LONDON: Manchester City bertandang ke St James' Park malam ini untuk berentap dengan Newcastle United, pertemuan pertama antara kededua kelab yang kini dimiliki pemilik dari Timur Tengah.
Namun persamaan antara kededua kelab itu berakhir dengan asal-usul pemiliknya.
City, yang dimiliki oleh City Football Group - majoriti milik Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan dari Abu Dhabi United Group - adalah juara bertahan Liga Perdana England (EPL) dan di bawah kepimpinan Pep Guardiola, menjadi satu-satunya kelab EPL yang meraih 100 mata dalam semusim pada 2018.
Ia juga memenangi empat trofi pada 2019, walapun City masih terkial-kial memenangi Liga Juara-Juara Eropah - trofi yang menjadi idaman Sheikh Mansour sejak memperoleh City pada 2008.
Pencapaian City - lebih sedekad selepas diambil alih oleh pemilik dari Timur Tengah - mungkin menjadi ukur tara bagi Newcastle.
Kurang dua bulan lalu, kelab itu diperolehi oleh sebuah konsortium yang diketuai Public Investment Fund (PIF) - entiti pelaburan kerajaan Arab Saudi.
Perkembangan yang menggemparkan itu disusuli pengumuman jurulatihnya Steve Bruce dipecat dan kini jawatan tersebut diganti oleh Eddie Howe, selepas beberapa pengurus berprofil lebih tinggi menolak tawaran memimpin kelab itu.
Masa depan Newcastle, sekurang-kurangnya bagi jangka pertengahan, tampak terjamin, dengan pemilik baru menjanjikan pelaburan lebih besar untuk membawa lebih banyak pemain bertaraf bintang ke kelab itu.
Namun masalah Newcastle pada musim ini masih ketara dan kunjungan City pada malam ini dijangka hanya menunjukkan jurang antara kededua kelab itu.
Sementara City sedang mendahului liga dan telah memperluaskan jurang antaranya dengan kebanyakan pesaing lain, Newcastle masih terkial-kial memenangi perlawanan selepas Steve Bruce dipecat.
Menjelang perlawanan, ini Newcastle ketinggalan 28 mata di belakang City dan masih terperuk dalam zon bahaya di tangga ke-19.
Rekodnya dalam 16 perlawanan liga setakat ini juga mengecewakan.
Ia hanya menang satu perlawanan dan telah seri tujuh dan tewas lapan kali.
Kemenangan sulung musim itu dikecapi semasa ia menewaskan Burnley 1-0 awal bulan ini, dengan Callum Wilson menjaringkan gol kemenangan itu.
Pencapaian itu mendorong Howe berkata kepada media beliau yakin pasukannya tidak akan tersingkir dari EPL musim ini, tetapi menyusuli perlawanan Newcastle telah kalah teruk 0-4 kepada Leicester pada hujung minggu lalu.
Namun, menjelang perlawanan dengan Newcastle pada hujung minggu ini, Guardiola akur beliau tidak akan menganggapnya sebagai perlawanan yang mudah atau sebagai tiga mata kini berada dalam tangannya.
Sebaliknya, beliau tahu Newcastle boleh bangkit untuk menewaskan pasukannya, sebagaimana pasukannya juga tewas kepada Crystal Palace dan Tottenham Hotpur musim ini.
"Kami tidak pernah menumpukan perhatian mendalam terhadap pemain lawan atau lawan kami, selain strategi yang harus kami ikuti untuk menewaskan mereka.
"Bagi kami, setiap perlawanan adalah peluang untuk merebut mata dan itulah tumpuan kami. Kami hanya menumpukan perhatian pada latihan dan tugasan kami," kara Guardiola.
BANGKIT SEMULA
City, yang bersama pesaing terdekat Liverpool, kini mempunyai rekod lima kemenangan berturut-turut dalam liga juga sedang membina momentum kemenangan, yang dibantu oleh pemain tunggak yang mencapai 'form' terbaik.
Bernardo Silva kini dianggap sebagai antara pemain midfield yang paling handal dan lengkap - tangkas mengejar bola dan membendung serangan lawan dan apabila bola di kaki, mempunyai keupayaan memulakan serangan atau merintis peluang gol bagi rakan sepasukan.
Pemain City yang memanfaatkan 'form' Silva ini adalah pemain England Raheem Sterling yang di awal musim dikaitkan dengan kelab-kelab lain di Eropah termasuk Barcelona.
Namun, Sterling, yang bergelut mencari 'form' dan gol semasa tempoh itu kini telah berjaya menemui semula 'form' yang hilang dan menunjukkan keyakinannya semasa mengambil dan menjaringkan penalti dalam kemenangan 1-0 ke atas Wolverhampton Waanderers minggu lalu.
Gol itu juga adalah yang ke-100 bagi pemain berusia 27 tahun itu, yang kin imenjadi pemain ke-32 dalam sejarah EPL untuk menjaringkan 100 gol dan yang kelapan paling muda untuk berbuat demikian.
BUKTI KETANGKASAN ATAU DIGUGURKAN?
Bagi pemain Newcastle pula, perlawanan dengan City ini merupakan satu peluang untuk menunjukkan kepada pemilik baru mereka berpotensi untuk terus memberi sumbangan kepada kelab yang kini telah menaruh harapan tinggi bersaing bagi kejuaraan domestik mahupun di Eropah.
Berlatarkan khabar angin Newcastle akan menjual atau menggugurkan kebanyakan pemainnya di akhir musim, pemain-pemainnya perlu pantas bangkit dan menunjukkan keupayaan sebenar.
Jadual bagi Newcastle semasa tempoh penghujung tahun ini namun adalah mencabar.
Selepas perlawanan dengan City pada hujung minggu ini, ia akan bertandang ke Anfield untuk bertemu Liverpool, sebelum menerima kunjungan Manchester United di tempat sendiri.
Selanjutnya, ia bertandang lagi ke Merseyside untuk bertemu Everton.
Satu masalah yang perlu diperbetulkan Howe di Newcastle adalah kerapuhan benteng pertahanannya.
Empat gol yang dijaringkan Leicester pada hujung minggu lalu menjadikan keseluruhan 34 gol yang dilepaskan Newcastle dalam 16 perlawanan setakat ini.
Jamal Lascelles, yang dianggap sebagai wira selepas perlawanan dengan Burnley dipersalahkan bagi sekurang-kurangnya satu gol, selepas beliau membuat hantaran lemah kepada Jonjo Shelvey di luar petak penalti sendiri.
Bola itu disambar oleh Tielemans yang kemudian mengumpannya kepada James Maddison yang selanjutnya terpaksa dikasari oleh Lascelles dalam petak penalti.
Persembahan pertahanan yang kurang menyakinkan mendorong beberapa pengamat bola sepak meramalkan Newcastle dan Howe akan berbelanja besar di tempoh pindahan pemain pada bulan depan ini untuk membeli pemain baru.
Antara pemain pertahanan yang kini dikaitkan dengan Newcastle ialah Kieran Trippier yang kini beraksi dengan Atletico Madrid di Sepanyol.
Dengan kelab itu kini dirundung masalah di dalam padang dan di luarnya, Trippier mungkin boleh dipikat untuk kembali ke England dan menyertai Newcastle.
Namun, malam ini, Howe perlu bergantung kepada pemain yang sedia ada dalam skuadnya, dan sama ada beliau akur atau tidak, pemain yang dimilikinya pada masa ini belum lagi boleh bersaing di tahap yang sama dengan pemain di City.
SEKILAS KEJAYAAN CITY
Manchetser City, dimiliki City Football Group - majoriti milik Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan dari Abu Dhabi United Group - juara bertahan Liga Perdana England (EPL). Di bawah Pep Guardiola, Manchester City juga memenangi empat trofi pada 2019.
SEKILAS NASIB NEWCASTLE
Newcastle yang dimiliki oleh entiti pelaburan Arab Saudi masih terkial-kial memenangi perlawanan selepas Steve Bruce dipecat.
Menjelang perlawanan ini, Newcastle ketinggalan 28 mata di belakang City dan masih terperuk dalam zon bahaya di tangga ke-19.
Rekodnya dalam 16 perlawanan juga mengecewakan. Ia hanya menang satu dan seri tujuh dan tewas lapan kali.