Shakir, Tao Li disertakan dalam senarai Dewan Kemasyhuran

SELAMA 13 tahun beliau menceburi sukan silat, Muhammad Shakir Juanda bukan sahaja menikmati detik indah kemenangan tetapi juga pelbagai cabaran.

Selepas muncul sebagai juara dunia buat kali pertama bagi Kelas I (85-90kg) pada 2012, Shakir, 31 tahun, gagal membawa pulang pingat emas tiga tahun kemudian.

“Selepas saya gagal, ini amat menyedihkan dan menjejas fikiran saya.

“Saya fikir saya mungkin terlalu tua untuk menang lagi dan mungkin saya harus bersara dan memberi tumpuan pada perkara lain pula,” ujarnya.

Namun berkat sokongan keluarga dan temannya, Shakir bangkit semula dan bergelar juara dunia lagi pada 2016.

Beliau bersara daripada sukan silat tahun lalu tetapi terus melatih atlet muda dan menyumbang kepada masyarakat menerusi Yayasan Jamiyah.

Malah, beliau diiktiraf dengan Anugerah Belia Singapura pada 2015.

Semalam (9 Nov), pencapaiannya dan sumbangannya kepada sukan setempat diiktiraf apabila beliau disertakan dalam senarai Dewan Kemasyhuran atau Hall of Fame sukan setempat.

Shakir yang kini berkhidmat di Institut Sukan Singapura mendedikasikan anugerah itu kepada ahli sukan setempat yang menjadi sumber inspirasi bagi atlet melakukan yang terbaik dalam kerjaya sukan mereka serta menyumbang semula kepada masyarakat.

Seorang lagi individu yang disertakan dalam senarai itu ialah Tao Li, 29 tahun.

Mereka menyertai lebih 50 atlet termasuk juara Olimpik Joseph Schooling, ikon bola sepak Fandi Ahmad dan raja pecut C. Kunalan yang telah disertakan dalam senarai itu sebelum ini.