Empat tahun telah berlalu sejak penampilan sulungnya bersama skuad bola sepak nasional.

Namun, dalam tempoh tersebut, Joshua Pereira hanya membuat enam penampilan.

Pastinya Pereira sendiri sedar, jika dibandingkan dengan pemain lain, kerjaya antarabangsa beliau agak kurang memuaskan.

Beberapa faktor termasuk pertukaran jurulatih dan keadaan semasa menyaksikan beliau hanya mengumpul enam penampilan, sedangkan bekas rakan sepasukannya di Young Lions termasuk Ilhan Fandi, Hami Syahin dan Jacob Mahler sudah mengumpul lebih 100 penampilan secara keseluruhan.

Namun, panggilan terbaru menyertai skuad kendalian Gavin Lee serta penangguhan luar jangkaan Piala Asia 2027 di Riyadh, Arab Saudi, dari Januari ke Disember 2027 telah menyuntik kembali semangatnya untuk merebut tempat dalam skuad Singa.

Beliau sedar sepenuhnya pada usia 29 tahun, beliau masih perlu berjuang untuk mendapatkan tempat dalam skuad yang dibarisi ramai pemain berpengalaman.

Tidak mengejutkan apabila kebangkitan Pereira selari dengan kebangkitan Geylang International dalam saingan Liga Perdana Singapura (SPL).

Mendahului liga selepas enam perlawanan, skuad Geylang kini berada dalam situasi luar biasa sebagai pencabar awal kejuaraan, dengan Pereira turut memainkan peranan penting dalam kebangkitan itu.

Selaku kapten pasukan di bawah bimbingan ketua jurulatih Noor Ali, beliau mengetuai benteng Geylang International, mencatat rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan awal liga (empat menang, dua seri) dengan hanya dibolosi dua gol untuk mengumpul 14 mata di puncak SPL.

Kini, peluang yang sekian lama dinantikannya untuk menterjemahkan prestasi cemerlang di peringkat kelab ke pentas antarabangsa sudah pun terbentang di hadapannya.

Kali terakhir beliau menyarung jersi skuad kebangsaan adalah ketika aksi persahabatan menentang Vietnam pada September 2022.

Namun, Pereira mengakui beliau tidak menjangkakan panggilan semula itu, terutamanya selepas diketepikan dalam beberapa tempoh antarabangsa sebelum ini.

“Ia bukan sesuatu yang saya jangkakan kerana sudah agak lama.

“Kadangkala apabila anda tidak dipanggil selama beberapa tempoh antarabangsa, anda mula berfikir bahawa peluang anda mungkin sudah berakhir dan sudah tiba masanya pemain lain mengambil tempat anda.

“Tetapi dalam bola sepak, kita tidak tahu apa yang akan berlaku,” katanya.

Tonggak pertahanan dan juga kapten Geylang International, Joshua Pereira (jersi hijau), melompat tinggi untuk menanduk bola keluar dari kawasan bahaya dalam aksi Liga Perdana Singapura (SPL). Prestasi mantapnya membantu Geylang  kekal tanpa kalah selepas enam perlawanan awal SPL sejauh ini.
Tonggak pertahanan dan juga kapten Geylang International, Joshua Pereira (jersi hijau), melompat tinggi untuk menanduk bola keluar dari kawasan bahaya dalam aksi Liga Perdana Singapura (SPL). Prestasi mantapnya membantu Geylang kekal tanpa kalah selepas enam perlawanan awal SPL sejauh ini. - Foto INSTAGRAM SGPREMIERLEAGUE

Panggilan itu disampaikan sendiri oleh Gavin menerusi telefon ketika Pereira sedang membuat persiapan bersama Geylang bagi pertemuan penting menentang Tampines Rovers dalam pertemuan SPL.

Menurut Pereira, jurulatih Singa itu memberitahunya bahawa panggilan tersebut bertujuan memberikan sedikit dorongan menjelang perlawanan besar itu.

Walaupun gembira mendapat peluang kembali, Pereira tidak mempunyai sebarang tanggapan bahawa tempatnya dalam skuad kebangsaan sudah terjamin, sebaliknya melihatnya sebagai peluang untuk membuktikan kemampuan menerusi prestasi dan komitmennya.

“Saya ke sini bukan sekadar melengkapkan skuad, sebaliknya saya berharap dapat menyumbang juga… untuk bantu pasukan dengan apa cara sekalipun,” katanya dengan semangat.

Beliau menambah, kejayaan rakan-rakannya bersama pasukan Singa ketika beliau berada di luar skuad tidak pernah membuatnya berasa kecewa.

Sebaliknya, melihat mereka berjuang dan memberikan segala-galanya bagi negara menjadi dorongan tambahan buat Pereira untuk terus memperbaiki diri.

“Melihat pasukan bermain dengan baik, pemain-pemain bekerja keras, berjuang dalam setiap perlawanan dan memberikan segala-galanya bagi negara, ia memberikan saya motivasi tambahan untuk bekerja lebih keras dan menjadi pemain yang lebih baik,” katanya.

Pemain pertahanan Singa, Joshua Pereira (kiri), bertekad menggunakan peluang kembali ke pangkuan skuad kebangsaan untuk membuktikan kerjayanya bersama Singa masih belum berakhir.
Pemain pertahanan Singa, Joshua Pereira (kiri), bertekad menggunakan peluang kembali ke pangkuan skuad kebangsaan untuk membuktikan kerjayanya bersama Singa masih belum berakhir. - Foto BM oleh FANDY RAZAK

Selepas berdepan Paraguay pada 13 November, Singa kini bakal menentang Brazil, juara dunia lima kali, pada 17 November dalam dua perlawanan Cabaran Mizuho Blue-Siri Bola Sepak Kallang Singapura di Stadium Nasional.

Bagi Pereira, peluang berkongsi padang dengan pemain yang selama ini hanya disaksikan menerusi kaca televisyen tentunya satu pengalaman istimewa.

“Ia impian yang menjadi kenyataan untuk dapat berkongsi padang dengan mereka. Tetapi kami perlu turun beraksi, bekerja keras dan memberikan persembahan terbaik,” ujarnya.

Bagi Pereira, peluang kembali ke skuad kebangsaan bukan sekadar pengiktirafan terhadap prestasinya bersama Geylang.

Ia juga peluang untuk mengubah perjalanan antarabangsa yang setakat ini belum banyak memberinya ruang untuk membuktikan kemampuan.

Beliau tidak mahu terlalu memikirkan apa yang sudah berlalu, sebaliknya mahu memberikan sepenuh komitmen apabila diberi peluang.

Selepas lebih tiga tahun menanti penampilan antarabangsa seterusnya, Pereira kini mempunyai peluang untuk membuktikan bahawa kerjayanya bersama Singa masih belum berakhir.

“Saya akan sentiasa berpegang pada prinsip saya sendiri dan memberikan 100 peratus dalam apa jua keadaan,” katanya.