Semangat Lebaran juara karate S’pura tidak pudar walau giat berlatih di Paris
Semangat Lebaran juara karate S’pura tidak pudar walau giat berlatih di Paris
Marissa Hafezan rindu sambut Raya bersama arwah datuk, nenek
Bagi ramai umat Islam di Singapura, Hari Raya merupakan masa berkumpul bersama keluarga dan meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa.
Namun, dari kejauhan lebih 10,000 kilometer di Paris, Hari Raya bagi atlet karate nasional Singapura, Marissa Hafezan, terasa seperti hari biasa.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), pemenang pingat emas Sukan SEA itu berkata walaupun keluarganya berusaha mengekalkan suasana perayaan, Aidilfitri tetap berlalu pantas secara sederhana.
“Tahun ini (2026), Hari Raya jatuh pada 20 Mac di Paris. Saya pula masih menghadiri latihan seperti biasa,” katanya.
Menurut Marissa, 19 tahun, kehidupan di luar negara menuntut penyesuaian, terutama apabila Hari Raya tidak diraikan sebagai cuti umum seperti di Singapura.
“Kalau Hari Raya jatuh pada hari bekerja, ia tetap hari sekolah untuk saya dan adik, dan hari bekerja biasa untuk ibu bapa saya,” jelasnya.
Tanpa kehadiran keluarga besar, suasana Aidilfitri di Paris jauh berbeza berbanding di Singapura, di mana kemeriahannya lebih terasa.
“Saya tidak bersama keluarga besar saya, jadi suasananya terasa berlainan,” kata beliau memberi gambaran perbezaan ketara antara sambutan di luar negara dengan di Singapura.
Walaupun begitu, keluarganya tetap berusaha mengekalkan sedikit suasana perayaan di rumah.
Ibunya, Cik Rosmawarni Zaman Hafezan, 53 tahun, biasanya akan memasak hidangan istimewa untuk Hari Raya.
“Biasanya, beliau akan sediakan hidangan Hari Raya supaya kami masih dapat menikmati juadah bersama sebagai sebuah keluarga,” katanya.
Antara hidangan yang sering menjadi pilihan ialah ayam masak merah dan nasi tomato, juadah yang cukup untuknya mengubat kerinduan terhadap semarak Lebaran di Singapura.
Dalam masa yang sama, komitmennya sebagai atlet tetap berjalan seperti biasa.
Marissa kini sibuk membuat persiapan untuk kejohanan Siri A di Sepanyol, sebuah pertandingan penting di bawah naungan Persekutuan Karate Sedunia (WKF), antara pertandingan lain sepanjang 2026.
“Saya ada kejohanan Siri A di Sepanyol… ia penting untuk semua atlet karate terus mara dalam kedudukan atau ‘ranking’ dunia mereka,” katanya sambil menjelaskan kepentingan kejohanan tersebut dalam perkembangan kerjayanya.
Persiapannya telah bermula sejak beliau kembali ke Paris selepas Sukan SEA 2025, dan latihan dijalankan secara tekal tanpa mengira musim perayaan.
Walaupun jadualnya padat dengan latihan dan pertandingan, kenangan Hari Raya di Singapura tetap menjadi sesuatu yang paling dirindui.
“Dapat bersama keluarga… sepupu-sepupu, mak cik-pak cik, dan yang paling dirindui, arwah datuk dan nenek saya,” katanya apabila ditanya tentang kerinduan yang singgah di hati setiap kali Syawal tiba.
Beliau turut mengimbau kenangan zaman kanak-kanak tatkala menyambut Hari Raya di rumah datuk dan neneknya di Taman Jurong.
Datuknya, Allahyarham Zaman Kadir, meninggal dunia pada 2023, manakala neneknya, Allahyarhamha Joriah Md Noor, menyahut panggilan Ilahi lebih awal pada 2021.
“Arwah nenek saya dulu selalu menyediakan hidangan yang meriah seperti lontong, sayur lodeh, ketupat, rendang daging… dan juga sate,” kongsinya.
Hidangan tersebut bukan sahaja melambangkan kemeriahan Hari Raya, malah kasih sayang yang dicurahkan oleh arwah neneknya.
Selain makanan yang membuka selera, tradisi menerima duit Raya juga menjadi kenangan manis buatnya.
Kini, selepas pemergian datuk dan neneknya, suasana tersebut tidak lagi sama.
“Arwah datuk dan nenek saya… saya masih merindui mereka setiap kali Hari Raya,” luahnya.
Apabila pulang ke Singapura, Marissa berkata beliau pastinya ingin menziarahi anggota keluarga terdekat.
“Saya akan berasa gembira dapat menziarahi pak cik dan mak cik saya… memohon maaf kepada mereka serta menikmati hidangan yang enak bersama,” tambahnya.
Walaupun berjauhan, hubungan kekeluargaan tetap diteruskan melalui panggilan video pada pagi Hari Raya.
“Ibu saya akan membuat panggilan video supaya kami boleh berhubung, melihat satu sama lain, dan berbual dengan semua anggota keluarga,” jelasnya.
Perbezaan tujuh jam antara Paris dengan Singapura tidak menghalang mereka untuk berkongsi detik istimewa itu bersama.
Paris tujuh jam kebelakang Singapura.
Dalam masa yang sama, Hari Raya bukan alasan untuk menghentikan latihan.
“Saya ada latihan setiap hari dan tetap akan mengikutinya walaupun pada sambutan Hari Raya,” katanya.
Bagi Marissa, itulah realiti sebagai atlet elit, di mana beliau perlu mengekalkan disiplin dan komitmen walaupun dalam suasana perayaan.
Selepas kejayaannya di Sukan SEA, beliau mengakui kehidupannya tidak banyak berubah.
“Sejujurnya, ia tidak banyak berubah… saya kembali ke sekolah dan latihan seperti biasa,” katanya.
Namun, kejayaan tersebut memberikan keyakinan baharu untuknya terus melangkah lebih jauh dalam sukan karate yang dicintai.
“Saya rasa ia menjadikan saya lebih bertekad bulat dan yakin… ia pencapaian yang menunjukkan saya mampu melakukan lebih banyak perkara,” tambahnya.
“
“Tahun ini (2026), Hari Raya jatuh pada 20 Mac di Paris. Saya pula masih menghadiri latihan seperti biasa... Kalau Hari Raya jatuh pada hari bekerja, ia tetap hari sekolah untuk saya dan adik, dan hari bekerja biasa untuk ibu bapa saya... Saya tidak bersama keluarga besar saya, jadi suasananya terasa berlainan... Biasanya, beliau (ibu Marissa) akan sediakan hidangan Hari Raya supaya kami masih dapat menikmati juadah bersama sebagai sebuah keluarga.”
