Selepas permulaan yang mengagumkan dalam kerjaya profesionalnya, cita-cita pemain golf Singapura, Shannon Tan, menerima dorongan kuat setelah menandatangani kerjasama beberapa tahun bersama bank swasta sejagat, EFG International, yang berpangkalan di Switzerland pada 24 Mei.
Kerjasama itu akan memberi pemain berusia 20 tahun itu, yang merupakan warga Singapura pertama bertanding dalam Jelajah Eropah Wanita (LET), sokongan kewangan lantas membantu menggapai impiannya untuk menyertai kejohanan seperti Majors dan Sukan Olimpik.
Nilai kerjasama itu tidak didedahkan.
Duta sukan EFG Singapura baru itu menjadi pemain golf pertama dari Singapura yang memenangi LET pada Februari apabila beliau merangkul kejuaraan Terbuka Wanita Magical Kenya pada penampilan pertamanya di kejohanan tersebut.
Beliau kini menduduki tempat keenam dalam senarai ‘Order of Merit’ LET dan berjaya mendapat kedudukan 15 teratas sebanyak empat kali dalam acara rasmi LET musim ini.
Beliau kini sedang bertanding untuk menempa satu daripada 60 slot di Olimpik Paris pada 26 Julai hingga 11 Ogos.
Mengulas tentang kerjasama dengan EFG, Tan berkata:
“Ia adalah satu penghormatan untuk mewakili EFG sebagai duta sukan Singapura.
“EFG terkenal dengan usahanya memupuk generasi akan datang yang berada di Singapura dan di rantau ini dengan memperkasakan pemain muda berbakat untuk bermain golf, mencipta atlet berteladan dan menggalakkan sukan golf di peringkat akar umbi.
“Memperkukuh minat dalam golf pada golongan muda sentiasa menjadi perkara yang penting bagi saya.
“Saya harap perkongsian ini dapat memberi inspirasi kepada generasi akan datang untuk melibatkan diri dan mengembangkan minat untuk sukan ini.”
Atlet lain yang disokong EFG termasuk pemain Olimpik dua kali, Tiffany Chan, yang merupakan pemain golf pertama Hong Kong yang layak ke Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) dan LET.
Selain kerjasama ini, EFG dan Persatuan Golf Singapura (SGA) juga mengumumkan senarai penerima Biasiswa Skuad Pemain Golf Elit EFG-SGA untuk 2024.
Pemain muda golf yang dipilih pada 2024 ialah Ryan Ang, Inez Ng, Brayden Lee, Chen Xingtong dan Troy Storm.
Presiden SGA, Tan Chong Huat, melahirkan rasa terima kasihnya kepada EFG atas sokongan mereka kepada pemain golf tempatan.
“Kami menghargai komitmen mereka dalam menyokong bakat pemain golf muda kami dan inisiatif biasiswa ini adalah bukti sokongan mereka dalam usaha meningkatkan ekosistem golf di Singapura.”
Albert Chiu, ketua Asia Pasifik EFG International, pula berkata:
“Kami mempunyai rekod baik dalam memupuk atlet muda dan kami yakin dengan kemahiran, keazaman dan semangat luar biasa mereka untuk sukan ini, Shannon, Inez, Ryan, Xingtong, Troy dan Brayden boleh mencapai kejayaan besar pada masa hadapan.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg