NAGOYA – Ratu pecut Singapura, Shanti Pereira, meraih pingat pertamanya di Sukan Asia 2026 pada 25 September apabila beliau menduduki tempat kedua dalam acara 100meter (m) wanita, sekali gus memenangi pingat perak.

Ini merupakan pingat ketiga Shanti di Sukan Asia. Pada edisi terdahulu di Hangzhou tiga tahun lalu, beliau memenangi pingat perak acara 100m dan emas acara 200m.

Kemenangannya dalam acara 200m di China itu juga menamatkan penantian 49 tahun Singapura untuk meraih pingat emas dalam acara olahraga di temasya sukan yang berlangsung setiap empat tahun sekali itu.

Beliau merupakan atlet Singapura keempat yang memenangi pingat dalam acara olahraga pada lebih daripada satu edisi Sukan Asia, selepas bekas pelari pecut C. Kunalan, Glory Barnabas, dan Maimoon Bakar Azlan.

Kunalan merupakan individu pertama yang melakar pencapaian tersebut. Selepas memenangi perak acara 100m dan gangsa acara lari berganti-ganti 4x400m lelaki pada Sukan Asia 1966, beliau meraih gangsa dalam acara 100m dan 200m pada edisi 1970, sebelum menambah satu lagi pingat gangsa acara lari berganti-ganti 4x100m ke dalam koleksinya empat tahun kemudian.

Glory Barnabas dan Maimoon Bakar Azlan merupakan anggota kuartet lari berganti-ganti 4x100m wanita yang memenangi perak pada Sukan Asia 1970 di Bangkok, sebelum meraih gangsa acara 4x100m dan perak acara 4x400m pada tahun 1974.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti