TORONTO (Canada): Dengan penuh emosi, srikandi tenis Amerika Syarikat, Serena William, mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal kepada penonton di Toronto, selepas beliau tewas kepada Belinda Bencic dalam pusingan kedua Terbuka Canada kelmarin.
Williams, 40 tahun diberikan tepukan gemuruh sepanjang perlawanan, yang pertama sejak beliau mengumumkan hasrat untuk bersara tidak lama lagi.
Beliau, yang telah memenangi 23 kejuaraan Grand Slam, tewas 2-6 4-6 dalam pertarungan itu.
Bercakap kepada penonton di akhir perlawanan, Williams berkata beliau bak ditenggelami emosi.
"Saya senang hati beraksi di gelanggang ini dan berharap dapat beraksi dengan lebih baik. Namun Belinda lebih menyerlah pada hari ini."
"Saya sudah katakan, saya tidak begitu pandai mengucapkan selamat tinggal, tetapi hari ini saya ingin ucapkan selamat tinggal kepada anda semua," kata Williams.
Awal minggu ini, Williams telah mengumumkan rancangannya untuk mengundurkan diri daripada sukan itu dalam artikel yang disumbangkannya kepada majalah Vogue.
Dalam artikel itu, beliau berkata beliau tidak berapa suka menggunakan perkataan bersara, tetapi telah memutuskan untuk beredar dari tenis dan memberi tumpuan kepada keluarga dan perniagaannya. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg