duta berprofil tinggi yang diumumkan oleh Persatuan Golf Singapura (SGA) semalam, yang juga termasuk bekas Anggota Parlimen (AP) Cik Lee Bee Wah dan Naib Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC), Cik Jessie Phua.
Duta yang diumumkan akan bekerjasama rapat dengan SGA untuk mendekatkan sukan itu dengan orang awam dan menambah pengetahuan tentang manfaat menceburinya.
Lin, 41 tahun, mula menceburi sukan itu dengan serius pada awal tahun ini dan berkata beliau ghairah menyandang peranan baru itu.
Beliau pernah menyangka sukan itu dimainkan oleh orang tua sahaja, tetapi kini telah mengubah pemikirannya.
Beliau berkata: "Golf amat mencabar... dan anda tidak akan mencapai tahap di mana anda berkata anda berpuas hati dengan permainan anda."
Cik Phua pula berharap beliau dapat menggalak lebih ramai wanita menceburi sukan itu.
"Warga emas harus mempersiap diri kita untuk terus aktif secara sosial dan fizikal untuk kesejahteraan sendiri.
"Saya amat senang hati kerana menceburi golf kerana ia amat mencabar dan membuat saya rendah hati. Pengalaman bermain golf juga memberi manfaat bersukan di luar dan menikmati udara segar."