DOHA: Brazil menjadi mangsanya di suku akhir beberapa hari lalu dan dini hari nanti, Croatia mampu menghantar pulang satu lagi pasukan gergasi dari Amerika Selatan - Argentina.

Dipimpin 'playmaker' 'malar segar' Luka Modric, Croatia kini diambang final Piala Dunia kedua berturut-turut apabila pasukan itu melangkah ke padang di Stadium Lusail Iconic di Doha, Qatar.

Berdiri megah menentangnya juga ialah 'playmaker' veteran Lionel Messi, yang memburu trofi Piala Dunia yang akan memahat kedudukannya sebagai pemain terbaik dunia, sekurang-kurang bagi generasinya.

Namun, ada kemungkinan kededua pemain kreatif ini tidak dapat mencipta gol yang diperlukan oleh pasukan masing-masing dan menimbulkan keadaan di mana tendangan penalti diperlukan untuk menentukan pemenang.

Jika ini berlaku, keupayaan kedua-dua Argentina dan Croatia untuk kekal tenang telah ditunjukkan di sukur akhir.

Dalam perlawanan penuh drama dengan Belanda minggu lalu, Messi dan pasukannya menyangka laluan mereka ke separuh akhir terjamin selepas beliau dan Nahuel Molina masing-masing menjaringkan satu gol untuk memberikan Argentina kelebihan dua gol.

Namun dua gol yang dijaringkan oleh Wout Weghorst di penghujung perlawanan mengheret perlawanan itu ke masa tambahan dan menyusuli tempoh tambahan 30 minit yang berakhir dengan 2-2, tendangan penalti.

Tendangan penalti itu, yang berkesudahan dengan kemenangan bagi Argentina, mengakhiri perlawanan yang langsungkan dengan semangat kesukanan di bawah jangkaan dan ditaburi pertelingkahan pemain di setiap bahagian padang.

Namun, ia juga menunjukkan pemain Argentina boleh membebani tekanan yang mengiringi tendangan penalti.

Begitu juga dalam suku akhir satu lagi, di mana anak didik Zlatko Dalic berjaya menyingkir Brazil dan mengakhiri impian peribadi Neymar menjadi juara dunia, melalui tendangan penalti.

Berulang kali dalam perlawanan sengit itu, Neymar dan rakan sepasukannya membedil gawang Croatia, tetapi tidak berdaya memperdaya Dominik Livakovic, yang berterusan sehingga tendangan penalti.

Malah, Livakovic menyelamatkan 11 percubaan Brazil dalam tempoh 120 minit perlawanan, sebelum beliau juga menyelamatkan tendangan penalti pertama dari Rodrygo.

Tendangan penalti terbukti lebih menyebelahi Croatia, yang melayakkan diri ke final Piala Dunia 2018 tanpa memenangi sebarang perlawanan kalah mati dalam masa 120 minit.

Sejarah boleh berulang bagi pasukan yang dikenali dengan jersi 'kotak-kotak' berwarna merah putih dalamseparuh akhir dengan Argentina. Jika Croatia, yang belum lagi merasai pahit kekalahan dalam 11 perlawanan, berjaya ke final, ia menyertai kumpulan pasukan elit seperti Italy, Belanda dan Jerman yang berjaya mara ke final Piala Dunia bagi dua kali berturut-turut.

Jika Croatia memburu sejarah, Argentina pula boleh berpaling kepada sejarah kerana ia tidak pernah disingkir dari Piala Dunia di peringkat separuh akhir - yang bermakna ia telah memenangi semua separuh akhir Piala Dunia yang ditandinginya.

Ia telah berbuat demikian sebanyak lima kali, termasuk yang terkini pada 2014, di mana ia tewas kepada Jerman di final.

Argentina juga tajam di petak penalti lawan, menjaringkan dua gol dalam empat perlawanan terakhir dan menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol dalam 14 perlawanan terakhir.

Sebelum ini, Argentina dan Croatia telah bertemu dua kali di peringkat kumpulan, dengan pasukan bergelar La Albiceleste menang 1-0 pada 1998.

Namun Croatia menerbalikkan keputusan itu di Russia empat tahun lalu, apabila ia menang 3-0.

Menjelang perlawanan ini, Argentina tidak mempunyai banyak masalah kecederaan, dengan dua pemain penting, Rodrigo De Paul dan Angel Di Maria - yang masing-masing mengalami masalah kecederaan - dijangka pulih bagi separuh akhir.

Namun, dua pemainnya, Gonzalo Montiel dan Marcos Acuna tidak akan beraksi kerana dilayang kad kuning pada suku akhir.

Dalic pula boleh memilih kesebelasan utama yang terkuat bagi separuh akhir, dengan dua pemain Borna Sosa dan Mislav Orsic dijangka kembali cergas.

Berdasarkan 'form' kededua pasukan dianggap kian menunjukkan prestasi terbaik menjelang perlawanan ini.

Walaupun keadaan ini bak menjanjikan perlawanan yang menarik, usah hairan jika kededua pasukan tidak dapat mencapai sebarang kelebihan jaringan dan perlawanan berkesudahan seri di akhir 120 minit dan terpaksa disudahkan dengan tendangan penalti.

Di saat itu, apa sahaja boleh berlaku, walaupun sejarah mungkin menyebelahi Croatia. - Agensi berita.