Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SG juara tapi Sheik mahu pesilat terus pertingkat prestasi

Skuad nasional akhiri kejohanan dengan 11 emas; Persisi rancang kemuka beberapa lagi pesilat daripada senarai awal 3 yang dipilih aksi di Sukan SEA Vietnam nanti
Mar 1, 2022 | 5:30 AM
BERJUANG HEBAT UNTUK MENANGI: Jaguh silat negara, Sheik Farhan (kiri), mendapat kata-kata semangat daripada Sheik selepas berjuang sengit sebelum menewaskan pesaingnya dari Vietnam dalam final acara tanding putera J.
BERJUANG HEBAT UNTUK MENANGI: Jaguh silat negara, Sheik Farhan (kiri), mendapat kata-kata semangat daripada Sheik selepas berjuang sengit sebelum menewaskan pesaingnya dari Vietnam dalam final acara tanding putera J. -

PINGAT di Sukan SEA Mei ini belum lagi dalam genggaman pesilat negara, justeru persiapan bagi temasya sukan dwitahunan itu akan dipergiatkan lagi, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persekutuan Silat Singapura (Persisi) Sheik Alau'ddin Yacoob Marican.

Ini walaupun Singapura dinobat sebagai pasukan terbaik dalam kalangan lima negara di edisi kelapan Kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara yang baru sahaja selesai di sini pada hujung minggu lalu.

Singapura meraih 11 pingat emas daripada 25 acara yang dipertandingkan, mengatasi Vietnam (9 emas), Indonesia (3), Malaysia (2) dan Thailand (0).

Kejohanan selama tiga hari itu secara tradisi dilihat sebagai pertandingan 'pemanas badan' sebelum Sukan SEA yang akan berlangsung di Hanoi, Vietnam pada 12 hingga 23 Mei ini.

Ia juga adalah kejohanan antarabangsa silat yang pertama diadakan sejak Covid-19 melanda sekitar dua tahun lalu.

Ditemui Berita Harian selepas kejohanan di Dewan Satu OCBC Arena kelmarin, Sheik Alau'ddin berkata: "Dua bulan dari sekarang sehingga ke Sukan SEA sangatlah penting. Kami mempunyai dua bulan ini untuk benar-benar menyemak semula dan menilai persembahan atlet - tahap kecergasaan, kemahiran dan corak persembahan mereka."

Beliau akui bahawa pesilat negara termasuk juara dunia tiga kali Sheik Farhan Sheik Alau'ddin masih perlu memperbaiki persembahan mereka meskipun berjaya meraih kemenangan di Kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara.

Ini terutamanya dengan peraturan baru yang diperkenalkan dalam acara tanding sejak Februari tahun lalu. Kejohanan hujung minggu lalu adalah kali pertama perubahan pada peraturan itu dilaksanakan dalam pertandingan sebenar.

"Bahkan saya melihat Farhan agak goyah tadi walaupun dia mengawal pertarungan dengan baik. Tapi dia dijatuhkan beberapa kali oleh lawan dan itu menimbulkan sedikit kebimbangan," ulasnya.

Dengan baki enam saat, Farhan, 24 tahun, mempertahankan kelebihan tipis satu mata 18-17 sebelum akhirnya menewaskan Nguyen Van Tri dari Vietnam 20-17 dalam perlawanan final acara tanding putera J (90-95 kilogram) senior yang mendebarkan.

Selain Farhan, pungutan pingat emas Singapura di kejohanan itu juga disumbang oleh Muhammad Haziq Mohd Zaque dan Muhammad Hazim Mohd Zaque (seni ganda putera senior); Amirah Sahrin, Iffah Batrisyia Noh dan Nur Ashikin Zulkifli (seni beregu puteri senior); Muhammad Iqbal Abdul Rahman, Muhammad Nazrul Mohd Kamal dan Muhammadinil Mustafar Mohd Isa (seni beregu putera senior); Muhammad Naufal Abdullah (tanding F putera junior); Siti Khadijah Mohd Shahrem (tanding puteri E senior); Muhammad Iqbal Abdul Rahman (seni tunggal putera senior); Nur Azlyana Ismail dan Sharifah Shazza Shamsuri (seni ganda puteri senior); Muhammad Syahiran Jeffrey (tanding putera I senior); Nurul Suhaila Mohd Saiful (tanding puteri D senior); serta Nadhrah Sahrin (tanding puteri A senior).

Secara keseluruhan, Singapura membolot 25 pingat - 11 pingat emas, 9 pingat perak dan 5 pingat gangsa - di kejohanan itu.

Sheik Alau'ddin berpuas hati dengan persembahan anak buahnya, yang juga berjaya memecah rekod kutipan pingat emas dalam kejohanan di mana Singapura menjadi tuan rumah.

Di Kejohanan Sedunia Pencak Silat 2018 di sini, Singapura berjaya meraih tujuh emas.

"Saya gembira para atlet benar-benar berusaha gigih dan memastikan mereka menang... kami akan terus berlatih bersungguh-sunguh dan berharap semua pesilat kami akan mendapat sokongan SNOC (Majlis Olimpik Nasional Singapura) dan SportSG (Sport Singapore) untuk bertanding di Sukan SEA nanti," tambah Sheik.

Dalam senarai atlet pilihan SNOC untuk mewakili Singapura bagi temasya sukan itu, hanya tiga pesilat yang disertakan.

Mereka adalah Iqbal, yang juga pemenang pingat perak Sukan SEA 2019; pemenang pingat gangsa Kejohanan Pencak Silat Asia 2019, Abdul Raaziq Abdul Rashid; dan Farhan, yang memenangi pingat emas Sukan SEA pada 2017.

Senarai itu diterbitkan pada 16 Februari lalu.

Sheik Alau'ddin sebelum ini berkata menyusuli kejohanan ini, Persisi akan mengemukakan senarai muktamad pesilat untuk dipertimbangkan bagi Sukan SEA kepada SNOC.

Jawatankuasa permohonan SNOC bakal bertemu bulan ini.

"Dua bulan dari sekarang sehingga ke Sukan SEA sangatlah penting. Kami mempunyai dua bulan ini untuk benar-benar menyemak semula dan menilai persembahan atlet - tahap kecergasaan, kemahiran dan corak persembahan mereka... Saya gembira para atlet benar-benar berusaha gigih dan memastikan mereka menang... kami akan terus berlatih bersungguh-sunguh dan berharap semua pesilat kami akan mendapat sokongan SNOC (Majlis Olimpik Nasional Singapura) dan SportSG (Sport Singapore) untuk bertanding di Sukan SEA nanti." - CEO Persisi, Sheik Alau'ddin Yacoob Marican.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg