Topik diikuti
Pergi ke BHkuSemangat di Wembley berkobar buat England tewaskan Denmark
Semangat di Wembley berkobar buat England tewaskan Denmark
LONDON: England menyerap semangat yang dipamerkan penonton di Wembley untuk menewaskan Denmark 2-1 di pusingan separuh akhir Euro 2020 awal pagi semalam.
Pasukan Three Lions itu kini hanya perlu mengharungi 90 minit lagi untuk menamatkan kemarau 55 tahun tanpa trofi.
Anak buah Gareth Southgate dijadualkan bertemu Italy awal pagi Isnin ini dengan keyakinan meraih kemenangan pertama di kejohanan utama sejak kali terakhir di Piala Dunia 1966.
Pasukan England melangkah masuk ke Stadium Wembley dengan jumlah penonton dianggarkan seramai 65,000 orang, dan mereka beramai-ramai bersorak selain menyanyikan lagu Sweet Caroline dan Football's Coming Home.
Namun, Denmark terlebih dahulu 'menghukum' keceriaan di Wembley dengan jaringan Mikkel Damsgaard pada separuh masa pertama dan ia adalah kali pertama gawang England dibolosi di sepanjang kejohanan kali ini.
Penonton tampak cemas dengan jaringan berkenaan namun England menyamakan kedudukan selang 10 minit selepas itu apabila Simon Kjaer menjaringkan gol sendiri.
Kedua-dua pasukan bagaimanapun tidak dapat menemui jaringan pada separuh masa kedua sebelum perlawanan diheret ke masa tambahan sekali gus memberikan lebih debaran.
Harry Kane menceriakan kembali suasana di Wembley dengan jaringannya pada minit ke-104.
"Satu perlawanan yang menakjubkan. Kami perlu berusaha gigih selepas gawang kami dibolosi buat pertama kalinya dalam kejohanan ini dan kami kembali bersatu dan menunjukkan semangat berpasukan yang baik untuk bangkit memenangi perlawanan ini," kata penyerang Raheem Sterling.
Meskipun dengan kemeriahan kemenangan di Wembley, Sterling tetap menegaskan yang fokus utama pasukan ketika ini perlu pantas beralih kepada aksi final bertemu Italy
"Sebaik kami kembali ke bilik persalinan, ia sudah merupakan sambutan kemenangan ini berakhir dan kami perlu fokus untuk hujung minggu nanti," katanya lagi.
Pengendali pasukan, Southgate memuji "tugas menakjubkan" dilakukan pemainnya sambil berkata:
"Ia menjadi sebahagian acara hebat yang kami sertai - kami sedar ia bukanlah sesuatu yang mudah. Kami katakan kepada pemain untuk menunjukkan ketahanan dan bangkit daripada kelemahan, dan kami melakukannya malam ini."
Perlawanan itu turut dihadiri Perdana Menteri Britain, Boris Johnson yang turut gembira dengan kemenangan tersebut sambil memuji pasukan negaranya.
Menulis di akaun Twitter, beliau berkata: "Malam ini England bermain dengan bersungguh-sungguh.
"Prestasi menakjubkan daripada skuad Gareth Southgate. Sekarang ini kami ke final. Ayuh bawa ia (trofi) pulang." - AFP.
