SATU lagi detik penuh bermakna dapat "ditanda" dalam senarai pencapaian tunggak midfield Lion City Sailors, Shahdan Sulaiman, sepanjang kerjayanya sebagai pemain bola sepak profesional.
Pada usia yang dianggap 'otai' dalam arena bola sepak, Shahdan, 33 tahun, bakal membuat penampilan sulungnya di Liga Juara-Juara Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) (ACL) bersama Sailors hari ini.
Kelab swasta pertama Singapura itu berjaya melayakkan diri ke ACL 2022 setelah merangkul kejuaraan Liga Perdana Singapura (SPL) musim lalu.
ACL musim ini merupakan penampilan sulung Sailors dalam pertandingan antara kelab elit Asia itu, sejak namanya diubah daripada Home United pada 2021. Home United pernah beraksi sekali dalam ACL pada 2001.
Shahdan, dalam satu wawancara bersama Berita Harian baru-baru ini, menyatakan penyertaan beliau dalam ACL dianggap satu pencapaian besar buat dirinya.
"Itulah yang tepat berada dalam fikiran saya... satu lagi perkara yang saya berjaya raih dalam checklist saya iaitu untuk mengambil bahagian dalam kejohanan besar ini.
"Ia adalah sebuah pertandingan yang saya fikir semua pemain Singapura harus berusaha untuk menyertai dan mencabar diri mereka."
Bahkan, Shahdan bukan sahaja ingin beraksi di pentas berprestij ACL, beliau sasar menguji keupayaannya menentang pemain handalan daripada pasukan terbaik Asia lain.
"Saya tidak sabar untuk bermain dengan pemain daripada liga terbaik di rantau ini. Saya ingin lihat di mana tahap saya apabila bersaing dengan mereka," tambahnya.
Ujian pertama Shahdan di Stadium Buriram di Thailand malam ini adalah berdepan kelab gergasi Jepun, Urawa Reds.
Selain kededua pasukan itu, Kumpulan F turut menampilkan kelab Korea Selatan, Daegu FC, dan juara Liga Super China 2021, Shandong Taishan FC.
Pemain tetap untuk kedua-dua kelab dan negara, Shahdan bagaimanapun belum lagi menunjukkan tanda-tanda untuk "menggantungkan butnya".
Beliau telah menjaringkan satu gol dan menyumbangkan dua assist dalam enam daripada tujuh perlawanan yang diturunkan dalam SPL untuk Sailors musim ini.
Untuk Singapura, beliau menjadi tunggak jentera midfield pasukan nasional semasa Piala Suzuki AFF Disember lalu dan siri perlawanan persahabatan Tiga Negara FAS baru-baru ini.
Ditanya sama ada beliau kini berada di tahap prestasi terbaiknya, Shahdan, yang sudah 76 kali menyarung jersi pasukan Singa, berkata:
"Saya rasa hebat tentang bola sepak saya buat masa ini dan saya rasa ia dapat dilihat (semasa beraksi) di padang. Jadi, saya berharap saya dapat meneruskan rentak ini dan membantu pasukan mengharungi cabaran ACL pula."


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg