Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SG dipilih hos; dijangka kejohanan terbesar di sini sejak pandemik

Sep 30, 2021 | 5:30 AM
BERAKSI DI DEPAN PENYOKONG SENDIRI: Pemain nasional (dari kiri) Faris Ramli, Ikhsan Fandi dan Zulfahmi Arifin, meraikan gol pasukan semasa beraksi di Stadium Negara dalam Piala AFF Suzuki 2018 yang lalu. - Foto fail
BERAKSI DI DEPAN PENYOKONG SENDIRI: Pemain nasional (dari kiri) Faris Ramli, Ikhsan Fandi dan Zulfahmi Arifin, meraikan gol pasukan semasa beraksi di Stadium Negara dalam Piala AFF Suzuki 2018 yang lalu. - Foto fail -

PIALA Persekutuan Persatuan Bola Sepak Asean (AFF) Suzuki akan diadakan di Singapura dari 5 Disember hingga 1 Januari ini, menjadikannya acara sukan terbesar diadakan di sini sejak pandemik bermula.

Singapura dipilih oleh majlis AFF sebagai hos pertandingan bola sepak yang bakal melibatkan 10 negara Asean itu, yang telah tertunggak setahun akibat pandemik.

Edisi pertandingan kali ini akan diadakan hanya di satu negara untuk mengurangkan perjalanan antara negara.

Ini adalah kali kelima Singapura menjadi tuan rumah bagi peringkat kumpulan pertandingan itu.

Presiden AFF Khiev Sameth berkata majlis AFF memilih Singapura kerana mengutamakan kesihatan dan keselamatan semua pihak yang bakal terlibat. Selain Singapura, Thailand juga telah membida untuk menjadi tuan rumah.

Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) Lim Kia Tong berkata persatuannya menghargai keyakinan yang diberikan oleh AFF itu.

"Kami berjanji melaksanakan apa saja yang diperlukan untuk menganjurkan sebuah pertandingan yang berjaya," ujar beliau.

Keputusan itu, yang diumumkan sedang Singapura cuba menangani bilangan jangkitan baru Covid-19 yang bertambah saban hari, disambut baik oleh pakar penyakit berjangkit Dr Leong Hoe Nam dari Rophi Clinic.

Menjawab pertanyaan The Straits Times, Dr Leong berkata acara itu boleh menjadi acara ujian yang baik bagi acara bukan sukan skala besar yang lain, seperti konvensyen, pameran dan lain-lain yang melibatkan peserta luar negeri.

Singapura akan beraksi dalam Kumpulan A bersama juara lima kali Thailand, Myanmar, Filipina dan pemenang perlawanan kelayakan antara Brunei dengan Timor Lester.

Dalam Kumpulan B pula, juara bertahan Vietnam disertai Malaysia, Indonesia, Kemboja dan Laos.

Perlawanan Kumpulan A dijangka diadakan di Stadium Negara dan perlawanan Kumpulan B pula di Stadium Jalan Besar.

Difahami, penyokong akan dibenar masuk ke stadium.

Sebelum ini, Singapura telah mengadakan beberapa acara sukan dengan penonton, termasuk Tenis Terbuka Singapura pada Februari lalu dan beberapa acara seni pertahanan diri campuran (MMA).

Bekas kapten pasukan nasional Aide Iskandar, yang menganggotai pasukan nasional terakhir menjulang Piala AFF Suzuki di Singapura pada 2004, berkata beliau berharap sokongan penyokong akan memberi kelebihan yang bermakna bagi pasukan nasional.

"Saya benar-benar berharap piala akan kembali ke sini."

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg