NEW YORK: Salah seorang pemain tenis wanita terhebat dunia, Serena Williams, telah mengumumkan beliau akan "mula beralih keluar daripada tenis" selepas kejohanan Terbuka Amerika Syarikat, yang bermula lewat bulan ini.
"Ada masa dalam hidup apabila kita perlu buat keputusan beralih ke arah lain," kata Serena dalam catatannya dengan gambarnya di kulit majalah Vogue.
Serena, 40 tahun, menguasai tenis wanita sepanjang kerjayanya. Beliau memenangi 23 kejuaraan perseorangan - terbanyak dalam era kejohanan Terbuka dan kurang hanya satu daripada jumlah rekod kejuaraan Margaret Court.
Serena juga memenangi empat pingat emas Olimpik dan hadiah wang sebanyak $94.5 juta.
Beliau dan kakaknya, Venus, mengubah sukan itu apabila mereka menjadi pemain profesional semasa remaja. Mereka pernah berpasangan dalam banyak kejuaraan dan pernah juga menentang satu sama lain pada peringkat akhir grand slam.
"Memang saya meminati tenis," kata Serena dalam catatannya itu. "Tapi kini detik-detik terakhir kian menjelang. Saya telah mula memberi tumpuan pada peranan sebagai seorang ibu, sasaran ke arah kerohanian, dan akhirnya meneroka diri saya yang berbeza.
"Saya akan menikmati perjalanan saya dalam beberapa minggu ini." - Agensi berita.
"... kini detik-detik terakhir kian menjelang. Saya telah mula memberi tumpuan pada peranan sebagai seorang ibu, sasaran ke arah kerohanian, dan akhirnya meneroka diri saya yang berbeza. Saya akan menikmati perjalanan saya dalam beberapa minggu ini." - Serena Williams.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg