Setahun lalu, Singapura berada di puncak kegembiraan selepas mencipta sejarah dengan melayakkan diri ke Piala Asia menerusi merit buat kali pertama, hasil kemenangan dramatik 2-1 ke atas Hong Kong di Stadium Kai Tak pada 18 November 2025.

Namun, menjelang ulang tahun bersejarah itu, skuad Singa terpaksa menelan hakikat pahit tentang betapa jauhnya perjalanan yang masih perlu mereka tempuhi untuk bersaing dengan pasukan terbaik dunia.

Kekalahan 0-7 kepada Brazil di Stadium Negara pada 17 November – yang menyaksikan Vinicius Junior menjaringkan hatrik dalam tempoh 21 minit pertama – menjadi peringatan paling jelas mengenai jurang mutu antara Singapura dengan pasukan elit bola sepak dunia.

Ia merupakan satu tamparan hebat selepas setahun yang menyaksikan Singapura melalui pelbagai detik membanggakan, kekecewaan dan pengajaran berharga.

Perjalanan ke kelayakan Piala Asia

Kejayaan di Hong Kong bukan sesuatu yang datang dengan mudah.

Selepas kempen kelayakan Piala Asia bermula dengan keputusan seri 0-0 menentang Hong Kong di gelanggang sendiri pada Mac 2025, Singapura bangkit dengan kemenangan 2-1 ke atas Bangladesh di Dhaka pada Jun menerusi jaringan Song Ui-young dan Ikhsan Fandi.

Bekas ketua jurulatih Singapura, Tsutomu Ogura, meninggalkan jawatannya pada Jun 2025 ketika kempen kelayakan sedang berlangsung, membuka laluan kepada pelantikan Gavin Lee sebagai jurulatih sementara.
Bekas ketua jurulatih Singapura, Tsutomu Ogura, meninggalkan jawatannya pada Jun 2025 ketika kempen kelayakan sedang berlangsung, membuka laluan kepada pelantikan Gavin Lee sebagai jurulatih sementara. - Foto fail

Namun, perubahan di bangku kejurulatihan turut mewarnai perjalanan pasukan apabila Tsutomu Ogura meninggalkan jawatannya pada Jun 2025, sekali gus menyaksikan Gavin Lee mengambil alih sebagai jurulatih sementara.

Mereka seri 1-1 dengan India di gelanggang sendiri pada Oktober, sebelum mencatat kemenangan penting 2-1 di Goa menerusi dua gol Song, yang ketika itu kembali menyarung jersi kebangsaan selepas hampir setahun.

Kemenangan itu menghidupkan semula peluang Singa, tetapi cabaran terbesar masih menanti di Hong Kong.

Di hadapan hampir 48,000 penyokong tuan rumah, Singapura ketinggalan selepas Matthew Orr membuka jaringan pada separuh masa pertama.

Namun, dua gol dalam tempoh empat minit mengubah segala-galanya.

Shawal Anuar menyamakan kedudukan pada minit ke-64 selepas menerima hantaran Ilhan Fandi, sebelum penyerang itu sendiri menjaringkan gol kemenangan empat minit kemudian.

Kemenangan 2-1 itu memastikan Singa menamatkan penantian lebih empat dekad untuk kembali ke pentas Piala Asia, kali ini menerusi kelayakan atas merit selepas penampilan sulung sebagai tuan rumah pada 1984.

Gavin Lee (kanan) dilantik sebagai ketua jurulatih tetap Singa pada 28 November 2025 selepas berjaya membimbing Singapura melayakkan diri ke Piala Asia.
Gavin Lee (kanan) dilantik sebagai ketua jurulatih tetap Singa pada 28 November 2025 selepas berjaya membimbing Singapura melayakkan diri ke Piala Asia. - Foto fail

Lee kemudian dilantik sebagai ketua jurulatih tetap pada 28 November 2025, dengan kejayaan di Hong Kong menjadi titik penting dalam permulaan era baharunya.

Sinar harapan di rantau, tetapi pesaing Asean masih terlalu kuat

Pasukan Singa kemudian mengalihkan perhatian kepada Piala Asean Hyundai Cup 2026, dengan harapan untuk mencabar kejuaraan serantau.

Mereka memulakan kempen dengan kemenangan 2-1 ke atas Kemboja di Phnom Penh, sebelum menewaskan Timor-Leste 2-0 di Stadium Jalan Besar.

Keputusan seri tanpa jaringan menentang Vietnam di Hanoi dan seri 1-1 dengan Indonesia di gelanggang sendiri memastikan Singa mara ke separuh akhir tanpa kalah, dengan lapan mata daripada empat perlawanan.

Skuad Singa mengikat Indonesia 1-1 dalam aksi terakhir Kumpulan Piala Asean Hyundai 2026 di Stadium Negara untuk mengesahkan kemaraan ke separuh akhir tanpa kalah.
Skuad Singa mengikat Indonesia 1-1 dalam aksi terakhir Kumpulan Piala Asean Hyundai 2026 di Stadium Negara untuk mengesahkan kemaraan ke separuh akhir tanpa kalah. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Namun, cabaran sebenar menanti apabila mereka bertemu Thailand.

Kekalahan 1-3 dalam perlawanan pertama di Stadium Jalan Besar meletakkan Singapura dalam kedudukan sukar.

Walaupun berjaya mencatat kemenangan 2-1 di Bangkok menerusi dua gol Harhys Stewart, kemenangan itu tidak mencukupi untuk mengubah keputusan agregat 3-4.

Harhys Stewart (Nombor 13) menjaringkan gol pembukaan Singapura ketika menewaskan Thailand 2-1 di Bangkok pada separuh akhir kedua Piala Asean Hyundai, namun Singa tersingkir menerusi agregat 3-4.
Harhys Stewart (Nombor 13) menjaringkan gol pembukaan Singapura ketika menewaskan Thailand 2-1 di Bangkok pada separuh akhir kedua Piala Asean Hyundai, namun Singa tersingkir menerusi agregat 3-4. - Foto ST

Meskipun tersingkir, kejayaan menewaskan Thailand di Bangkok merupakan kemenangan pertama Singapura ke atas gergasi serantau itu dalam kira-kira 14 tahun.

Ia menjadi satu lagi detik positif dalam perjalanan Lee, tetapi pada masa sama memperlihatkan betapa kecilnya ruang kesilapan apabila berdepan pasukan yang lebih berpengalaman.

Piala Fifa Asean jadi titik terendah era Gavin Lee

Jika kempen Piala Asean Hyundai memberikan sedikit harapan, penyertaan dalam Piala Asean Fifa 2026 pula menjadi antara episod paling mengecewakan buat Singapura.

Singa memulakan kempen dengan kekalahan 0-2 kepada Indonesia sebelum bangkit menewaskan Bangladesh 1-0 menerusi tandukan Harhys Stewart.

Namun, segala-galanya musnah dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Malaysia di Bandung pada 1 Oktober.

Kempen Piala Asean Fifa 2026 Singapura berakhir dengan kekalahan memalukan 0-6 kepada Malaysia di Bandung pada 1 Oktober 2026, sekali gus menjadi titik terendah buat skuad kendalian Gavin Lee.
Kempen Piala Asean Fifa 2026 Singapura berakhir dengan kekalahan memalukan 0-6 kepada Malaysia di Bandung pada 1 Oktober 2026, sekali gus menjadi titik terendah buat skuad kendalian Gavin Lee. - Foto FAS

Kekalahan 0-6 itu bukan sahaja menyingkirkan Singapura daripada persaingan, malah menjadi satu lagi tamparan besar dalam persaingan tradisi antara dua negara itu.

Bagi Singa, kekalahan tersebut mendedahkan kelemahan dari segi ketahanan mental dan keupayaan mengekalkan ketenangan apabila berada dalam keadaan tertekan.

Kapten Hariss Harun kemudian mengakui pasukan terlalu terburu-buru selepas dibolosi awal, sehingga kehilangan identiti dan ketenangan permainan sendiri.

Lee pula menerima tanggungjawab atas kekalahan itu, menegaskan pasukan perlu belajar untuk kekal bertenang dalam perlawanan walaupun berdepan situasi sukar.

Jurang ketara, tapi Singa dapat raih pengalaman penting

Selepas kekecewaan itu, dua perlawanan menentang Paraguay dan Brazil pada November menjadi peluang untuk Singa mengukur kemajuan mereka berdepan pasukan yang mempunyai pengalaman Piala Dunia.

Menentang Paraguay, Singa menunjukkan kemampuan untuk bersaing pada separuh masa pertama, malah Song Ui-young menyamakan kedudukan menerusi tandukan selepas menerima hantaran Kyoga Nakamura.

Pemain tengah Singa, Song Ui-young meraikan jaringan penyamaan menerusi tandukan ketika menentang Paraguay di Stadium Negara pada 13 November 2026, sebelum Singapura tumpas 1-4.
Pemain tengah Singa, Song Ui-young meraikan jaringan penyamaan menerusi tandukan ketika menentang Paraguay di Stadium Negara pada 13 November 2026, sebelum Singapura tumpas 1-4. - Foto REUTERS

Singa turut mempunyai beberapa peluang untuk mendahului lawan, tetapi kegagalan menyudahkannya dihukum Paraguay yang akhirnya menang 4-1.

Empat hari kemudian, cabaran menjadi jauh lebih besar apabila Brazil, pasukan yang menduduki tangga keenam dunia, membelasah Singapura 7-0.

Vinicius menjaringkan tiga gol dalam tempoh 21 minit pertama, sebelum Endrick, Estevao, Rayan dan Allan turut menemui sasaran.

Walaupun Singa cuba mengekalkan pendekatan menyerang dan tidak sekadar bertahan sepanjang perlawanan, perbezaan mutu individu dan kepantasan membuat keputusan antara kedua-dua pasukan jelas kelihatan.

Peluang kedua Singa untuk terus bangkit

Setahun selepas kejayaan di Hong Kong, perjalanan Singapura turut menerima perubahan besar apabila Piala Asia 2027 ditangguhkan selama hampir 11 bulan.

Kejohanan yang pada asalnya dijadual berlangsung pada Januari 2027 di Arab Saudi kini ditetapkan dari 23 Disember 2027 hingga 21 Januari 2028, tertakluk kepada kelulusan Fifa.

Kekalahan besar di tangan Brazil mungkin perit untuk ditelan, namun ia hadir pada waktu yang tepat sebagai cerminan sebenar tahap persaingan di pentas tertinggi.

Dengan penangguhan kejohanan tersebut, skuad Singa kini memperoleh lebih banyak masa untuk membuat persiapan rapi.

Setahun selepas malam penuh debaran di Hong Kong, skuad Singa kini lebih peka tentang cabaran besar yang menanti di Piala Asia.

Sekadar usaha tidak mencukupi, malah mereka perlu terus pertingkatkan tahap mereka untuk pastikan Singa bukan sekadar pelengkap jadual di kejohanan itu nanti.

Keputusan perlawanan Singa sejak kelayakan Piala Asia:

Kelayakan Piala Asia 2027

- 18 Nov 2025: Hong Kong 1-2 Singapura (Menang)

- 31 Mac 2026: Singapura 1-0 Bangladesh (Menang)

Piala Asean Hyundai 2026

- 24 Jul 2026: Kemboja 1-2 Singapura (Menang)

- 27 Jul 2026: Singapura 2-0 Timor-Leste (Menang)

- 31 Jul 2026: Vietnam 0-0 Singapura (Seri)

- 7 Ogos 2026: Singapura 1-1 Indonesia (Seri)

- 15 Ogos 2026: Singapura 1-3 Thailand (Kalah)

- 18 Ogos 2026: Thailand 1-2 Singapura (Menang, namun tewas 3-4 secara agregat)

Piala Asean Fifa 2026

- 25 Sep 2026: Indonesia 2-0 Singapura (Kalah)

- 28 Sep 2026: Singapura 1-0 Bangladesh (Menang)

- 1 Okt 2026: Malaysia 6-0 Singapura (Kalah)

Cabaran Mizuho Blue - Siri Bola Sepak Kallang Singapura

- 13 Nov 2026: Singapura 1-4 Paraguay (Kalah)

- 17 Nov 2026: Singapura 0-7 Brazil (Kalah)