LONDON: Pemain Manchester United dan England Luke Shaw berkata rakan sekelab dan antarabangsanya Harry Maguire menerima kecaman paling teruk yang pernah dilihatnya sepanjang kerjaya dalam bola sepak.

Maguire, kapten United, melakukan beberapa kesilapan menyebabkan England dibolosi dua gol dalam perlawanan menentang Jerman di Wembley semalam, yang berakhir 3-3.

Keputusan pengurus England Gareth Southgate menurunkan Maguire dalam kesebelasan utama dipersoal kerana pemain itu digugurkan daripada kesebelasan utama United musim ini.

"Harry seorang pemain bola sepak handal... tapi kebelakangan ini beliau menunjukkan beliau seseorang yang wataknya amat kuat," kata Shaw.

"Beliau menerima cemuhan demi cemuhan... pada tahap yang saya tidak pernah lihat dalam bola sepak sepanjang kerjaya saya.

"Tapi beliau tidak melarikan diri atau bersembunyi. Sebaliknya beliau menunjukkan beliau boleh memikul tekanan ini dan mempunyai kekuatan untuk mengatasi keadaan ini."

Menurut Shaw, ramai orang dalam bola sepak tahu Maguire seseorang pemain handal, tetapi beliau mungkin kurang keyakinan diri pada masa ini.

"Memang sukar... beliau berada dalam keadaan sukar. Tapi sebagai pemain sepasukan, kami sentiasa menyokongnya, dan kakitangan lain juga sentiasa bersamanya.

"Lihat bagaimana pengurus menurunkannya dalam dua perlawanan (menentang Italy dan Jerman). Keupayaannya tetap diyakini," kata Shaw.

Selepas perlawanan semalam Southgate berkata beliau harus memberi sokongan kepada pemain-pemain terhandalnya menjelang Piala Dunia 2022 di Qatar November ini.

England membuktikan ia boleh beraksi dengan baik di pertandingan antarabangsa utama dengan melangkah ke final Kejohanan Eropah (Euro) lebih setahun lalu dan separuh akhir Piala Dunia beberapa tahun lalu.

Namun, ia kini gagal meraih kemenangan bagi tempoh paling panjang sejak 1993. Kekalahannya kepada Italy hujung minggu lalu bermakna ia telah disingkir ke tahap kedua Liga Negara-Negara.

Tetapi dalam perlawanan semalam beberapa tanda membayang England telah mula bangkit. Dengan gol jaringan Shaw, Mason Mount dan Harry Kane - menerusi penalti - England bangkit lepas ketinggalan 0-2 untuk mendahului Jerman.

Namun, kesilapan Maguire - memberi penalti kepada Jerman pada saat-saat akhir - membolehkan Kai Harvetz menjaringkan gol penyamaan bagi Jerman.

Southgate berkata: "Mungkin ada pihak akan memberi tumpuan kepada kekurangan kami dan kami akur ada kekurangan yang perlu kami tangani.

"Namun saya memilih menampilkan kekuatan kami, semangat kami sebagai satu pasukan dan ini satu perkara penting menjelang pertandingan besar.

"Kami juga perlukan pasukan berpengalaman untuk mengharungi cabaran di Piala Dunia nanti." - Agensi berita.