Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

KELAYAKAN PIALA DUNIA 2022

Serbia kejutkan Ronaldo dan Portugal untuk layak ke Qatar

Portugal kini perlu lalui 'play-off' untuk mendapat tempat ke Piala Dunia tahun depan; Sepanyol pula elak nasib serupa Portugal
Nov 16, 2021 | 05:30 AM



LONDON: Cristiano Ronaldo dan Portugal hanya memerlukan satu gol untuk menempah tempat ke Piala Dunia Qatar tahun depan, tetapi kini terpaksa mengharungi perlawanan kelayakan tambahan selepas tewas mengejut kepada Serbia kelmarin.



Pemain barisan depan Fulham Aleksander Mitrovic menjaringkan gol dramatik dalam masa kecederaan untuk memberikan kemenangan dan kelayakan automatik ke Piala Dunia bagi Serbia.



Pasukan itu turut menewaskan Portugal 2-1 di Lisbon, keputusan yang bermakna Portugal terpaksa melalui pusingan play-off dengan sebuah lagi pasukan naib juara kumpulan untuk menempah 'tiket' ke Qatar.



Ronaldo, yang selalunya pencetus semangat dan pendorong utama pasukannya, gagal mempengaruhi perlawanan dan sekadar membuat satu percubaan bermakna - pada separuh masa pertama - apabila tendangan bebasnya hampir menyelinap ke dalam gawang.



Namun malam milik Serbia dan Mitrovic, yang memulakan perlawanan di bangku simpanan tetapi dimasukkan selepas waktu rehat.



Pertukaran itu meraih manfaat bagi Serbia, apabila Mitrovic berjaya meloloskan diri dari pemain pertahanan Portugal dan menanduk masuk bola hasil hantaran Dusan Tadic.



Gol itu mencetus perayaan dalam kalangan kakitangan skuad dan pemain Serbia, dengan sebahagian pemain Portugal tersungkur ke padang.



Dalam pada itu, gol yang dijaringkan Alvaro Morata di penghujung perlawanan menjamin tempat Sepanyol di Piala Dunia 2022 dan memaksa Sweden melalui laluan lebih mencabar untuk melayakkan diri.



Pada minit ke-86, penjaga gawang Sweden Robin Olsen hanya mampu menepis percubaan Dani Olmo ke palang dan bola melantun dengan cantik kepada Morata bagi sentuhan penyudah.



Gol itu memberi kemenangan 1-0 kepada Sepanyol - yang hanya memerlukan satu mata daripada perlawanan tersebut - dan menjamin tempatnya di puncak Kumpulan B.



Sebaliknya, Sweden perlu memenangi perlawanan tersebut untuk mengatasi Sepanyol dalam kedudukan kumpulan.



Keputusan itu bermakna Sepanyol, yang dipimpin Luis Enrique, telah melayakkan diri ke final Piala Dunia buat kali ke-12 berturut-turut manakala Sweden perlu melalui pusingan play-off.



Sepanyol memulakan perlawanan dengan lebih bertenaga, dengan pemain sayap Pablo Sarabia membuat percubaan kemas yang melencong ke arah gol dan nyaris-nyaris menemui sasaran.



Namun Sweden bangkit selepas 15 minit permainan dan mula mencipta beberapa peluang gol dengan pemain depan Emil Forsberg berpeluang dua kali untuk memecah kebuntuan.



Malah, Alexander Isak seharusnya membuka tirai jaringan pada pertengahan babak kedua, tetapi percubaan pemain itu terbabas kerana beliau terlampau terburu-buru merembat bola.



Akhirnya, gol Morata menjadi penentu dan Sepanyol berupaya bertahan hingga wisel penamat untuk meneruskan pencapaian kelayakan ke Piala Dunia yang dikecapinya sejak Piala Dunia 1974.



Selepas perlawanan Enrique berkata:



"Kemenangan ini adalah bagi semua penyokong kami. Kami tidak akan berhenti berjuang dan kini kami akan memulakan usaha persiapan bagi Piala Dunia."



Dalam perlawanan lain, Jerman menewaskan Armenia 4-1 untuk mengakhiri pusingan kumpulan di puncak Kumpulan J dan meraih 27 mata daripada 30 mata yang ditawarkan.



Ireland pula, yang telah tersingkir dari kelayakan Piala Dunia ini, mengakhiri kempen kelayakan dengan kemenangan selepas mengatasi Luxembourg 3-0 di tempat lawan. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >