PERTEMBUNGAN yang dinanti-nanti antara dua pasukan pilihan untuk menjuarai Piala Suzuki AFF 2020 muncul sepusingan lebih awal, apabila juara lima kali Thailand menentang juara bertahan Vietnam dalam pusingan pertama separuh akhir malam ini di Stadium Negara.
Mereka hampir setanding dari segi bilangan pemain bermutu dan prestasi mereka dalam kejohanan ini sejauh ini. Thailand menjuarai Kumpulan A dengan empat kemenangan. Vietnam naib juara Kumpulan B dengan tiga kemenangan dan satu seri.
Vietnam dan Indonesia mempunyai mata yang sama (10), namun pasukan Garuda menjaringkan lebih banyak gol, sekali gus menjadi juara Kumpulan B.
Kedudukan ini bermakna Thailand menghadapi halangan besar menentang Vietnam - satu-satunya pasukan Asean yang berjaya ke pusingan akhir kelayakan Asia Piala Dunia Fifa 2022 - sebelum boleh mara untuk cuba menjulang Piala Suzuki tahun ini.
Meskipun mencabar, penjaga gol Thailand Siwarak Tedsungnoen berkata sasaran pasukannya kekal, memburu kejuaraan keenam.
"Pada peringkat ini, tidak kira siapa anda lawan dalam separuh akhir atau final," katanya pada sidang media praperlawanan semalam. "Pendekatan kami kekal sama dan sasaran kami tetap sama, menjadi juara dan bawa pulang trofi ke tanah air."
Jurulatih Thailand Alexandre Polking mengakui Vietnam mempunyai kelebihan persiapan lebih lama bagi kejohanan ini berbanding pasukannya.
Pasukan Thailand berhimpun untuk berlatih bersama sekitar seminggu sebelum kejohanan ini disebabkan liga Thai sedang berlangsung dan pemain utama Chanathip Songkrasin dan Theerathon Bunmathan, yang beraksi di liga Jepun, hanya tiba di Singapura selepas kejohanan ini bermula.
"Mereka (Vietnam) telah bersama selama lima bulan. Peluang bersama pemain terbaik dalam negara anda adalah satu jumlah masa berharga. Ini membantu jurulatih untuk mempunyai pemahaman baik bersama pemain, dan menguji setiap pemain dan sistem permainan," ujar Polking, yang dilantik jurulatih Thailand September lalu.
Tiga pertembungan antara dua pasukan besar Asean ini pada 2019 berakhir dengan Vietnam menang sekali dan mereka seri tanpa gol dua kali.
Ditanya tentang peluang Thailand menewaskan Vietnam, yang belum melepaskan sembarang gol dalam empat perlawanan peringkat kumpulan, Polking berkata: "Akan sentiasa ada kali pertama untuk semua perkara dalam hidup. Jadi, kami akan berjuang untuk meraih kemenangan."
Jurulatih Vietnam Park Hang Seo tidak mengambil mudah lawannya, yang ada senjata pemain berpangkalan di luar negara sedangkan semua pemain Vietnam beraksi dalam liga setempat.
"Thailand sentiasa menjadi pasukan pilihan untuk dinobat juara. Mereka ada mutu tinggi, tapi saya tidak rasa mereka lebih kuat daripada pasukan lain.
"Kami tidak pasti apakah kami 100 peratus dapat menang perlawanan ini, tapi kami perlu sekurang-kurangnya menunjukkan sesuatu dalam perlawanan ini," ujar warga Korea Selatan itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg