PASUKAN perempuan Singapura bawah 18 tahun menundukkan Thailand 49-19 bagi mengekalkan Kejuaraan Tchoukball Belia Asia Pasifik di Bangkok, kelmarin.
Ia merupakan kejohanan antarabangsa kedua yang dimenangi Singapura dalam tempoh dua minggu selepas pasukan wanita senior memenangi pertandingan Asia Pasifik pertama mereka di Malaysia seminggu lalu.
Ternyata kapten wanita senior, Tan Irene, yang memainkan peranan penting dalam kejayaan pasukan perempuan itu memandangkan beliau adalah jurulatih pasukan perempuan nasional bawah 18 tahun itu.
Presiden Persatuan Tchoukball Singapura, Delane Lim, berkata:
"Terima kasih pada Irene yang memberi inspirasi kepada pasukan bawah 18 tahun di atas kemenangan mereka itu.
"Irene bukan sekadar membawa bersamanya taktik untuk pasukan itu berdasarkan pengalamannya sebagai pemain yang aktif, tapi beliau mampu sesuaikan diri dengan pasukan itu di peringkat yang berbeza."
Pasukan negara juga juara pertandingan ini pada 2018 - yang diadakan sekali setiap dua tahun.
Namun ia terpaksa dibatalkan pada 2020 akibat wabak Covid-19.
Pasukan lelaki bawah 18 tahun hanya mampu meraih pingat perak selepas tewas 60-40 kepada Chinese Taipei.
Singapura juga tumpas 45-25 kepada Chinese Taipei dalam peringkat akhir lelaki bawah 15 tahun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg