Subuh
5:41
Syuruk
7:04
Zuhur
1:11
Asar
4:36
Maghrib
7:16
Isyak
8:31

Sentuhan Kee Ler *killer

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Sukan
30
0

SEPAK TAKRAW

Sentuhan Kee Ler *killer

Tan Kee Ler pemain Cina pertama tembusi skuad sepak takraw nasional dalam hampir dua dekad
May 09, 2021 | 05:30 AM

'SENTUHAN Killer'.

"Menarik tajuk berita itu. Cool. Kelakar pun ya. Ia juga akan membuat saya tersenyum," ujar Tan Kee Ler, remaja Cina berusia 17 tahun, memulakan bicara dalam bahasa Inggeris apabila diberitahu kemungkinan namanya disusun sedemikian rupa sebagai tajuk laporan.

Ini kerana nama Kee Ler mirip sebutan perkataan killer yang bermaksud penyerang atau striker dalam istilah sepak takraw.

Kebetulan, pelajar Tahun 2 Kursus Nitec dalam Pentadbiran Perniagaan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej East yang terpilih menyertai skuad Bawah 17 Tahun (U-17) nasional itu pada mulanya menyimpan hasrat menjadi penyerang.

"Sejujurnya, ketika melihat penyerang senior skuad nasional Md Afif Safiee beraksi dalam gelanggang buat pertama kali, saya yang berada dekat dengan jaring, tercengang dan hanya mampu berkata 'wow!'

"Aksi libasan akrobatik itu mengingatkan saya mengenai bola sepak shaolin yang dimainkan wira Cina dalam filem wayang.

"Dari situ, terlintas dalam fikiran 'aku mahu jadi seorang killer sepertinya' kerana sangka saya ia peranan paling glamor dalam sepak takraw.

"Tetapi, setelah menjalani latihan, saya mendapati diri saya lebih sesuai memainkan peranan sebagai tekong. Siapa tahu, satu hari nanti, servis saya pun boleh jadi 'servis maut' setajam libasan seorang killer," ujar Kee Ler, pemain Cina pertama yang berjaya menembusi skuad nasional dalam tempoh hampir dua dekad.

Sebelum ini, terdapat empat pemain berbangsa Cina yang pernah menyertai skuad sepak takraw negara bermula dengan Robert Ong dalam tahun 1950-an, Khoo Yak Seng dalam tahun 70-an hingga 80-an, Lee Soon Chye pada lewat 1990-an, dan Martin Cheow Eng Hwee, yang menyertai latihan skuad nasional sebagai persiapan ke Sukan SEA Vietnam pada 2003.

Keyakinan Kee Ler jelas tergambar setiap kali beliau meminta bola dilambung tinggi bagi membolehkannya membuat servis kuda, servis maut yang sering dilakukan tekong Thailand dan Malaysia untuk mendapatkan mata bagi memenangi perlawanan dalam pertandingan serantau dan antarabangsa.

"Ya memang saya sedang belajar membuat dan memperbaiki servis kuda. Saya sudah melihat bagaimana pemain-pemain Malaysia dan Thai melakukannya dan saya anggap kededua negara ini antara yang terbaik dalam melakukan servis jenis ini.

"Saya tidak berkata servis saya baik kerana tidak ada had untuk menggambarkan yang terbaik dalam sukan ini.

"Namun, jika saya mahu membuat servis ini dengan baik, saya perlu membuat lebih banyak senaman regangan, satu jenis senaman yang berguna untuk melakukan servis kuda ini dan mengagak masa yang tepat untuk membuat sepakan supaya dapat memberi impak paling kuat bagi menghasilkan servis yang tajam," jelas anak seorang penyelamat dan jurulatih renang yang tinggal di kawasan Bukit Merah ini.

Namun, Kee Ler menampakkan kematangan walaupun baru menyertai sukan ini sekitar empat tahun lalu.

"Ada kalanya dalam membuat servis, seseorang tekong perlu bijak kerana bukan servis yang kuat sahaja yang boleh memenangi mata.

"Anda perlu pandai membuat sepakan yang melengkung atau spin atau membuat servis drop-shot yang boleh memperdayakan lawan dan membantu regu anda memenangi mata," katanya lagi.

Walaupun tidak fasih bercakap Melayu, Kee Ler menyambung ceritanya dengan berkata bahawa beliau mula berjinak-jinak dengan sepak takraw apabila menyertai pasukan Sekolah Menengah Queensway pada usia 13 tahun.

"Ketika itu sepak takraw bukan pilihan pertama saya. Saya tidak dipilih menyertai pasukan bola tampar sekolah, oleh itu senior saya mengajak saya ke dewan sekolah untuk mencuba sepak takraw pula.

"Ketika bola mula dicampakkan kepada saya, saya berasa kekok kerana saya tidak tahu apa-apa mengenai sukan ini, apa lagi menimang bola.

"Tetapi memandangkan saya suka bersukan, lama-kelamaan saya mula menaruh minat padanya dan berasa sangat puas apabila saya berjaya membantu regu saya memenangi mata. Ia mendorong saya berlatih menjadi pemain lebih baik," tambah kata Kee Ler.

Berkat dorongan rakan-rakan yang kemudian mengesyorkan beliau menjadi tekong, potensi Kee Ler mula menyerlah dan beliau kemudian menyertai kelab Mei Ling ST pada 2019.

"Sejak menyertai Mei Ling ST, saya mula bermain sepak takraw di luar sekolah dan mendapat pendedahan lanjut dalam permainan ini.

"Saya pernah terlibat dalam pertandingan Sukan Sekolah Kebangsaan (NSG) pada 2018 dan sekolah saya muncul juara.

"Namun, pencapaian terbaik saya adalah pada 2019 apabila saya terpilih menyertai pasukan Gabungan Sekolah-Sekolah dalam Sukan Sekolah Asean di Semarang, Indonesia.

"Walaupun saya belum lagi memenangi sebarang pertandingan dalam liga domestik, saya menaruh harapan banyak peluang akan terbuka bagi saya mengecap kejayaan dalam tahun-tahun mendatang," tambah Kee Ler, yang ghairah menanti peluang beraksi dalam pertandingan liga pertamanya iaitu Liga Perses 2021 yang dijadual diadakan bulan depan.

Menurut Kee Ler, yang mendapat perhatian kakitangan kejurulatihan Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses) dalam sesi ujian pemilihan menyertai skuad nasional, intermediate dan U-17 pada tahun lalu, beliau memang memendam impian mewakili negara lagi.

"Mengapa tidak? Seperti semua orang, saya mempunyai impian mewakili negara dalam sukan yang kami gemari. Jika saya terpilih, ia pastinya satu lonjakan yang besar bagi diri saya.

"Tetapi saya pernah mewakili negara dalam pasukan Gabungan Sekolah-Sekolah dan melihat mutu permainan negara-negara lain.

"Pengalaman itu membuka mata saya. Tetapi saya yakin, jika kami berlatih dengan gigih dan fokus pada matlamat yang satu dalam tahun-tahun mendatang ini, kami pasti mampu berentap dengan negara-negara jiran kita seperti Malaysia dan Thailand," katanya lagi, penuh yakin.

Mengulas rancangan pengurus dan jurulatih pasukan melatihnya menjadi kapten skuad U-17, Kee Ler berkata:

"Saya berasa berbangga diberi tanggungjawab itu, jadi saya dapat membantu kededua jurulatih dan rakan-rakan sepasukan."

Apabila diajukan soalan sama ada beliau akan menarik rakan-rakan bukan Melayu yang berbakat menyertai sepak takraw, beliau menjawab:

"Pastinya saya akan berbuat demikian. Saya pernah melihat beberapa lagi pemain bukan Melayu di luar sana yang mampu bermain dengan baik."

Pengurus skuad U-17 Raimon Budin menyifatkan Kee Ler sebagai mempunyai ciri seorang ketua.

"Pada usia yang muda, Kee Ler mampu menarik rasa hormat dan keyakinan daripada rakan-rakannya untuk memimpin pasukan.

"Beliau memimpin dengan menunjukkan tauladan seperti mengatur kehadiran - siapa hadir dan siapa yang tidak - dalam latihan yang bakal diadakan," terang Raimon.


BUKAN SERVIS KUDA SAHAJA BOLEH MENANGI MATA
"Tetapi ada kalanya dalam membuat servis, seseorang tekong perlu bijak kerana bukan servis yang kuat sahaja yang boleh memenangi mata.
Anda perlu pandai membuat sepakan yang melengkung atau spin atau membuat servis drop-shot yang boleh memperdayakan lawan dan membantu regu anda memenangi mata."

- Tan Kee Ler, yang bakal dilantik kapten skuad U-17 nasional.

PUNYA CIRI SEBAGAI KAPTEN
"Pada usia yang muda, Kee Ler mampu menarik rasa hormat dan keyakinan daripada rakan-rakannya untuk memimpin pasukan. Beliau memimpin dengan menunjukkan tauladan seperti mengatur kehadiran - siapa hadir dan siapa yang tidak - dalam latihan yang bakal diadakan."

- Raimon Budin, pengurus skuad U-17 nasional.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3